free counters

17 Disember 2013

Itu Cinta



Sifatnya itu meluaskan kesempitan
Sifatnya itu mencerahkan kegelapan
Sifatnya itu membenarkan kebenaran
Sifatnya itu menenangkan kegelisahan
Sifatnya itu mencerdaskan kebodohan

Belumlah kita bertemu puncaknya
Bila hanya berkongsi sesama makhluk
Tidaklah bertemu matlamatnya
Bila sekadar berpuas-puas di laman fana.

Pencarian hakikatnya
Tidak ditemui di pinggiran ikhlas
Cuba singkapi tabir diri
Asal hidup fitrah insani.

Itu sifatnya cinta
Merangkul jiwa kepada-Nya.

-fikirsekejap-

22 November 2013

Couple Dan Cikgu

[Gambar Hiasan]

Aku pernah jadi cikgu..atau guru..atau ustaz..atau muallim..atau apa-apa je la panggilannya..

Yang penting aku pernah jadi salah seorang tenaga pengajar dalam Malaysia ni. Aku mungkin la tak berapa lama sangat dalam bidang tu, jika dicampur dua tempat yang aku pernah mengajar..adalah kira-kira dalam dua tahun pengalaman aku mengajar budak-budak.

Dan sekarang, aku dah kembali jadi pembelajar..atau bahasa mudahnya pelajar pun boleh.

Tapi akhir-akhir ni aku jadi gelisah, rasa risau yang amat sangat tengok budak-budak sekarang. Terutamanya anak-anak murid aku. Ataupun lebih tepat lagi bekas anak-anak murid aku.

Banyak kali jugak aku waktu aku sedap-sedap scroll kat dinding facebook tu aku jumpa benda yang tak sedap untuk dibaca dari anak murid aku. (untuk pengetahuan anak-anak murid aku sekolah rendah lagi)

Kata-kata cinta, jiwang..bergurau senda bab kahwin-kahwin dah macam orang tua pulak aku tengok. Bercakap bab couple secara umum padahal dah tau cikgu dia pun tengah baca apa yang dibualkan. Sikit pun budak-budak sekarang tak heran. Couple ni dah jadi macam sesuatu yang wajib untuk dicuba pulak.

Tak cukup dengan tu, ada pulak yang mengopy paste lawak-lawak double meaning malam jumaat dekat wall. Budak sekolah rendah ni..aduhh..risau betul aku dengan anak-anak sekarang.

Aku bukanlah suka nak salahkan sana-sini tapi harus dicari punca masalah. Kan?

Dan sekali lagi, aku suka cakap media massa yang terlalu open minded..it is a big problem for our child!

Bayangkanlah..sekarang ni tengok maharaja lawak pun nak berdouble meaning. Tolong la wei..fikir la sikit anak-anak yang tercongok depan TV tu. Kalau tak kisah anak-anak sendiri nak berfikiran lucah sejak kecil, jangan nak merosakkan pulak anak-anak orang lain.

"Siapa suruh tengok!"

Nanti ada la yang bagi ayat pandai macam tu. Dah benda umum nak dihalang pun susah..kan lebih baik mencegah dari mengubati. Mak bapak kat rumah pun ada kerja lain jugak dari 24 nak duduk depan TV menapis apa yang anak-anak tengok.

Tak campur lagi dengan filem yang bertitle 'U', tapi dalam masya-Allah. Babak rogol pun nak difilemkan. Memang la tak tunjuk pun kemaluan pelakon-pelakon tu tapi fikir la apa kesannya pada anak-anak yang menonton babak rogol dari kecil.

Sungguh, aku risau sangat tengok anak-anak murid aku. Depan-depan cikgu boleh mengorat lelaki dengan perempuan. Tak makan saman sungguh!

"Alah, anak murid je pun buat apa nak risau lebih-lebih. Over la!"

Ha, itulah yang orang tak tau fasal cikgu. Kebanyakan yang orang tau sekarang, "cikgu jangan merotan", "cikgu jangan mendenda", cikgum jangan itu, cikgu jangan ini. Itu je la yang orang banyak tau. Jiwa cikgu yang sayangkan anak-anak murid dia hampir langsung tak dilihat masyarakat.

Macam aku, walaupun dah berhenti jadi cikgu tapi aku masih risaukan anak-anak murid aku atau lebih sesuai macam adik-adik aku sebab aku masih muda lagi. Once you be a teacher, always a teacher.

Sebab apa aku risau? Sebab aku sayangkan anak-anak murid aku tu, aku nak diorang jadi anak yang berguna pada agama dan berjaya dunia dan akhirat. Itulah yang ada dalam hati para guru yang selalu dikecam dan dimarah kat sekolah-sekolah seluruh Malaysia ni. Kalau tak semua pun maybe most of them.

Kan dah tak pasal-pasal masuk cerita pasal cikgu pulak.

Yang paling aku risaukan, bagaimana anak-anak aku nanti?

Dalam suasana apa dia kan membesar?

Kalaupun dididik dengan cermat di rumah namun dunia sekarang terlalu 'terbuka'. Dia boleh dapat apa sahaja melalui kawan-kawan, media dan persekitaran. Moga Allah melindungi kita dan keturunan kita dari fitnah dunia sekarang.

Opss..sebelum terlupa. Bagi para guru, elakkan dari bergurau dengan menjodohkan ank-anak murid anda. Si A minat kat si B. Si C minat kat si D.

Ye, sebagai orang yang pernah bergelar guru. Aku faham itu hanya gurauan untuk menggembirakan suasana. Namun gurauan itu kadangkala menjadikan anak-anak kita memandang positif kepada budaya couple yang pada aku sangat banyak negatifnya. Dan yang lebih buruk couple di usia yang muda. Sangat bahaya!

Jadi, hati-hatilah para guru di luar sana. Carilah modal lain nak bergurau. Aku pun pernah bergurau macam tu dan aku menyesal dengan cara gurauan aku tu. Semoga kita dapat mendidik dan memberi contoh yang terbaik untuk anak-anak didik kita.

Sekian dari aku yang masih berjiwa guru, semoga Allah membimbing kita ke jalan yang diredhai-Nya.

AMARAN: Tulisan ini mengandungi ejaan bahasa melayu yang salah dan bahasa rojak. Sila jangan tiru untuk jawab periksa. :)

14 November 2013

Tak Jumpa.

[Gambar Google]

Jemari menari-nari
Tak berentak
Akal berpusing-pusing
Tak berirama.

Jari dan hati tak senada
Hati mahu
Tapi jari tak tahu
Akal membuntu.

Mata meligat
Menatap papan berhuruf
Masih kosong
Belum ketemu.

Kuseru
Kucari
Kuintai
Tapi belum juga ketemu.

Dimana ilham?

-fikirsekejap-

26 Oktober 2013

Rakam



Aku suka
Rakamkan kehidupan
Menyimpan senyum tawa insan
Jadi pedoman
Untuk kita bersama wahai teman

Di sejalur perjalanan
Yang bersirat pengalaman
Kita berkongsi alam tuhan
Tagis tawa ku jadikan rakaman
Diputar kembali dalam ingatan
Untuk menemukan sebuah tujuan.

Senyuman kalian
Membangkitkan
Jiwa-jiwa keresahan
Atas nama insan
Kita memerlukan senyuman.

Tangisan kalian
Menemukan keinsafan
Untuk aku yang kehausan
Mencari pedoman
Buat pengajaran.

Aku suka
Merakamkannya.

-fikirsekejap-

16 Oktober 2013

Pesan Untuk Manusia

[Gambar Google]


Kita manusia berdosa
Melakon sketsa di bumi fana.

Lihat diriku
Jangan merendahkanmu
Kulihatmu
Tidak meninggikanku.

Seragam manusia kau sarung megah
Derap tapak menggegar tanah
Tak terkesan langsung dek amanah
Dimana bumi kitalah khalifah.

Oh! Kealpaan
Kelupaan
Kelekaan
Kelalaian
Bakal menyiksakan.

Kita kan rasa
Sama-sama
Andai mendustai-Nya.

Na'uzubillah.

-fikirsekejap-

13 Oktober 2013

Cerpen: Kau Tak Solat!


KRINGGGGGGG!!!!!!

Jeritan nyaring dan sumbang dari jam loceng memenuhi ruang bilik sederhana besar itu. Membelah kesunyian malam yang mengulit setiap anak Adam supaya terus melayan mimpi yang semakin mencapai klimaksnya.

Perlahan-lahan Yassin membuka matanya. Berat dan payah, satu bentuk perjuangan bagi Yassin untuk melawan rasa mengantuknya itu. Lalu dicapai jam loceng yang berada di penjuru meja bersebelahan katil, diperhatikan jam itu dengan mata yang separuh tertutup.

"Dah pukul 4.." hatinya berbisik sendiri seakan terlupa bahawa dia yang mengunci jam supaya berbunyi pada waktu itu. Itulah waktu biasa bagi Yassin untuk bangun pagi dan bersolat sunat tahajud sebelum menunggu waktu subuh.

Dengan susah payah dia mengangkat selimut yang membaluti tubuhnya dan terus mencapai segala alatan mandinya di rak kayu di bahagian bawah meja bersebelahan katilnya.

Brrr..brrrr..

Yassin kesejukan. Cepat-cepat dia menukar pakaian dari bertuala kepada pakaian solat dan tanpa membuang masa, dia terus membentangkan sejadah menghala ke arah kiblat.

"Allahuakbar.." sunyi pagi itu di sulami dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang dialun Yassin dalam solatnya. Di waktu manusia lain nyenyak tidur, dia mengambil peluang bersolat dan bermunajat kepada tuhannya.

Setiap rukuk dan sujud dilakukan secara tertib dan khusyuk. Begitulah kelebihan bersolat sunat diwaktu awal-awal pagi sebelum Subuh, kita dapat menghayati solat dengan penuh khusyuk tanpa gangguan.

Selesai bersolat, Yassin mengerling jam di dinding biliknya. Sudah pukul 5 pagi, maknanya Yassin sudah boleh mula bergerak ke surau Kolej Kediaman tempat Yassin belajar untuk bersolat subuh pula.

Ketika dia hendak keluar dari biliknya, dia terlihat rakan sebiliknya yang masih nyenyak tidur. Seketika dia terdiam di pintu memerhati seakan berfikir sesuatu. Selepas beberapa ketika akhirnya Yassin menutup dan mengunci pintu biliknya lalu terus menuju ke surau.

