free counters

15 Januari 2014

Cerpen: Sentiasa Ada Dia



Tina menangis teresak-esak sendirian di dalam bilik tidurnya yang sedikit kelam. Hanya sedikit cahaya dari lampu meja di sebelah tepi katilnya yang dinyalakan. Air matanya mengalir laju sederas perasaan sesal dan kecewa yang menyelubungi jiwa wanitanya.

Dia menangis semahunya, hatinya remuk dan kecewa dengan sikap Zaidi. Segala janji dan kata-kata manis Zaidi selama ini seakan sudah tiada makna lagi baginya. Dengan sepotong ayat yang keluar dari mulut Zaidi sudah cukup menyentap pangkal hatinya itu. Tina terus menangis.

"Gugurkan jelah! Apa susah sangat!"

Tina tak sangka. Zaidi bukan begitu, Zaidi seorang lelaki penyayang yang sangat mengambil berat akan Tina. Dia tidak pernah menyakiti hati Tina.

**********

"Baby.." lembut suara Zaidi mengulit telinga Tina sambil tangannya membelai-belai rambut Tina yang lembut menutupi sedikit dahinya.

"Emm.." hanya itu yang mampu diucapkan Tina saat itu kerana tenggelam dalam lautan cinta yang tak bertepian.

"Ingat tak masa mula-mula kita jumpa dulu?"

"Ingat la..kenapa?"

"Tak ada apa. Cuma I rasa happy sangat sebab dapat memiliki you sekarang ni..I ingat lagi dulu you sombong masa I mula-mula tegur you..kan.." Zaidi tersenyum-senyum sendiri seakan mengingatkan kembali saat-saat itu.

"Memang la..masa tu kan, I tengok you ni macam samseng je..hehe," Tina membalas dengan nada bergurau, cuba bermanja-manja dengan buah hatinya itu.

Zaidi mencuit hidung mancung Tina.

"Amboi..lebih-lebih pulak buah hati I ni.." Zaidi mengeratkan lagi pelukan tangan kanannya di bahu Tina.

Tina terkekeh-kekeh bahagia ketika itu. Bahagia dengan janji-janji Zaidi. Taman rekreasi berhadapan dengan tasik itu menjadi saksi pertemuan mereka berdua hampir setiap hari untuk memadu kasih.

*********

Kenangan itu bertubi-tubi menyerang benak fikiran Tina.

Dia terseksa. Selama ini segala janji-janji Zaidi ditelannya tanpa sebarang syak wasangka. Setelah segala pengorbanannya itu, dia tidak menyangka semua ini akan terjadi.

Tina meramas selimut tebal di atas katilnya sekuat hati. Dia tidak tahu bagaimana lagi mahu melampiaskan segala perasaannya kini.

Kemudian Tina menghempaskan badannya di atas katil sambil mengusap-usap perutnya yang sudah sedikit membesar. Dia memandang perutnya itu dengan pandangan sesal. Sesalan yang membuak-buak melemahkan akal fikirannya. 

Dia seakan-akan sudah tidak bermaya untuk berdiri. Berbaring di katil sambil terus menangis dan meratap. Sesekali dia menyebut-nyebut nama Zaidi dengan nada perlahan seakan-akan merayu supaya lelaki pujaannya itu kembali kepadanya.

**********

Tangan Zaidi merayap di atas tangan mulus Tina yang berkulit cerah itu. Sebagai seorang yang memang sudah dikenali sebagai seorang yang cantik, Tina memang menjaga kesihatan kulitnya. Dia merupakan seorang yang sangat menjaga ketrampilan.

Tina bukanlah seorang budak liar. Dia mempunyai didikan agama yang kuat dari keluarganya. Kerana itulah, sukar untuk Zaidi saat kali pertama cuba mendekati Tina. Jika bukan kerana pertolongan kawan Tina sendiri, entah bilalah Zaidi dapat mendekati Tina sebenarnya.

Tina tidak pernah berpasangan bercinta dengan mana-mana lelaki sebelum ini. Zaidi adalah yang pertama. Hati wanitanya cair dengan pemuda seperti Zaidi yang mempunyai raut wajah yang kacak, ditambah pula dengan pakej bermulut manis sepertinya. Setiap kata-kata pujuk rayu Zaidi menggetarkan hati Tina dan meyakinkannya bahawa Zaidi adalah jodohnya.

"Dulu kalau I nak dekat dengan you pun you marah. Kenapa sekarang you tak kisah dengan I?" Zaidi cuba bermain kata-kata lagi seperti biasa.

"Kita kan dah janji baby..perhubungan kita ini akan kita jaga sampai kita kahwin," balas Tina.

"Tapi kan..cuba kalau I ambil kesempatan dekat you..lepas tu I tinggalkan you..macam mana?" soal Zaidi kepada Tina.

Tina mencebik bibirnya dan memalingkan mukanya dari Zaidi. Zaidi cuma tersenyum melihat gelagat Tina yang merajuk bila cuba diuji dengan soalan begitu.

Perlahan-lahan Zaidi merapati Tina dari belakang.