Pukul 7.20 pagi. Seusai mendengar kuliah subuh, Yassin pun bergerak pulang ke biliknya.

Sebaik membuka pintu, dia terus menjeling kepada rakan sebiliknya. Dan ternyata, dia masih lena diulit mimpi. Seperti biasa, seperti hari-hari yang lain.

Yassin melepaskan satu keluhan berat.

Begitulah setiap hari. Rakan sebilik Yassin yang bernama Dani itu sungguh liat untuk mengerjakan solat. Jangankan subuh, zohor, asar, maghrib dan isyak juga langsung tak diendahkannya.

Bukan tidak pernah Yassin mengejutkannya. Sudah berkali-kali dan berbagai-bagai cara namun setakat ini masih lagi menemui jalan buntu. Terkadang Dani memang sudah tersedar dari tidurnya pada waktu subuh, namun sengaja pula diangkat selimutnya menutupi seluruh ruang mukanya dan kembali menyambung tidur.

Sudah hampir 2 bulan mereka sama-sama mendaftar masuk sebagai pelajar di kolej ini tetapi belum sekali pun Yassin pernah melihat Dani bersembahyang. Sehingga boleh dikatakan Yassin seakan sudah meluat melihat perangai Dani itu. Bila tiba waktu kuliah, Dani akan segera bangun dan bersiap tetapi tidak bagi waktu solat.

"Undang-undang kolej diikuti seboleh-bolehnya oleh kau sebagai seorang pelajar tetapi undang-undang Allah seakan tiada makna dalam kamus hidup kau Dani," fikir Yassin.

"Aku ambil jurusan agama Islam, takkanlah dengan roommate pun tak boleh nak dakwah," selalu persoalan itu bermain-main di dalam minda Yassin. Dia berasa sangat-sangat terdesak bagaimana mahu menjadikan Dani seorang yang berpegang dengan perintah agama.

"Kau rasa apa yang perlu aku buat lagi Man?" pernah Yassin cuba mendapatkan pandangan dari rakan baiknya dari sekolah dan sama-sama melanjutkan pelajaran ke kolej ini, Salman.

"Ko slow talk la dengan dia dulu.." Salman cuba memberi buah fikiran.

"Heh! Slow talk apanya..dah 'bertalk-talk' dah aku bagi..tak jalan dia tu."

"Kita ni nak berdakwah tak boleh cepat sangat nak hasilnya Yassin. Perlahan-lahan la."

"Masalahnya Man, aku dah bayak kali cakap dengan dia. Kejut dia waktu solat. Tegur dia bila dia tak solat, tapi kadang-kadang aku pulak rasa macam orang bodoh. Kadang-kadang dia buat bodoh je bila aku cakap, macam aku cakap seorang diri."

"Haha..itulah namanya dakwah bro..kau ingat semua orang percaya ke bila Nabi Muhammad s.a.w mula-mula nak berdakwah dulu. Bukan setakat buat bodoh, dihina lagi adalah."

"Kau cakap senang la. Aku ni yang rasa berdosa setiap kali dia tak solat kau tahu? Duduk sebilik, belajar agama, tapi roommate tak solat pun tak boleh nak nasihat..heh!" Yassin mula merungut.

"Relax la..hidayah bukan di tangan kita. Tugas kita berusaha. Usaha, usaha dan usaha. Jangan berhenti berusaha."

"Ye la Man. Tengok la setakat mana aku boleh sabar lagi." Yassin menamatkan perbualan mereka malam itu dengan penuh perasaan tidak puas hati. Dia benar-benar tidak berpuas hati selagi dia tidak melihat Dani bersolat dengan sempurna.

**********

Angin malam itu sepoi-sepoi bahasa, mengiringi rintik-rintik langit yang menangis membasahi bumi.

Yassin masih di atas sejadah solatnya, dia berzikir sebentar selepas selesai menunaikan solat fardhu maghrib tadi. Alunan tasbih, tahmid dan takbir mengulit ruang dalam biliknya itu. Dani masih belum pulang sejak keluar ke kuliah petang tadi.

Selesai sahaja berzikir dan berdoa, Yassin mencapai al-Quran yang berada di rak buku di atas meja belajar. Dia membuka dan membelek-belek mencari surah ar-Rahman untuk dibaca. Yassin memang suka membaca surah itu kerana menyedarkannya tentang nikmat Allah yang terlalu banyak untuk disyukuri manusia.

Sedang dia ralik membaca al-Quran, Dani masuk ke dalam bilik. 

Dani melihat Yassin yang sedang membaca al-Quran hanya dengan sekali imbas dan tergesa-gesa memakai tuala untuk pergi mandi. Yassin menyedari kehadiran Dani namun dia tidak menghiraukannya dan meneruskan bacaan al-Quran.

Selang beberapa minit kemudian, Dani masuk kedalam bilik dengan sedikit kesejukan selepas mandi bercampur pula dengan hujan yang lebat di luar bilik. Dia terus bersiap-siap menukar pakaian dan langsung tidak mempedulikan Yassin yang masih lagi sedang membaca al-Quran.

Dani bersiap-siap memakai pakaian dan berwangi-wangian seakan ingin keluar semula. Yassin mengerling dengan ekor matanya.

Selepas bersiap Dani terus mengambil kunci keretanya dan meluru hendak keluar dari bilik.

Tiba-tiba, Yassin bersuara.

"Dani!"

Dani yang baru hendak membuka pintu terkejut dan berpaling ke arah Yassin.

"SodaqAllahul a'ziim.." Yassin menghabiskan bacaannya dan meletakkan al-Quran secara berhati-hati kembali ke tempat asalnya lalu dia bangun menghampiri Dani yang masih lagi terpaku di muka pintu memandang ke arah Yassin.

"Ko dah sembahyang belum?" tiba-tiba Yassin menyoal.

"Err..sembahyang?"

"Ye..sembahyang maghrib..sudah ke belum?"

"Aku..aku.."

"Asar tadi, zohor, subuh..semalam, kelmarin, mingggu lepas.." Yassin mula mengasak.

Dani tergagap-gagap.

"Kau tau tak? Aku tak pernah nampak kau sembahyang..kau ni Islam ke tak?"

Air muka Dani mula berubah.

"Aku hari-hari kejut kau sembahyang subuh. Kenapa kau tak bangun? Tak rasa diri tu bertuhan ke?"

Telinga Dani mula terasa panas. Serta merta dia berpaling mahu pergi dari situ. Baru dia mahu mula melangkah, tiba-tiba bahunya ditarik Yassin.

"Aku tengah cakap dengan kau ni..nak pergi mana? Syaitan dalam badan kau dah panas ke?" Yassin semakin pedas kata-katanya. Seakan hilang pertimbangan sebagai da'i penyampai dakwah dan bukan pemberi hidayah.

Dani menepis deras tangan Yassin. Amarahnya memuncak. Kemudian dia menolak Yassin dengan keras ke hadapan sehingga menyebabkan Yassin terjatuh.

"Kau jangan nak 'kerek' sangat! Kau tu dah confirm ahli syurga ke?!" Dani menempik.

Dani menghempas pintu bilik sekuat hati sebaik melangkah keluar. Yassin masih lagi terkedu.

Kira-kira jam 12 malam barulah Dani pulang kembali ke biliknya. Dilihatnya Yassin masih belum tidur, disebelah Yassin ada Salman yang sedang duduk membisu memerhatikan Dani.

Dani melangkah masuk ke dalam bilik dan duduk di atas katilnya secara perlahan. Dia memandang Yassin dan Salman. Mereka bertiga berpandangan dalam sunyi untuk beberapa ketika sebelum Yassin mula bersuara.

"Bro..aku minta maaf dengan kau. Memang aku melampau tadi..aku tak sepatutnya cakap sampai tahap macam tu dengan kau," Yassin memulakan bicara.

Salaman masih lagi diam membisu.

"Tak apa la bro..aku pun baran juga tadi.." Dani bersuara.

Yassin memandang Salman. Salman memberi sedikit anggukan kecil kepada Yassin.

"Bro..tapi apa yang aku cakap pasal solat tu.."

"Tak apa..tak apa.." Dani memotong percakapan Yassin.

"Aku tau memang aku salah sebab tak solat.." Dani terhenti seketika percakapannya, kemudian dia menyambung.

"Sebenarnya aku tak pandai solat.."

Yassin dan Salman tersentak. Mereka tak menyangka masih ada anak-anak muslim yang langsung tidak pandai bersolat dalam dunia tanpa sempadan hari ini.

"Aku malu dengan kau sebenarnya. Sejak dari kecil mak dan ayah aku tak pernah ajar aku solat, mereka berdua pun aku tak pernah nampak mereka bersolat. Mak dan ayah aku hantar aku tuisyen sana sini, sekolah internasional dan buat macam-macam sebab nak pastikan aku tak tercicir dalam pelajaran. Tapi, mereka mungkin lupa, mendidik aku dengan agama."

"Memang ada aku cuba-cuba belajar sendiri melalui internet, tapi aku segan nak solat depan kau. Aku takut salah, malu dengan kau. Rakaat pun aku tak berapa ingat lagi."

"Sebenarnya masa kau tak ada dalam bilik, kadang-kadang ada juga aku cuba-cuba untuk solat sendiri. Sambil-sambil tengok buku sebab aku tak berapa ingat lagi bacaan. Aku malu dengan kau Yassin."

Yassin terdiam mendengar pengakuan Dani itu. Dia mula rasa menyesal dengan perlakuannya tadi. Sangat menyesal.

"Tak apa bro.." Salman besuara.

"Kau jangan malu, aku dengan Yassin akan tolong kau, insya-Allah,"

"Betul ke? Terima kasih banyak-banyak..tapi ada satu perkara lagi aku nak mintak.."

"Apa tu? Insya-Allah aku cuba bantu semampu aku,"

"Tolong rahsiakan perkara ni. Aku malu sebab jahil agama, aku malu dengan kawan-kawan aku,"

Salman tersenyum.

"Don't worry bro..bisa diatur..hehe," Salman cuba berjenaka.

Dani dan Yassin tersenyum dengan gelagat Salman.

"Sudah la..yang sudah biarkan pergi..sekarang kita ada misi.." Salman menyambung bicara.

"Misi?" serentak Yassin dan Dani bersuara.

"Yup!" dengan muka yang penuh yakin Salman menjawab kembali.

"Misi apa?" Dani menyoal.

"Misi ni kena senyap-senyap..tak boleh orang lain tahu.."

"Pulak dah..apa benda pulak tiba-tiba ni..?" dahi Dani berkerut sedikit.

Tiba-tiba, Yassin tersenyum. Dan sejurus kemudian tergelak seolah-olah baru memahami apa yang cuba disampaikan Salman tadi.

Dani semakin berkerut dahinya.

"Aduh..tadi suruh kitorang ajar solat..tu la misinya..kau kan tak nak kecoh-kecoh.." Salman meleraikan kekusutan Dani.

"Cis! Loading pulak aku hari ni.."

Ketiga-tiga mereka ketawa serentak mendengarkan istilah permainan video yang digunakan oleh Dani keatas dirinya sendiri. Sesungguhnya, nikmat ukhwah itu indah bila bersulamkan keredhaan-Nya.

Sedang mereka bergelak ketawa itu Yassin terdetik didalam hatinya.

"Malunya aku dengan Dani, mengherdik membabi buta tanpa usul periksa. Patutnya aku cuba memahami dahulu latar belakang masalah dia. Ini tidak, aku main serkap jarang je. Tapi tak apa, aku akan tebus kesalahan aku dengan ajar dia solat dan ilmu-ilmu Islam dengan bersungguh-sungguh lepas ni. Ini peluang Allah bagi dekat aku..insya-Allah!"

Yassin merenung Dani.

Melihat kepada riak keikhlasan di wajah Dani, Yassin makin bersemangat. Peristiwa itu adalah 'tunjuk ajar' dari Allah untuknya. Sungguh, pengalaman mematangkan fikiran!

22 September 2013

Langkah



Langkahan-langkahan ini
Terkadang teguh dan kukuh
Tak tersadung dek kerikil-kerikil jalanan
Melaju megah bak pahlawan gagah.

Langkah ini jugalah
Terkadang longlai tak bertenaga
Terbuai dek angin menghembus lembut
Terleka menghayun
Tanpa mempedulikan susur denai mana yang dilangkahi
Tanpa menilai tujuan disetiap persimpangan.

Langkah-langkahku terus melangkah
Gagah ku tempuh tak rebah
Lemah ku hayun tak tumbang
Harapan ku pautkan kepada Rabb-ku
Untuk mencari makna destinasi.

Langkahku ini
Diatur Yang Abadi
Perjalanannya Dia memperinci
Kekuatannya Dia memberi
Tugasku - wajib untuk mengabdi.

Langkah-langkah teman dan lawan
Aku perhati dan saksikan
Juga sepertiku
Gagah dan lemah bergantian
Kesamaan kita adalah kesilapan
Cuma bagaimana kembali kepangkal jalan
Untuk mencari pedoman
Akan membezakan.

Langkah-langkah kita
Tak seirama sentiasa
Aku, kau dan dia
Kita manusia yang punya beza
Tapi bukan punya lain kemanusiaannya.

Oh tuhan
Padukanlah langkah kami
Buat mencapai redha dari-Mu!

-fikirsekejap-

07 September 2013

Melangkah Ke Hadapan

Terima kasih  :)


Perubahan.

Manusia sentiasa memerlukan perubahan. 

Dari tadika ke sekolah rendah. Dari sekolah rendah ke sekolah menengah. Dari sekolah menengah ke universiti. dari universiti ke alam pekerjaan.

Kita memang sentiasa berubah. Mahu atau tidak, bersedia atau belum, perubahan pasti akan menjelma dalam kehidupan kita.

Tetapi harus juga kita akui ada sesetengah perubahan itu berat untuk dilaksanakan. Sangat berat untuk dihadapi namun kita harus memaksa atau terpaksa untuk melakukannya.

Berbagai-bagai perkara yang berlaku dalam hidup aku.

Antaranya aku pernah menyambung pelajaran ke peringkat universiti namun takdir tuhan telah menetapkan kisah aku di situ tidak panjang(tidak sekali-kali aku menyalahkan tuhan). Pelajaranku terkandas dan aku berhenti dalam perasaan yang bercampur baur. Sedih, gembira, berat semuanya bergaul sebati dalam akalku ketika tu. Tak perlulah aku ceritakan secara terperinci kisah itu.

Lalu aku pulang ke rumah menjadi seorang penganggur berwibawa( hehe..). Lebih kurang sebulan aku dirumah, cuba menginsafi diri atas apa yang berlaku dan belajar mengenal-Nya.

Tanpa dirancang aku mendapat tahu satu kekosongan jawatan di sebuah sekolah rendah swasta tak jauh dari rumahku. Masih lagiku berbelah bahagi. Mahu bekerja atau tidak? Kerana janjiku pada kedua ibu bapaku adalah untuk kembali menyambung pelajaran di universiti lain.

Kemudian, aku mengambil keputusan untuk bekerja 'sementara'(fikirku) di situ. Aku memohon kerja dan dengan izin-Nya juga tak sampai sehari temuduga berjalan aku ditawarkan jawatan sebagai guru disitu.

Aku masih ingat di minggu pertama aku bekerja, aku pernah berkata kepada salah seorang guru disitu, "aku kerja ni tak lama kot..mungkin dalam 2 ke 3 bulan je. Lepas tu sambung la belajar balik.."

Namun, sekali lagi takdir mengatasi perancanganku.

Alam pekerjaanku berlanjutan sehingga hampir 2 tahun. Berbagai-bagai perkara Allah s.w.t 'latih' aku dalam tempoh itu.

Berbagai-bagai aku diuji, aku bukan tidak mencuba untuk memohon menyambung pelajaran namun semuanya ditolak. Dan tuhan pasti ada perancangan-Nya yang kita tidak mengerti.

Aku meneruskan pekerjaanku dari sehari ke sehari, minggu ke minggu, bulan ke bulan dan akhirnya sehingga hampir 2 tahun aku disitu. Dari seorang yang tengah 'down' selepas pelajaran tertunda, aku diberi tuhan peluang untuk mengenal Sekolah Rendah Islam Indera Mahkota.

Akhirnya, aku mula belajar kembali menilai makna kehidupan melalui celah-celah sketsa kehidupan kanak-kanak. Aku mula menyedari bahawa kadang-kadang orang dewasa perlu juga belajar dari kanak-kanak.

Dan, aku mula menyayangi sekolah itu dan anak-anak atau adik-adik itu. Aku selesa disitu, bekerja dan berkhidmat mendidik anak-anak pewaris agama.

Dan dalam keselesaan itu, aku mengenal pula berbagai manusia, rakan-rakan guru, anak-anak didik dan rakan-rakan guru dari sekolah lain. Tuhan benar-benar mengajarku.

Mungkin Allah tidak mahu aku sentiasa berada dalam keselesaan yng memungkinkan aku terbabas landasan hidup, maka sekali lagi Allah s.w.t menginginkan aku untuk berubah.

Aku dikejutkan dengan panggilan dari sebuah universiti dari negeri Terengganu. Dan ini benar-benar mengejutkan kerana aku tidak memohon tetapi rupa-rupanya ibuku memohon secara diam-diam bagi pihakku.

Walaupun aku sebenarnya sudah tawar hati untuk menyambung secara full time belajar, namun panggilan yang diterima membuatkan aku berfikir berkali-kali. Beberapa kali aku melakukan solat istikharah.

Akhirnya aku menyedari yang aku harus akui tentang ketentuan-Nya.

Aku nekad menerima tawaran tersebut dan dalam masa yang sama aku harus menolak satu lagi tawaran dari sebuah universiti di Pulau Pinang yang menawarkan pengajian jarak jauh untukku.

Sekali lagi, tuhan menghendaki aku untuk melakukan perubahan.

Dan yang paling memberatkan hatiku sekarang adalah, aku sudah mula menyayangi sekolah itu, kerjaya dan anak-anak didikku. Sementelah lagi, anak-anak didikku tahun 5 ada peperiksaan besar yang perlu dihadapi dalam tempoh kurang sebulan dari tarikhku berhenti. 

Di hari terakhir aku berkhidmat di sekolah tersebut, aku benar-benar sebak namun kutahankan. Entahlah, mungkin ini ego seorang lelaki. Ditambah lagi dengan peristiwa surat dari anak didikku dari darjah satu, seorang anak yatim. Dia menulis agar aku jangan tinggalkan mereka. Selepas itu, dia ada berjumpaku dan memberitahu aku, " ustaz janganlah pergi..sambung je la belajar dekat sini..".

Kanak-kanak itu jujur dan kejujuran itu benar-benar mencengkam hati aku.

Ada antara mereka yang menulis surat menyatakan kesedihan dengan perpindahanku. Ada yang ber'chat' di facebook denganku bercerita kesedihan. Aku akui aku agak rapat dengan mereka, kerana aku suka 'masuk' ke dunia kanak-kanak dan 'belajar'.

Tapi aku sudah nekad, keputusan sudah dibuat dan aku akan teruskan sehingga berjaya. Insya-Allah.

Harapku semoga pengorbanan yang aku lakukan ini menjadi asbab dari tuhan untuk kejayaan aku dan anak-anak didikku. 3 tahun itu tak lama dan insya-Allah seandainya diberi peluang oleh tuhan, aku akan kembali menabur khidmat di sana. Sehingga bila, biarlah tuhan yang menentukan.

Kini, aku sudah mula memasuki alam perubahan seterusnya dalam fasa yang baru dalam hidupku. Dan aku bermohon kepada Allah s.w.t agar diberi kekuatan untuk aku melangkah satu demi satu anak tangga menuju kejayaan. Biarlah kejayaan itu berpaksikan redha dari-Nya.

Aku teringat pesan Dr Zulkifli al-Bakri yang aku dengar dalam rancangan Cnta Ilmu di tv Al-Hijrah, "Hendak belajar perlu merantau"(lebih kurang macam tu lah kata-kata beliau).

Dan kata-kata Dr Zaharuddin dalam bukunya 'Jangan berhenti berlari', "Cabar zon selesa anda ketika ini dengan perkara baru, ilmu baru, medan baru, konteks baru dan apa-apa yang lebih mencabar dan boleh menghasilkan kesan positif buat diri dan ummah".

Walaupun mungkin perantauan aku ini bukanlah terlalu jauh, tetapi ia memerlukan satu pengorbanan yang besar untuk aku keluar dari zon selesa itu. Semoga Allah redha.