Tina yang mnyedari pergerakan Zaidi itu hanya membatukan diri dan tidak memaling langsung ke arah belakang.

Kemudian, perlahan-lahan Zaidi memeluk Tina dari belakang. Tangannya memegang kedua-dua tangan Tina yang sedang berpeluk tubuh. Bibirnya dirapatkan ke telinga Tina.

"Sayang..you tau kan I takkan buat macam tu.." bisik Zaidi perlahan ke telinga Tina. Lembut dan meresap perlahan dalam kepala Tina.

Tina tersenyum.

"I tau..sebab tu I sayang you sangat-sangat.." Tina membalas kata-kata cinta Zaidi.

Zaidi mengeratkan lagi pelukan. Tina semakin tenggelam dalam lautan cinta itu, pegangannya sebagai anak muda perempuan yang tinggi menjaga maruahnya kian longgar. Semuanya demi cinta yang diyakininya saat itu.

**********

Dalam keadaan tangannya terketar-ketar Tina cuba mendail nombor telefon Zaidi. Walaupun seakan sudah tiada harapan lagi untuk maruahnya yang telah tergadai diragut kembali namun dia harus meletakkan harapan keran dia sudah tiada pilihan. Apalagi pilihan yang Tina ada bila Zaidi meninggalkannya, keluarganya menghalau dia dari rumah, kawan-kawan cuba melarikan diri bimbang terpalit sama dengan masalahnya dan masyarakat yang sentiasa sinis pandangnya kepada si pendosa seperti Tina.

Walau harapannya semakin kabur namun dia perlu terus berharap, pada siapa dia tidak tahu. Seakan Tuhan yang disembahnya selama ini hilang, walhal Dia sentiasa ada, cuma bila emosi mengatasi iman, syaitan  mula mengambil peranan.

Berkali-kali Tina mencuba, masih gagal. Barangkali Zaidi benar-benar memaksudkan kata-kata terakhirnya sebelum ini.

"Sama ada you gugurkan baby tu atau kita putus, that's it!"

Kata-kata itu menyentap hulu jantung Tina. Badannya melemah tak bermaya, lidahnya kelu dan fikirannya kosong. Dia bungkam sejurus ketika lafaz itu dilontar Zaidi.

Dan dek kerana kata-kata tak berperikemanusiaan dan tidak bertanggungjawab itulah Tina begini sekarang. Sendirian menumpang disebuah bilik salah seorang rakannya, yang sebenarnya boleh dikatakan bukan sebagai rakannya dahulu. Dahulu, Farisya inilah yang selalu dihina-hina oleh Tina kerana selalu cuba menasihatinya.

Memang mereka berdua bukan rakan yang baik namun mereka sudah lama berkenalan, sementelah lagi ibu dan bapa Tina dan Farisya memang akrab sejak dari zaman muda lagi. Dan kerana rasa bertanggungjawablah Farisya selalu menghulurkan kata-kata nasihat yang lembut buat Tina, namun hanya dibalas dengan caci maki dan herdikan dari Tina yang ketika itu mabuk dilambung ombak cinta, kononnya.

Urat-urat kelihatan timbul didahi Tina bila dia meneran keluar air matanya yang semakin kurang bakinya. Dia mahu menangis semahunya dan mahu melepas perasaan semahunya. Sekiranya mampu, dia mahu menjerit memberitahu seluruh dunia bahawa dia menyesal dan sedih dengan apa yang berlaku. Telefon pintar yang digenggamnya tadi dilontarkan semahunya ke arah dinding bilik tidur itu. Pecah dan berderai seperti harapan Tina sebentar tadi. Kini dia sudah putus harapan dan buntu.

Tiba-tiba dia terlihat sebilah pisau lipat yang berada di atas meja tulis dihujung penjuru bilik yang kelam. Makhluk terkutuk syaitan lantas segera berperanan, ini peluangnya memesongkan anak cucu Adam a.s sehingga ke penghujung nafas terakhirnya.

Satu kepuasan bagi syaitan dapat memesongkan dan menyesatkan bani Adam sampai saat roh ditarik keluar dari jasad oleh malaikat Izrail. Seorang yang hidupnya dipenuhi pengamalan kepada Allah s.w.t yang esa, namun mati dalam berbuat dosa membunuh dirinya sendiri. Pengakhiran nafas dalam dosa, alangkah mahunya si syaitan laknat itu!

Tina bangun perlahan mendekati meja tulis itu sambil diseka air mata yang berbaki. Dia sudah tidak mahu air tragis yang meleleh dari bebola matanya itu. Yang dia mahu kini adalah penamat, penamat yang mampu menamatkan luka-luka yang tergores didadanya. Luka yang di tarah Zaidi yang merosak dan membuangnya, luka yang ditoreh keluarga dan masyarakat yang menghinanya diatas kesilapan dia sebelum ini. Dia mahu luka itu hilang. Jika tidak boleh sembuh, biarlah nyawa ini sahaja yang ditamatkan agar sakitnya hilang.

Bisiskan syaitan meresap perlahan-lahan dalam hatinya.