Untuk anak didikku, kutinggalkan kalian dengan menggenggam satu cita-cita. Semoga kita bertemu nanti bersama-sama dengan cita-cita yang sudah kesampaian. 

Semoga kalian berjaya didunia dan akhirat!

Ya Allah, pandulah aku dalam redha-Mu...

18 Ogos 2013

Mendidik Generasi Pewaris

Mereka perlukan kita untuk mencorakkan mereka.
[Gambar hiasan]

Aku sangat-sangat terkejut bila ada terbaca satu blog yang menyiarkan cerita tentang dua orang budak lelaki melakukan onar di sebuah cyber cafe pada pagi raya.

Apa cer?

Ni ceritanya..

Menurut blog tersebut...pada pagi 1 Syawal yang lalu (1434H), disaat orang lain pergi beraya, ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan sesama sendiri, adalah kelibat dua orang kanak-kanak ni di sebuah cyber cafe. Diulangi, KANAK-KANAK..umur sekitar 9-12 tahunlah lebih kurang.

Dipendekkan cerita, dua budak ni ditangkap oleh pemilik cyber cafe tu sedang menonton video lucah dan apa yang lebih mengejutkan lagi...salah seorang dari kanak-kanak tersebut sedang melakukan onani. Ya, ONANI..ditempat awam, pada pagi raya tanpa rasa malu dan mereka adalah KANAK-KANAK ISLAM!

Aku difahamkan dari penulisan blog tersebut perlakuan itu dirakam melalui sebuah cctv tapi blog tersebut hanya memaparkan sedikit sedutan gambar dari kejadian tersebut. Mungkin menjaga aib mereka dan keluarga. Aku pun tak tengok video tu, cukuplah gambar-gambar yang dikaburkan tu mengguris hati aku ni.

Walaupun adik-adik kita tu dah melakukan sesuatu yang di luar jangkaan dan boleh dikategorikan sebagai teruk tapi eloklah jangan didedahkan identiti budak tu. Kita tak tahu masa depan dia macam mana, dia masih belum matang berfikir. Kesian, baru nak melangkah mengenal dunia, dah tersadung akar kayu tapi itu tak bermakna dia tak boleh bangun balik dan meneruskan perjalan sehingga ke puncak.

Kalau ada yang tahu identiti budak tu, simpan dan rahsiakanlah. Kita doakan itu pengajaran yang paling berharga dalam hidup dia dan semoga dia jadi Muslim yang sejati, insya-Allah.

Bila tahu tentang kejadian tu, buat aku terfikir. Di mana salah dan silap kita mendidik generasi mendatang?

Dengan cerita drama dan filem yang berunsurkan lucah bersepah diluluskan. Tak payah tengok jauh filem oversea, filem melayu sendiri pun dah melampau. Suka sangat buat unsur-unsur lucah dalam filem, ingat budak-budak tak faham ke? Bila dirangsang untuk tahu mulalah budak-budak ni cari alternatif sendiri untuk 'tahu' dengan lebih mendalam.

Bukanlah semata-mata kesalahan tu ada pada drama-drama dan filem-filem tapi perlu diingat, filem adalah satu medium yang memberi kesan yang amat kuat kepada pemikiran kanak-kanak. Apa yang ditonton akan memberi kesan kepada perlakuannya. Buktinya, berapa ramai kanak-kanak yang meniru gaya dan aksi-aksi watak kartun yang mereka tonton seperti Superman dan Power Rangers? Ramai..sangat ramai.

Kerana itu lahirkanlah sesuatu yang mendidik. Benar-benar mendidik, bukannya 60 minit babak negatif dan hanya 10 minit terakhir barulah ada adegan keinsafan. Ketahuilah, 60 minit itu lebih lama untuk 'mendoktrin' minda penonton.

Cukup-cukuplah dengan filem berunsur lucah, lawak-lawak lucah dan pemakain-pemakaian baju yang 'menonjol'kan segalanya. Kita sedang menuju kehancuran generasi mendatang, cukuplah.

Ok, cukuplah fasal filem.

Selain dari filem, pemantauan ibu bapa pun penting juga. Ambillah tahu apa sahaja tentang anak-anak. Kawan-kawannya, apa yang dilayari di internet, kemana dia pergi dan kehidupan hariannya. Ibu bapa perlu tahu!

Bukan mengongkong tetapi ibu bapa perlu tahu supaya apa yang salah boleh ditegur sebelum membarah.

Dunia hari ini penuh dengan fitnah dan pancaroba, kita mesti berhati-hati melangkahinya. Jangan sampai tersungkur dek kecuaian sendiri. Kelak merana diri.

Apa-apa pun, pastikan anak-anak dididik dengan ilmu agama yang cukup sedari kecil lagi dan bukan setakat anak-anak, ibu bapa juga perlu menunjukkan contoh kehidupan Islam kepada anak-anak untuk diikuti. Kadang-kadang masalah juga, anak-anak nak hantar pergi sekolah agama tapi mak bapak tak tutup aurat. Anak tak nampak praktikalnya ilmu yang dia pelajari di sekolah. Lagi teruk, ada mak bapak yang meracun fikiran anak-anak dengan bermacam alasan bila disoal mereka.

Ingat peribahasa Melayu, 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'.

Jangan sampai nasi menjadi bubur.

15 Ogos 2013

Saksi Bisu

[Gambar Google]

Dunia menjadi saksi bisu
Darah pekat mengalir laju
Keringat likat tumpah dibaju
Tak tersanggup untukku menonton kesengsaraanmu
Dalam penuh kebisuan itu.

Dalam jerit anak pejuang
Asap putih menjerut ruang
Dalam korban kian menjulang
Kami - masih hanya memandang.

Peluru itu kental mengasak benak kepala saudaraku
Gerombolan itu bersketsa kedamaian di pentas kaku
Ia sedang berlaku!
Namun kita masih lagi begitu
Susah mengutus sekeping doa syahdu
Buat saudara negeri jauh itu.

Tumbang, tumbang dan tumbang
Nyawa kalian melayang terbang
Setinggi semangat yang tak pernah hilang
Janji tuhanmu tetap dijulang.

Tanah kering Rabaah memujuk korban
Tika dipeluk para pejuang keadilan
Bumi itulah Firaun ditelan
Setelah bongkak menyusur zaman.

Saudaraku, kalian dalam doaku!

-fikirsekejap-

30 Jun 2013

Nikmat Diuji Tuhan

[Gambar Google]

Segala puji bagi Allah Yang Maha Agung.

Aku pasti. Sebagai manusia yang normal kita semua pernah diuji. Berbagai-bagai cabaran dan dugaan yang pernah mendatang dalam hidup kita. Dan Alhamdulillah kita masih disini, sudah melepasinya.

Semua orang diuji. Ujiannya ada yang sama dan ada yang berbeza.

Tinggal lagi kita. Bagaimana cara kita mendepani ujian hidup. Bagaimana kita melalui ujian yang diberikan tuhan.

Ada manusia yang bila diuji tuhan, dia mengeluh. Dia merungut. Dia menyesali kehidupan. Ini hanya berlaku apabila ujian itu dipandang dari sudut menyusahkan, bila dilihat dari sudut negatif.

Ketahuilah, Allah s.w.t tidak menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia. Termasuklah segala pancaroba yang mendatangi kita.

Sejujurnya, jika dilihat dari sudut positif, ujian dari tuhan itu banyak manfaatnya. Bahkan kadang-kadang ia menjadi satu nikmat bagi yang merasainya.

Aku pernah diuji. Aku pernah diberi sesuatu ujian dari tuhan menyebabkan aku terduduk menangis. Aku juga pernah diberi ujian oleh tuhan yang menyebabkan aku merasa tiada sesiapa yang hendak aku adukan selain Dia.

Ya, aku juga pernah. Seperti juga kau, dia dan mereka. Kita akan ada satu masa yang diuji sehingga kita rebah dalam tangis.

Tapi, persoalannya kemana tangisan itu kita bawa?

Ke puncak bangunan tinggi dan terjun membunuh diri?

Atau menggantung diri dalam tangisan dengan harapan masalah selesai?

Atau melepas perasaan kepada insan lain sehingga mengundang mudarat yang lebih besar?

Tepuk dada tanya iman. Kemana kita bawa tangisan itu.

Sebaik-baik tangisan adalah tangisan yang membawa kita kembali kepada Ilahi. Tangisan yang mengundang kita kembali ke tikar sejadah. Tangisan yang membawa kita kembali kepada pengharapan HANYA kepada-Nya.

Aku bukan menulis kosong semata-mata teori.

Bahkan aku pernah merasai detik itu. Detik diuji yang membawa ku kembali kepada cinta Allah. Membawa aku merasai naungan rahmat dan kasih sayang-Nya.

Subhanallah, sebenarnya saat itu indah kerana aku merasakan sesungguhnya kasih dan perhatian dari Allah s.w.t. Yang mana, kita semuanya kadang kala leka dan alpa dalam dunia yang penuh tipu daya ini. Kita kadang-kadang tenggelam dalam nafsu dunia yang menggenggam hati.

Dan dengan ujian itulah Allah s.w.t membawa kita kembali kepada Dia.

Di saat ujian melanda dahulu, aku merasakan itulah solat ku yang betul-betul khusyuk.

Di saat ujian melanda itulah juga aku betul-betul merasakan solatku itu diperhatikan Allah s.w.t dan pengharapan sepenuhnya ku pohonkan kepada Dia.

Sungguh, saat itu sangat indah. Menyedarkan betapa dekatnya kita dengan rahmat Allah yang selalu kita abaikan. Kita tenggelam dalam kekhusyukan dan kenikmatan bersujud kepada-Nya.

Di sebalik kesusahan dan ujian yang diberikan Dia, ada nikmat yang tak terhingga.

Sebagai hamba Allah, yakinlah selagi kita beriman kepada Allah, kita pasti akan diuji. Bukan kerana Allah s.w.t bencikan kita, tetapi kerana rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t itu amatlah luas.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” Surah Al-Ankabut ayat 2-3.

27 Jun 2013

Senandung Semalam

[Gambar Google]

Senandung semalam
Kadang-kadang menjentik jiwa lara
Membelai sehingga tawa.

Senandung semalam
Kadang-kadang membenih bara
Membakar segala apa.

Senandung semalam
Adakala indah baitnya
Mengulit cuping telinga
Menggapai makna cinta.

Senandung semalam
Adakala kejam alunnya
Sedih menyelam lara
Pedih menusuk duka.

Senandung semalam
Janganlah ditinggal tak bermakna
Sesekali perlu diintai juga
Cuma berhaluslah bila disentuh kita.

-fikirsekejap-

24 Jun 2013

Jerebu 13

[Gambar Google]

Kelabu
Matahari tersipu-sipu
Disebalik asap dan debu
Angin berlalu
Hujan ditunggu
Belum bertamu
Manusia mula melesu
Dari asap yang dihidu.

Aku termangu
Pasti ada sesuatu
Teguran dari Tuhanku
Melaluimu
Jerebu.

-fikirsekejap-

03 Jun 2013

Ajak Buat Baik - Jom!

[Gambar Google]

Di mana kita tanpa dakwah? 

Di mana masyarakat kita tanpa dakwah?

Ramai sangat yang alergi dengan perkataan ni. DAKWAH. Bukan sebab benci tapi bila guna perkataan dakwah ni rasa tak sesuai. Rasa 'poyo'.

"Aku bukan ustaz..seganlah.."

"Alah..aku ni pun bukannya baik sangat.."

"Tunggulah aku bersedia dulu.."

Inilah antara sebab ramai yang alergi dengan perkataan ni. Ok, ni aku nak bagi satu penjelasan yang terang dan jelas ye. Baca elok-elok.

Anda tak perlu jadi seorang ustaz, ustazah apatah lagi tunggu ada gelaran Dr atau Prof untuk berdakwah!

Ramai lagi yang salah faham sebenarnya. Mengajak manusia kembali kepada Allah s.w.t itu adalah tugas kita semua. Tapi bila sampai kepada persoalan hukum-hakam dan sebagainya, kalau kita tak mahir eloklah diserahkan kepada yang mahir. Yang tu jangan pandai-pandai pulak.

Dakwah tu tanggungjawab kita selagi mana kita ni Islam. Tak kiralah kita ni artis ke, pemain bola ke, perdana menteri ke, pencuci jamban sekalipun..kita adalah pendakwah. Dakwahlah dalam ruang lingkup yang Allah s.w.t dah tetapkan dalam hidup kita. Dakwahlah semampu kita.

Dakwah tu bukan semata-mata duduk dalam masjid depan sekali sambil ada microphone, lepas tu baca kitab. Bukan semata-mata itu.

Bahkan berkelakuan baik dan mengikut syarak juga boleh menjadi satu dakwah seandainya itu niat kita. Kita niatkan segala perlakuan baik yang kita lakukan ini kerana Allah s.w.t dan semoga ada yang terbuka pintu hati untuk sama-sama menjadi baik bila melihat perlakuan kita. Itu juga dakwah!

Dakwah juga tak semestinya berjubah dan berkopiah. Ya, itu memang bagus namun bukanlah satu kewajiban.

Kadang-kadang dengan berpakaian kasual biasa lebih mudah untuk kita mendekati seseorang mad'u ataupun sasaran dakwah. Apa-apa pun, itu bergantung kepada keadaan dan suasana semasa juga. Sesuaikanlah dengan sasaran dakwah kita agar mereka lebih mudah terpaut.

Dakwah itu bercabang-cabang cara dan jalannya, lakukan mengikut kemampuan kita. Tak perlu pun menggelarkan diri itu ustaz pun untuk berdakwah dan mengajak kepada kebaikan.

Masing-masing dari kita Allah s.w.t telah kurniakan kelebihan masing-masing dalam diri. Gunakanlah sebaiknya untuk Islam, jangan sia-siakan kelebihan yang ada. Allah menilai semua kebaikan walaupun sedikit. Gunakanlah.

Tak payah malu lah untuk berdakwah. Kalau manusia yang melakukan dosa terang-terangan tidak malu, maka kenapa kita yang mengajak manusia kembali pada Allah s.w.t harus malu?

Tapi ingat, dakwah mestilah ada cara dan strategi. Jangan meng'khinzir' buta (ayat sopan..hehe).

Jangan terlalu melulu kerana hidayah Allah s.w.t bukan milik kita. Tugas kita hanya menyampaikan. Dakwah dan terus dakwah, semua itu ada nilainya di sisi Allah s.w.t. Walaupun memakan masa beribu tahun sekalipun, tugas kita menyampaikan bukan membenci mereka kerana tidak menerima dakwah kita. Ingat, hidayah milik mutlak Allah s.w.t.

Dakwahlah dengan hikmah. Bukan semata-mata lembut tetapi berstrategi. Ajaklah manusia kembali kepada Allah s.w.t, tuhan yang satu.

Dakwah milik semua umat Islam dan wajib kita lakukan.

Ok lah, kalau malu juga nak guna istilah dakwah tu tukarlah ikut kesesuaian diri masing-masing. Contohnya, kita tukar jadi 'ajak buat baik'. Boleh?

Tapi aku rasa yang tu lagi panjang.

Ah, pandai-pandailah sendiri. Asalkan dakwah jangan tinggal. Ok?

04 Mei 2013

Aku Ini Marhaen - PRU 13

[Gambar Google]

Siasah berkecamuk, diamuk lantang
Tunggang langgang, lintang pukang
Nilai budi dicincang-cincang
Tembus hingga nampak ke tulang.

Marhaen keliru
Yang mana satu
Yang mana isu
Yang mana palsu
Yang mana kebenaran jitu.

Diserang tak berparang di angin maya
Diserang tak bermaya di alam nyata
Tak mampu melibas tenaga
Dengan kudrat yang ada tersisa
Diadukan pada Dia Yang Esa.

Kita, bersilat berpencak
Dalam satu gelanggang lecak
Yang jatuh akan kalah dalam lecak
Yang menang juga akan megah dalam lecak
Justeru jangan dikeringkan lecak
Kerna lecak itu samanya kita.

Berdendang tembus ke hati
Ikhlas menghembus nurani
Akrab dengan Pencipta Abadi
Pemimpin impian buat tanah yang berseri.

Aku rakyat marhaen.

-fikirsekejap-

24 April 2013

Cinta Rasul

[Gambar Google]

Waktu kelas hari ni aku panggil salah seorang dari anak murid aku ke depan kelas untuk ceritakan pengalaman dia yang baru balik mengerjakan umrah dengan keluarga dia.

Budak-budak, biasalah..bila suruh cakap depan orang tersipu-sipu sampai nak keluar suara pun susah. Padahal sebelum tu bukan main galak lagi.

Aku berpandangan yang mungkin dia tak tahu nak mulakan dari mana kisah dia. So, aku pun tolong la tanya-tanyakan soalan untuk dia mudah nak cerita.

Memandangkan aku dah pernah diberi peluang oleh Allah s.w.t untuk menjejakkan kaki ke bumi barakah tu sebelum ni, jadi aku pun nak juga dengar cerita terbaru dari budak tu. Mengimbau memori kata orang.

Maka bermula la soal jawab dari aku dengan budak tu untuk memudahkan dia menyusun cerita pengalaman dia tu. Banyak la yang keluar, fasal perang uhud dan sebagainya. Kemudian aku pun bukalah pula soalan tentang Masjid Nabawi, Raudhah dan makam Nabi Muhammad s.a.w.

"Bila awak ziarah makam nabi, apa yang awak cakap?"

Saja aku bagi soalan pancing nak bagi budak-budak yang lain tahu untuk pengetahuan mereka.

Anak murid aku pun menjawab, "Assalamualaika Ya Rasulallah".

"Haa..betul.." Aku pun berpusing sikit kepala menghadap kepada murid-murid yang lain.

"Bila kita berada di makam Nabi Muhammad kita kena beri salam kepada nabi, Assalamualaika ya Rasulallah"

Waktu aku sebut je perkataan 'Assalamualaika Ya Rasulallah' tu, tiba-tiba hati aku jadi sebak.

Spontan. Akal aku mengimbas memori berada di sana berhadapan dengan makam Nabi Muhammad s.a.w dalam keadaan sendu yang tak perlu dipaksa dan tak perlu dibuat-buat.

Mata aku bertukar merah dan air mata mula bertakung. Hati aku tiba-tiba menjadi sebak.

Tapi memandangkan aku berada di dalam kelas dan berhadapan dengan anak-anak murid aku. Aku cuba tahankan air mata aku dari mengalir dan teruskan juga cerita mengenai Rasulullah s.a.w dan pengalaman aku sendiri berziarah ke sana.

Susah untuk aku menyambung cerita dalam sendu yang cuba aku tahan.

Kedengaran juga soseh-soseh dari anak-anak murid aku mengenai mataku yang berkaca namun aku diamkan sahaja dan teruskan bercerita. Begitulah seterusnya soal jawab berlaku dan diselang-seli dengan penerangan dari aku untuk anak-anak muridku lebih faham sehinggalah rasa sebak itu perlahan-lahan hilang.

Biarlah, hari ini anak-anak muridku menjadi saksi airmataku bergenang kerana cinta kepada junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Semoga mereka satu hari nanti mereka akan mengerti tentang cinta dan rindu Rasulullah s.a.w kepada kita sebagai umatnya pula.

Kerinduan. 

Sesuatu yang tak boleh dipaksa dan ia akan hadir dalam diri si perindu. Aku bersyukur kerana dalam batang tubuhku yang bergelumang dosa ini Allah masih izinkan kerinduan pada kekasih-Nya untuk bertapak.

Bukan niat nak menunjuk. Aku cuma rasa mahu berkongsi di laman maya ini agar lebih ramai yang akan mengerti dan mencari kecintaan dan kerinduan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Insya-Allah.


22 April 2013

Bayangan Persepsi

[Gambar Google]

Cuba, menyingkap tabir seluasnya
Mata, tak mampu menafsir segala
Tuhan tahu segala apa
Tugas kita?
Mengkaji bukan terus mencela.

Nilaian zahir, mata bekerja
Hati longlai tanpa bicara
Ditagih penangan minda
Biar terbuka husnuzhon-nya.

Tak perlu dicanang sisi neraka
Untuk Tuhan sahaja kita bicara
Minta diampun noda dan dosa.

Persepsi kita terus menjalar
Nilai dan budi kian menawar
Terlalu asyik nafsu membakar
Nista dan keji makin menular.

Oh, sisi persepsi sukar diuji.

-fikirsekejap-

13 April 2013

Dariku Untuk-Mu

[Gambar Google]

Ya Allah
Aku hamba-Mu
Aku sedar
Langkahku layu
Kadang-kadang terpesong tak menentu.