Tangannya pantas mencapai pisau itu dan dia kembali duduk dibucu katil. Lengan bajunya yang panjang diselak menampakkan pangkal lengannya yang putih melepak. Pisau lipat dibuka dan ditenung. Segalanya harus ditamatkan, ia perlu berakhir sekarang. Tina tidak sanggup lagi berdepan hari esok tanpa harapan.

Hujung pisau yang tajam diletakkan perlaha-lahan diatas lengannya. Matanya dipejam. Nafasnya dihela perlahan dan mendalam.

"Selamat tinggal dunia" bisik hatinya perlahan.

Tiba-tiba telinganya mendengar satu suara sayup dihujung kelam malam. Suara itu nyaring namun didengar sayup dek kejauhan lontarannya. Tina mengalihkan kembali pisau dan diletakkan di atas katil. dia mengamati suara itu. Matanya masih terpejam tetapi kali ini kerana menumpukan sepenuh perhatian kepada suara itu.

Di celah kelopak matanya yang tertutup timbul air-air jernih yang mengalir keluar. Itu adalah ir matanya yang tadi mengalir kerana kecewa namun kini ia mengalir semula kerana harapan.

Tina baru tersedar. Suara sayup azan Subuh adalah adalah sapaan dari Allah buat Tina yang sudah hampir-hampir tertipu dengan syaitan yang dilaknat. Tina kembali sedar bahawa harapannya yang terputus adalah kepada makhluk-makhluk tuhan namun tidak kepada tuhan. Allah sentiasa ada menawarkan harapan untuk bertaubat. Dia tidak pernah memulaukan hamba-hambaNya yang insaf, menyesal dan mahu bertaubat. Hanya makhluk-Nya sahaja yang berlagak tuhan, membuang si pendosa yang mahu berubah dan insaf namun tidak bagi Dia, pemilik alam Yang Maha Agung.

Pintu taubat sentiasa terbuka, pintu harapan sentiasa ada. Yang penting teruslah percaya dan meletakkan pengharapan kepada-Nya. Kali ini, air mata Tina lebih laju. Dia bersyukur disedarkan tuhan saat-saat akhir kehausan harapan.

Tiba-tiba pintu bilik dikuak, Farisya terpacak disebalik pintu yang terbuka. Niatnya mahu mengejutkan Tina untuk bersolat subuh namun dia pula yang terkejut melihat Tina sedang teresak-esak dibucu katil dan disebelahnya ada pisau lipat yang sedikit tersembunyi dicelah-celah cadar yang berkedut.

Farisya berlari mendapatkan Tina dan terus memeluknya.

"Awak okey Tina?" soalnya smabil memeluk Tina.

"Okey, alhamdulillah" Tina cuba menjawab soalan Farisya.

Farisya melonggarkan pelukan dan berpaling mengambil pisau lipat disebelah mereka.

"Ini..?" Farisya bertanya sambil merenung Tina.

Tina hanya menggeleng-gelengkan kepala sahaja sambil senyum nipis cuba diukir.

"Alhamdulillah Allah masih sayangkan saya. Saya hampir melakukan perkara yang salah tetapi saya tersedar yang kepada Allah jualah baliknya segala harapan kita. Jika kita tamatkan hidup dengan cara yang dibenci Allah, apa maknanya terlepas dari masalah dunia. Masalah yang lebih besar menanti di akhirat," Tian semakin rasional, dia tidak lagi dipandu nafsu yang menjadi permainan syaitan.

"Alhamdulillah.." Farisya lega mendengar pengakuan Tina.

Kemudian dipeluknya semula Tina seeratnya dan dibisikkan ke telinga Tina.

"Jom kita sama-sama cari Allah. Pedulikan makhluk-Nya yang membising, Dia Maha Menerima Taubat.."

Dan pelukan keduanya semakin erat kerana Allah, tuhan yang sentiasa menawarkan harapan kepada hamba-Nya. Dialah Yang Maha Menerima Taubat, pohonlah ampun kepada-Nya.

Subuh yang hening itu, syaitan terluka.

06 Januari 2014

Persoalan



Apa kau masih ingat kepada rumputnya yang segar menghijau?

Apa kau masih ingat akan sapa lembut anginnya yang mampu menyegarkanmu?

Apa kau masih ingat akan sungainya mengalir lembut penuh kedamaian?

Apa kau masih ingat tanah-tanahnya yang subur menumbuhkan makhluk tumbuhan?

Apa kau masih utuh ingatan tentang haiwan-haiwan berkongsi alam dengan kita penuh aman?

Apa kau sudah lupa akan kanak-kanak yang mampu berlari berkejaran keriangan tanpa secubit pun kerisauan?

Apa kau sudah lupa tentang kehalusan pekerti masyarakat budiman yang luhur berkomuniti?

Apa kau semakin lupa saat alam bersinergi dengan insan membentuk keindahan saujana indah?

Apa kau sudah lupa semua itu?

Dimana kini bumi itu?

Dimana kini alam itu?

Dimana kini masyarakat itu?

Jawapannya;

Tangan-tangan kita yang telah merobohkan harta tinggalan pusaka berzaman itu.

Tapi kita masih belum terlambat.

Ayuh kita bina ia kembali!

-fikirsekejap-
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...