Ya Allah
Lemahnya aku
Ditipu dunia yang hanya secebis
Dari kekuasaan-kekuasaan-Mu
Yang meluas.

Ya Allah
Tolonglah ya Allah
Ampunkanku ya Allah
Ini rayuku buat-Mu tuhan
Esak tangis tak bererti tanpa redha-Mu
Senyum tawa menjadi duka.

Ya Allah
Aku sedar aku hamba
Tapi masih juga aku leka
Aku sedar aku makhluk
Tapi ku masih juga mabuk - khayal dunia.

Langkahku tersasar lagi dan lagi
Kau tetap memberi tanpa henti
Sungguh, aku malu.

Ampunkan hamba-Mu ini ya Tuhan.

-fikirsekejap-

02 April 2013

Filem Kita: Komersial, Murahan Atau Mendidik?


[Gambar Google]

Speechless.


Aku tak tahu nak cakap apa.

Sedih, geram, marah. Semua ada bila aku tengok beberapa adegan dalam filem melayu sekarang ni yang boleh dikategorikan 18SX (sebenarnya 18 ke atas pun haram juga tengok).

Mulanya, aku terjumpa satu page dalam facebook yang mengajak untuk boikot filem-filem tu. Dalam page tu ada tunjuk sedutan-sedutan yang 'panas' dari filem-filem MELAYU ISLAM tersebut. Bila aku tengok je..berderau darah aku. Only one word..

Astaghfirullaahal'azim.

Filem yang pertama kononnya fasal suami isteri yang mencari cinta. Lepas tu ditunjukkan babak-babak atas katil, bilik mandi, gesel-gesel hidung..pergh! Sakit betul hati aku. Boleh pula lepas dengan LPF tu!

Filem kedua pula kononnya fasal cerita amukan hantu (agaknyalah). Lepas tu ditunjukkan la babak dua orang pelakon lelaki dan perampuan berpeluk atas katil dalam keadaan pelakon lelaki itu tak berbaju dan menindih pelakon wanita dan pelakon wanita itu melakonkan riak wajah ghairah seolah-olah sedang melakukan seks dan mereka berada di dalam satu selimut!

Ya Allah..speechless!

Untuk filem kedua tu, dikatakan babak tu dah dipotong LPF tapi masalahnya, tergamak pelakon-pelakon MELAYU ISLAM di Malaysia ni berlakon sampai ke tahap macam tu. Dah la si pelakon perempuan tu berstatus isteri orang!

Bila jadi isu, alasan yang sama akan keluar. "Kami hanya ikut kehendak pengarah"

Aduh..Allah atau pengarah tuhan kamu?

Apa yang Allah larang tapi bila pengarah suruh buat, boleh pula buat. Ingat! Allah itu tuhan! Apa yang diharamkan Allah itu tetap haram walau disuruh sesiapa.

Sedih aku tengok industri hiburan kita. Itulah, bila saudara Bob Lokman atau artis-artis lain yang dah insaf tegur, melenting. Tapi inilah hakikatnya. Semakin teruk dan teruk. Sehingga peraturan Allah sudah seakan-akan tidak ada makna lagi dalam kamus hidup mereka sedangkan nafas yang disedut adalah atas ihsan Allah.

Biarlah ada orang nak kata aku jumud, tak up to date, ketinggalan zaman. Asalkan kita berbicara mengenai perkara yang benar.

Jangan mengundang murka Allah!


Maaf, tapi sudahlah industri kita ni tak ke mana, nak ditambah pula dengan kerosakan filem-filem sampah macam tu.


Bila aku tengok beberapa filem yang berkualiti dari luar aku jadi terfikir. "Ke mana arah tuju filem di Malaysia?".

[Gambar Google]

Satu filem yang aku minat, 'Taare Zameen Par' dari Bollywood (Hindustan).  Tak perlu wanita-wanita seksi, apatah lagi seks di atas katil tapi mampu menjentik sanubari dan jiwa penonton untuk bersama mengikuti sehingga ke penamatnya. Hanya berpaksikan seorang budak istimewa. Ini baru filem yang cerdik.

Sepatutnya kita orang-orang Islam lebih mendahului dalam filem-filem cerdik begini dan bukannya mengikut jejak barat yang semakin tandus moral di dalam filem mereka.

[Gambar Google]

Sebuah lagi filem yang menarik bagi aku ialah 'Serdadu Kumbang". Tak jauh, dari jiran kita sahaja. Indonesia. Ya, mungkin filem-filem ini tidak perfect dari segi aurat dan sebagainya tetapi sekurang-kurangnya ada isi yang manis untuk dihadam minda penonton dan bukan menjaja seks murahan. Ini hanya sebagai contoh.

 Kenapa tidak kita menghasilkan filem begini?

Ini sudahlah filem tak habis-habis dengan hantu, cinta dan lawak bodoh (maaf kasar sikit), nak pula ditambah dengan unsur-unsur seks di dalamnya. Fuh..murahan.

Ya, mungkin ada beberapa filem yang cerdik di Malaysia ni tetapi jumlahnya terlalu sedikit nak dibandingkan dengan filem-filem buang masa dan murahan.

Aku menyeru kepada penonton-penonton yang cerdik di luar sana, cukuplah kita menyokong filem-filem yang tak membangunkan minda dan akal kita. Biarkan si luncai terjun dengan labunya, jangan kita ikut 'tiruk' sekali. Kalau boleh pujuk supaya jangan terjun lagi bagus.

Ingat, buat filem pun ada nilai dosa dan pahala disisi Allah s.w.t.

Pastikan Allah redha!

20 Mac 2013

Allah Tahu.

[Gambar Google]


Baru-baru ni terpaksa berkelana sekejap ke bumi Selangor untuk membuat perkara yang aku tak suka buat tapi memang kena buat, meeting.

Al-kisah, terpaksalah duduk 4 hari kat sana mengadap kertas-kertas, dinding-dinding dan muka-muka yang sama selama hampir seminggu. Puas jugalah.

Bila balik dekat rumah, tiba-tiba terdengar fasal birthday. Aik..birthday siapa?

Aku pun check la balik, rupa-rupanya birthday mak aku sehari sebelum aku balik rumah. Punyalah sibuk sampai boleh lupa.

Aku pun merajinkanlah kaki aku untuk menapak cari sesuatu untuk mak aku dekat mall yang berdekatan dengan rumah aku. Main jalan je, tak tau apa nak dibeli untuk hadiah.

Bila sampai dekat mall, aku blur.

Apa yang nak dibeli? Dah pusing-pusing pun tak tau apa nak dibeli.

"Ya Allah, tolonglah jumpakan sesuatu yang boleh dibuat hadiah untuk mak"

Serius aku minta dengan Allah macam tu. Sebab memang tak tau nak belia apa, maklumlah tak berbini lagi. mana pandai nak beli barang perempuan. :)

Aku pun menambah langkahan aku terus masuk sampai ke dalam pasaraya 'The Store'. Kot-kot la ada benda yang nak dibeli. Tiba-tiba aku terfikir.

"Cari handbag je la"

Sekurang-kurangnya kalau dia dah ada, boleh tambah lagi pilihan dia nak guna. Pening jugalah nak cari handbag bagi orang yang tak ada pengalaman macam aku ni. Aku pun sambarlah satu mengikut citarasa aku dan mengikut kadar gaji aku.

Dekat rumah, aku menghulurkan hadiah aku dengan sedikit pesanan untuk mak aku. "Harga rahsia," kata aku sambil tersengih.

"Mak tengok brand dah boleh tau harga dia" balas mak aku sambil membuka plastik yang membalut handbag.

Mak aku tersenyum. Hati aku pun tersenyum.

"Mak memang suka brand ni la" sampuk kakak aku.

"Ye ke? Mujur ambil yang ni" aku lega.

"Mujur aok(awak dalam loghat pahang) beli handbag untuk mak. Handbag mak memang dah tak elok pun" sambung kakak aku lagi.

"La.." aku makin lega. Betul apa yang aku beli, main hentam je.

Aku pun terus pergi ke masjid memandangkan bilal dan melaungkan azan. Dalam kereta aku teringat.

"Aku punyalah blur nak beli apa tadi tapi bila aku berdoa minta dengan Allah, Allah bagi ilham tepat dengan apa yang mak aku perlukan"

Ya, aku teringat doa aku tadi. Dan ternyata Allah Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.

Aku dapat ilham beli handbag yang memang mak aku tengah perlukan dan tepat pula dengan brand yang memang mak aku selalu guna. Padahal aku memang tak pernah tau brand apa handbag mak aku selama ni.

Lega.

Terima Kasih Ya Allah!

07 Mac 2013

Mulut Sampah

[Gambar Google]

Aneh mulut itu
Bicaranya lancar
Seninya manis
Semanis tebu di pinggir bibir
Sekali-sekala janji disembur
Berterabur..
Menabur atau melabur?
Entahlah..
Mungkin ada yang terhibur.

Lembutnya lidah tanpa tulang
Berbelit-belit, bercabang-cabang
Merodok-rodok, lompang.

Gagah pada bicaranya
Seni pada nadanya
Seolah tanpa cacat dan cela
Tapi
Hakikatnya
Penuh daki dan noda
Kotor penuh nista
Tapi aku pelik dan jelik
Masih ada yang percaya
Aduh..!
Mudahnya mencipta dosa
Mudahnya menerima dosa
Mudahnya menyebar dosa

Mulut yang aneh itu
Masih terus berbicara
Memimpin ke lembah durjana!

-fikirsekejap-

25 Februari 2013

Palestin Guru Kita

[Gambar Google]

Palestin
Kau guru kami
Titis air matamu membakar emosi
Darah yang dialirkanmu membasahkan kekontangan jiwa kami
Dirimu guru dunia yang kian sepi.

Palestin
Kau mengajar anak bangsa dunia
Tentang jihad dan pertaruhan nyawa
Perjuanganmu membuka persepsi sejagat
Tentang pengorbanan jiwa dan keringat.

Palestin
Kau tidak mengalah
Tidak sesekali beralah
Walau dilihat kalah
Namun kami tahu kau gagah.

Palestin
Anak-anakmu menangis sayu
Ibu-ibumu berdendang pilu
Namun kami tahu
Pejuang-pejuangmu kental diasak peluru.

Palestin
Teruslah mengajar kami
Menyinsing fajar berganti hari
Ilmu darimu tetap kami nanti
Buat mencerahkan kegelapan hati.

-fikirsekejap-

13 Februari 2013

Ber'facebook' Sebagai Seorang Muslim



Facebook ataupun lebih glamour sebagai fb menjadi medium jaringan sosial yang sangat meluas sekarang. Ini jugak tak terkecuali bagi umat Islam di seluruh dunia hari ini.

Ya, banyak fatwa-fatwa ataupun ulasan-ulasan ilmiah yang telah dibuat oleh ulama-ulama dan ilmuan-ilmuan Islam tentang fb ni. So, sebagai seorang yg bukan bertaraf ulama aku tak nak la sentuh perihal hukum-hakam penggunaan fb bagi orang muslim. Biarlah mereka yang lebih arif memberi pandangan.

Apa yang aku perhatikan akhir-akhir ni semenjak fb ni semakin 'menggila' dalam masyarakat kita, masyarakat kita seakan semakin lalai atau kurang cakna tentang dosa dan pahala kita dalam fb.

Kata-kata yang tak elok, hina-menghina, carut-mencarut...itu belum lagi nak dicampurkan dengan upload gambar-gambar dan video-video yang tak sesuai dengan syariat. Atau dalam erti kata yang lain, haram bagi umat Islam.

Saudara-saudaraku yang seagama denganku, sentiasalah kita ingat bahawa kita ni umat Islam. Jadi, ber'facebook'lah sebagai orang Islam. Allah sentiasa ada dan melihat, bukan sahaja di dunia nyata bahkan di dunia maya pun tak terlepas dari pandangan Allah!

Apa sahaja yang kita komen tu akan tetap berada di situ selagi kita tak padamkannya. Kalau sempat nak padam, alhamdulillah...kalau tak sempat nak padam macam mana? Fikir-fikirkanlah..

Aku bukan nak tunjuk pandai, tapi aku tengok makin menjadi-jadi pulak sekarang ni. Komen ikut sedap hati je seolah-olah tak ada malaikat kat kiri kanan tengah mencatit.



Ni nak masuk pulak bab gambar@video ni....

Bro..sis..tolong la jaga aurat korang kat dalam fb. Tak ada pengecualian aurat dalam fb tu bagi kita sebagai orang Islam. Dosa tetap dosa.

Bukan setakat berdosa, bahkan bercambah-cambah pilak dosa tu bila buka aurat dalam fb.

Bayangkan, sekali kita bukak aurat tunjuk dekat orang yang tak sepatutnya kita dah dapat dosa. Tapi bila kita kita tutup maka berhentilah dosa yang masuk tu.

TAPI...

Bila kita upload gambar yang bukak aurat dalam fb, sekali orang tengok dapat dosa, orang lain pulak tengok dapat dosa, selagi aurat tu tertayang dalam fb ada la dosa untuk kita. Bayangkan, tengah tidur pun dosa masuk lagi sebab aurat dalam fb tu masih terbuka. Kasihanilah diri kita...jangan campakkan diri kita ke dalam api neraka atas sebab kelalaian kita.

Percayalah, kita tak mampu membayangkan dan menahan seksa api neraka Allah.

Panjang lebar pulak membebel...

So, kesimpulannya berhati-hatilah semasa mengomen dalam fb dan padamlah segala gambar-gambar yang tak sepatutnya yang telah diupload dalam fb. Pahala kita pun dah tak banyak mana, janganlah nak ditambah pulak dosa yang menggunung.

06 Februari 2013

Kisah Pasar Malam

[Gambar Google]

Hari ni aku melangkahkan kaki aku ni pergi ke pasar malam pada waktu petang selepas asar. Boleh dikatakan sebagai rutin mingguan jugaklah melilau di pasar malam lepas letih balik kerja.

Aku meninjau-ninjau jugaklah gerai-gerai yang sama setiap minggu tu. Gerai yang sama, penjual yang sama, suasana yang sama dan makanan yang sama je la setiap minggu tapi masih nak pergi jugak. Hei..manusia2..(aku la tu).

Tapi hari ni aku ada nampak sesuatu yang lain.

Tengah aku jalan-jalan tadi ade la sorang budak perempuan ni, umur dalam lingkungan 5-6 tahun. Tengah syok-syok dia berjalan tiba-tiba dia tersungkur sebab mak dia tertolak dia dari belakang (maklumlah orang ramai).

Yang buat aku terkejutnya dialog budak tu bila terjatuh.

"Mak la yang tolak! B*bi!"

Ya, b*bi kepada mak sendiri.

Mak bapak budak tu pun terkial-kial la bila anak diorang cakap macam tu kat tempat awam. Segan agaknya.

Tapi seriously, aku memang terkejut bila dengar budak dalam lingkungan umur macam tu boleh cakap perkataan yang macam tu dekat mak sendiri. Budak kecil yang masih baru nak kenal dunia.

Salah siapa sebenarnya? Kenapa generasi kita boleh jadi sampai tahap macam tu?

Bayangkanlah kalau masa kecik boleh mencarut dekat mak macam tu. Agak-agak bila dah besar apa pulak yang dia boleh buat dekat mak dan ayah dia? Na'uzubillah..semoga adik tu jadi anak yang baik.

Bagi aku, mungkin ada banyak faktor, tapi antara yang utamanya ada 2.

1. Mak dan ayah sendiri.

Mak dan ayah mestilah sentiasa menunjukkan contoh tauladan yang baik dekat anak-anak. Bahasa mestilah sentiasa kena jaga di hadapan anak-anak(sepatutnya sepanjang masa). Kalaupun ada apa-apa masalah jangan sesekali cakap benda-benda yang tak elok depan anak-anak. Walaupun perangai kita tak berapa nak elok, tapi soroklah dari anak-anak. Ingat, kalau bapa kencing berdiri, anak pulak kencing berlari!

2. Media massa.

Ini antara perkara yang sangat merasuk minda budak-budak sekarang. Cerita-cerita yang tak ada faedah dan mengarut sekarang ni berlambak dekat tv dan wayang. Bahasa-bahasa yang tak senonoh dah jadi perkara biasa di cuping telinga anak-anak.

Macam mana nak kawal? Kena jadi manager tv pulak ke? Atau nak kena join ahli lembaga penapisan filem?

Tak, kita tak mampu. Apa yang kita mampu ialah kawal apa yang anak dengar dan apa yang anak lihat dalam media. Tak kiralah sama ada drama, filem, lagu atau apa-apa saja. Kawal anak-anak!

Jangan sesekali lepaskan anak-anak bebas menonton apa-apa sahaja tanpa kawalan sebab diorang masih kecil dan perlukan perlindungan kita dari kecelaruan dunia hari ni. Dan yang paling penting, didiklah anak dengan didikan Islam. Insya-Allah, baik budak tu.

Sekian dari aku yang belum kahwin.

29 Januari 2013

Cerpen: Dosa


"Cepat la mak..member along dah tunggu kat luar tu.."

"Ye long..sabar la, mak nak kira dulu ni.."

"Alah..nak kira apa lagi? Bagi je la apa yang ada.."

"Sabar la Long.."

Zakiah masih terkial-kial mengira duit yang ada di tangannya, tidaklah banyak namun sudah cukup membuatkan Zakiah teragak-agak untuk memberikan kepada satu-satunya anak Zakiah, Razak atau lebih dikenali sebagai Ajak dikalangan penduduk setempat. Setiap helaian kertas itu mempunyai nilainya bagi Zakiah.

"Alah..." Ajak mula bosan menunggu.

"Cepatlah ibu.." Ajak semakin hilang sabar. Dia bermundar-mandir di dalam bilik kecil dan sempit yang hanya diterangi sebiji mentol malap itu. Sesekali dia mengintai ke luar bilik seakan-akan risau dengan sesuatu, dia betul-betul tidak keruan.

"Ahh!" dengan tidak semena-mena Ajak merampas gumpalan wang di tangan ibunya, diambil beberapa helaian, mencampakkan kembali bakinya kepada ibunya dan terus berlalu keluar dari bilik itu.

Ibu Ajak hanya mampu terpinga-pinga melihat tindak-tanduk anaknya itu yang semakin tak terkawal kebelakangan ini, lalu dia bangun untuk mengutip helaian-helaian kertas yang dicampakkan Ajak sebentar tadi. Walaupun hatinya pedih dan hiba namun rasa kasih dan sayang kepada anak tunggalnya itu tidak langsung tergugat. Itulah kasih ibu yang sungguh berharga.

Ajak sedikit berlari-lari anak di koridor rumah flat usang di pinggir jantung kota itu, seakan-akan ingin lari dari sesuatu dan tidak mahu terserempak dengannya.

Tiba-tiba langkah Ajak terhenti, sosok seorang lelaki separuh abad berkepala botak dan berjanggut nipis yang menampakkan sedikit uban itu mematikan langkah Ajak di hadapan tangga. Dia seakan terpaku seketika, begitu juga dengan lelaki separuh abad itu. Masing-masing saling berpandangan namun pandangan lelaki itu nyata lebih tajam ke arah Ajak.

Tanpa membuang masa, Ajak terus berlari menuruni tangga seakan-akan tidak peduli akan kehadiran lelaki itu di situ. Sedikit pergeseran bahu ke bahu di antara mereka seakan langsung tidak berlaku kerana Ajak terus laju menuruni anak tangga satu-persatu dengan langkah yang laju manakala si lelaki itu hanya mengekori pergerakan Ajak dengan anak matanya sahaja.

"Ingat lagi kau dengan rumah sendiri rupanya!" jerit lelaki itu setelah Ajak agak jauh meninggalkannya. Ajak tidak mempedulikan lelaki itu dan terus menuju ke tingkat bawah sekali untuk bertemu dengan rakannya, Azri yang sudah lama menunggu di atas motosikal Honda Ex-5 sejak dari tadi.

"Apa hal bapak kau tu?" tanya Azri kepada Ajak kerana dia mendengar suara bapa Ajak yang menjerit dari tingkat atas tadi.

"Ah..lantaklah dia," balas Ajak endah tak endah, lalu mereka berdua pun terus meninggalkan flat usang itu dengan menaiki motosikal Ex-5 Azri yang mengeluarkan bunyi yang sangat bingit.

Pam!!!

Pintu rumah berdentum ditolak dengan kuat oleh Zali, bapa Ajak. Dia terus bergegas menuju ke bilik utama rumah itu dengan muka yang bengis dan kemerah-merahan menahan marah.

Sebaik sahaja melihat ibu Ajak yang sedang melipat baju di atas katil dia terus meluru kearah wanita itu dan menarik rambutnya dengan kasar. Ibu Ajak tidak mampu melawan, dia hanya mampu mengalirkan air mata sambil menahan sakit.

"Kau bagi duit dekat budak tu ke?!!" sergah Zali dengan kasar.

Tangan Zakiah terketar-ketar ketakutan. Dia tidak berani menjawab kerana dia tahu akibat yang lebih buruk menantinya di tangan jantan yang tak berguna itu.

"Jawab!!!" herdik Zali lagi.

"Ye..ye..bang.." jawab Zakiah terketar-ketar sambil tangannya memegang tangan Zali yang masih belum melepaskannya dari rambut Zakiah lagi.

"Tak faham bahasa!" Zali menolak Zakiah dengan kasar ke arah satu sudut dinding bilik, kemudian dia membuka tali pinggangnya sambil matanya menggambarkan amarah yang sangat tinggi. Dia sudah semakin hilang kawalan.

Piapp! Piapp! Piapp!

Bunyi libasan tali pinggang memenuhi ruang di dalam bilik itu seperti malam-malam yang lain. Zakiah sudah tidak mampu menangis dan menjerit, dia sudah sering menjadi mangsa kerakusan suaminya yang mempunyai sifat kebinatangan itu.

Hati kecilnya hanya mampu menjerit tanpa suara dan menangis tanpa air mata, dia merintih dan merayu dalam sendu yang penuh mengisi ruang kalbu.

**********

Malam ini langit kota menangis lagi, titis-titis air jernih membasahi lantai bumi yang semakin tandus kemanusiaannya. Warga kota masih riuh dengan urusan masing-masing, seakan semuanya mempunyai dunia masing-masing dan tidak berkongsi satu alam yang sama. Kota metropolitan yang kian membangun itu semakin rancak urusannya apabila malam semakin kelam.

Tetapi, di sebuah bangunan separa siap yang terpasak di jantung kota ini menjadi saksi akan keinsanan yang semakin mengontang. Di sebalik batu-bata dan papan-papan yang menjadi bahan binaan, Ajak dan Azri terperuk mencari sisi yang kononnya indah untuk dihayati.

Bertemankan botol-botol arak yang bergelimpangan, mereka tegar menjadi penghuni tapak pembinaan ini.

Azri memandang ke arah Ajak yang sedang menogok sebotol arak lalu berkata, " Kau memang tak kesian kat mak bapak kau ke Jak?".

Ajak membisu sambil merenung ke arah botol arak yang berada di genggamannya. Kemudian dia mula bersuara, "Sebab tu la aku cuba tak nak terserempak dengan bapak aku. Kalau dia tahu mak aku bagi duit kat aku, mesti teruk kena pukul punyalah".

"Tapi tadi kan bapak kau nampak kan?"

"Itu lah yang aku risau ni..apa lah jadi kat mak aku malam ni.." Ajak bersuara sayu sambil menggoyang-goyangkan botol arak yang sudah kosong di tangannya.

"Apalah nasib kitorang ada ketua keluarga macam tu.." perlahan Ajak mengomel sambil matanya menampakkan dendam yang tersimpan.

Tiba-tiba, "bapak aku tu memang sial!"Ajak menjerit lalu membaling botol kaca yang berada di tangannya ke dinding di hadapannya. Botol itu hancur berkecai, bersepah di hadapan Ajak.

Kepala Ajak tertunduk ke lantai, sambil badannya terhinggut-hinggut perlahan. Perlahan-lahan Azri merapati Ajak yang masih dengan posisi begitu.

"Bro.." Azri meletakkan tangannya di atas belakang badan Ajak. Dia melihat titis-titis air menitik ke atas lantai yang kotor itu.

"Aku tak mintak nak jadi macam ni..aku nak hidup macam keluarga normal yang lain..tapi lelaki tu..." kata-kata Ajak terhenti menahan kesedihan yang menghimpit dada.

"Dari kecik aku tengok dia pukul mak aku...balik tengah malam..mabuk..nak hantar aku pergi sekolah? nak ajar aku agama? jangan harap.." dia meneruskan kata-kata dalam sendu yang jujur dari hati.

"Kalau ikutkan hati aku dah lama aku bertumbuk dengan dia tapi aku masih sedar yang dia tu bapak aku.."

Azri terdiam. Kemudian dia berkata perlahan, "Kau masih untung ada mak dengan ayah".

"Aku? Ayah mati hisap dadah..mak dalam penjara. Siapa yang nak tunjuk ajar aku? Masyarakat pandang sebelah mata pun tak nak bro.."

"Tak tau lah..aku pun kadang-kadang bosan dengan hidup aku...tapi aku tahu bro, kita masih ada Allah.." kata Azri. Azri sebenarnya masih dalam proses pemulihan diri sejak keluar dari pusat pemulihan akhlak. Di sanalah dia belajar mengenal Allah dan Rasul, mengenal ilmu agama dan mengenal diri sendiri.

Setelah dia keluar dari pusat pemulihan itu dia masih lagi bersahabat dengan Ajak walaupun rakannya itu masih lagi lalai dalam dunianya, baginya dia mahu Ajak bersama-sama dengannya menuju ke jalan yang benar. Namun jalan itu tak semudah yang disangka, dia menggunakan cara yang lembut dan perlahan untuk menarik sahabat lamanya itu, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus tepung tak berselerak.

"Allah sentiasa ada bro..Dia tak pernah tinggalkan kita. Cuma kita yang lalai.." Azri menyambung kata-kata.

Ajak mengangkat mukanya memandang Azri. "Tapi dosa aku banyak bro..banyak sangat.." Ajak berkata dalam sebak.

"Bro..." Azri duduk di sebelah Ajak. "Allah tu Maha Pengampun...Dia sedia mengampunkan hamba-hambaNya asalkan hambaNya betul-betul ikhlas nak bertaubat," dia menyambung bicara.

"Bila kita sentiasa ingat Allah, percayalah hati akan tenang, masalah bukan lagi satu beban yang berat kerana kita ada Allah untuk mengadu," Azri berbicara perlahan kepada Ajak. Dia meletakkan harapan yang tinggi agar Allah membukakan pintu hati sahabatnya itu pada malam ini.

Ajak menangis tersesak-esak lalu memeluk Azri sahabat baiknya itu. Beberapa saat kemudian dia melepaskan pelukannya.

"Bro..ajar aku solat".

"Insya-Allah..bila-bila je yang kau nak.." Azri tersenyum lebar. Senyum kegembiraan dan kepuasan melihat rakannya itu semakin menuju ke arah yang benar.

Ajak hanya membalas dengan senyum tawar kerana hatinya masih lagi sedih, tapi dia tahu rakannya itu memang sahabat yang sebenar. Sahabat yang akan bersama-sama semasa susah dan senang.

"Bro..jom hantar aku balik tengok mak aku..aku risau la.." kata Ajak sambil mengesat sisa-sisa air mata di pipinya.

Mereka pun bergerak menuju ke arah motosikal.

**********

Sesampainya mereka di kawasan flat, mereka terus melangkah menaiki anak-anak tangga menuju ke tingkat dua bangunan untuk terus menuju ke rumah Ajak. 

Ajak membuka pintu rumah yang tidak berkunci. Sunyi. Seperti tiada sesiapa yang berada di dalam rumah itu.

Tiba-tiba mereka terdengar sayup bunyi tersesak-esak dari arah bilik. Mereka berpandangan, lalu Ajak dengan pantas membuka pintu bilik.

"Mak!!!" Ajak menjerit terkejut.

Kelihatan ayah Ajak sedang menangis tersesak-esak di sebelah ibu Ajak yang sudah kaku tidak bernyawa. Kepala ibunya berdarah sehingga membasahi sebahagian ruang lantai bilik itu.

Ajak berlari mendapatkan ibunya yang sudah tidak bernyawa, dia memangku kepala ibunya dia atas ribaannya. Ajak menangis teresak-esak, "Mak bangun mak..bangun Mak.." Ajak menggoyang-goyangkan kepala ibunya, namun dia sudah terlambat kerana ibunya sudah tidak bernafas lagi. Ajak berpaling ke arah ayahnya dan merenung dengan pandangan mata yang tajam.

"Aku tak sengaja...maafkan aku Kiah.." raung ayah Ajak sambil menghentak-hentakkan tangannya ke atas lantai.

"Aku sayangkan kau Kiah..maafkan aku.." dia meraung-raung sambil menangis teresak-esak.

"Tak guna!" Ajak bangun dan meluru ke arah ayahnya namun sempat ditahan oleh Azri yang berada di situ.

"Sabar Ajak..kita serah kat polis je.." Azri menenangkan Ajak yang hilang pertimbangan.

Jiran-jiran mula memenuhi diruang hadapan balkoni rumah itu, ada yang mengintai menerusi tingkap dan ada juga yang masuk ke dalam rumah untuk melihat sendiri apa yang berlaku setelah mereka mendengar bunyi bising dari rumah itu.

Seketika kemudian sepasukan Polis sampai.

**********

Seusai solat isyak di Surau al-Muttaqin, jemaah berduyun-duyun keluar untuk meneruskan aktiviti masing-masing. Kelihatan Azri dan Ajak berada di celah-celah jemaah itu.

"Kau tak pergi lawat bapak kau kat penjara ke?"

"Baru minggu lepas aku pergi. Alhamdulillah sihat nampak dia"

"Kau tu tak pergi tengok mak kau?"

"Tak payah"

"Tak payah?"

"Hehehe..minggu depan dia dah bebas.."

"Wah...seronok la.."

Azri mengangguk gembira.

"Jom aku belanja minum malam ni.." kata Ajak sambil tangannya memaut bahu Azri yang sedikit rendah darinya.

"Cantik.." balas Azri sambil mereka berjalan beriringan menuju ke arah gerai yang terletak berhadapan dengan surau.

"Azri...bila aku fikir-fikir balik kan..bagus jugak kau masuk pusat pemulihan tu..dengan cara tu Allah bagi kau dengan aku jalan untuk berubah.."

"Allah tak akan buat sesuatu perkara untuk sia-sia bro.."

"Alhamdulillah...terima kasih ya Allah" bisik Ajak di dalam hatinya penuh kesyukuran.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...