free counters

30 Jun 2013

Nikmat Diuji Tuhan

[Gambar Google]

Segala puji bagi Allah Yang Maha Agung.

Aku pasti. Sebagai manusia yang normal kita semua pernah diuji. Berbagai-bagai cabaran dan dugaan yang pernah mendatang dalam hidup kita. Dan Alhamdulillah kita masih disini, sudah melepasinya.

Semua orang diuji. Ujiannya ada yang sama dan ada yang berbeza.

Tinggal lagi kita. Bagaimana cara kita mendepani ujian hidup. Bagaimana kita melalui ujian yang diberikan tuhan.

Ada manusia yang bila diuji tuhan, dia mengeluh. Dia merungut. Dia menyesali kehidupan. Ini hanya berlaku apabila ujian itu dipandang dari sudut menyusahkan, bila dilihat dari sudut negatif.

Ketahuilah, Allah s.w.t tidak menciptakan sesuatu itu dengan sia-sia. Termasuklah segala pancaroba yang mendatangi kita.

Sejujurnya, jika dilihat dari sudut positif, ujian dari tuhan itu banyak manfaatnya. Bahkan kadang-kadang ia menjadi satu nikmat bagi yang merasainya.

Aku pernah diuji. Aku pernah diberi sesuatu ujian dari tuhan menyebabkan aku terduduk menangis. Aku juga pernah diberi ujian oleh tuhan yang menyebabkan aku merasa tiada sesiapa yang hendak aku adukan selain Dia.

Ya, aku juga pernah. Seperti juga kau, dia dan mereka. Kita akan ada satu masa yang diuji sehingga kita rebah dalam tangis.

Tapi, persoalannya kemana tangisan itu kita bawa?

Ke puncak bangunan tinggi dan terjun membunuh diri?

Atau menggantung diri dalam tangisan dengan harapan masalah selesai?

Atau melepas perasaan kepada insan lain sehingga mengundang mudarat yang lebih besar?

Tepuk dada tanya iman. Kemana kita bawa tangisan itu.

Sebaik-baik tangisan adalah tangisan yang membawa kita kembali kepada Ilahi. Tangisan yang mengundang kita kembali ke tikar sejadah. Tangisan yang membawa kita kembali kepada pengharapan HANYA kepada-Nya.

Aku bukan menulis kosong semata-mata teori.

Bahkan aku pernah merasai detik itu. Detik diuji yang membawa ku kembali kepada cinta Allah. Membawa aku merasai naungan rahmat dan kasih sayang-Nya.

Subhanallah, sebenarnya saat itu indah kerana aku merasakan sesungguhnya kasih dan perhatian dari Allah s.w.t. Yang mana, kita semuanya kadang kala leka dan alpa dalam dunia yang penuh tipu daya ini. Kita kadang-kadang tenggelam dalam nafsu dunia yang menggenggam hati.

Dan dengan ujian itulah Allah s.w.t membawa kita kembali kepada Dia.

Di saat ujian melanda dahulu, aku merasakan itulah solat ku yang betul-betul khusyuk.

Di saat ujian melanda itulah juga aku betul-betul merasakan solatku itu diperhatikan Allah s.w.t dan pengharapan sepenuhnya ku pohonkan kepada Dia.

Sungguh, saat itu sangat indah. Menyedarkan betapa dekatnya kita dengan rahmat Allah yang selalu kita abaikan. Kita tenggelam dalam kekhusyukan dan kenikmatan bersujud kepada-Nya.

Di sebalik kesusahan dan ujian yang diberikan Dia, ada nikmat yang tak terhingga.

Sebagai hamba Allah, yakinlah selagi kita beriman kepada Allah, kita pasti akan diuji. Bukan kerana Allah s.w.t bencikan kita, tetapi kerana rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t itu amatlah luas.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” Surah Al-Ankabut ayat 2-3.

27 Jun 2013

Senandung Semalam

[Gambar Google]

Senandung semalam
Kadang-kadang menjentik jiwa lara
Membelai sehingga tawa.

Senandung semalam
Kadang-kadang membenih bara
Membakar segala apa.

Senandung semalam
Adakala indah baitnya
Mengulit cuping telinga
Menggapai makna cinta.

Senandung semalam
Adakala kejam alunnya
Sedih menyelam lara
Pedih menusuk duka.

Senandung semalam
Janganlah ditinggal tak bermakna
Sesekali perlu diintai juga
Cuma berhaluslah bila disentuh kita.

-fikirsekejap-

24 Jun 2013

Jerebu 13

[Gambar Google]

Kelabu
Matahari tersipu-sipu
Disebalik asap dan debu
Angin berlalu
Hujan ditunggu
Belum bertamu
Manusia mula melesu
Dari asap yang dihidu.

Aku termangu
Pasti ada sesuatu
Teguran dari Tuhanku
Melaluimu
Jerebu.

-fikirsekejap-

03 Jun 2013

Ajak Buat Baik - Jom!

[Gambar Google]

Di mana kita tanpa dakwah? 

Di mana masyarakat kita tanpa dakwah?

Ramai sangat yang alergi dengan perkataan ni. DAKWAH. Bukan sebab benci tapi bila guna perkataan dakwah ni rasa tak sesuai. Rasa 'poyo'.

"Aku bukan ustaz..seganlah.."

"Alah..aku ni pun bukannya baik sangat.."

"Tunggulah aku bersedia dulu.."

Inilah antara sebab ramai yang alergi dengan perkataan ni. Ok, ni aku nak bagi satu penjelasan yang terang dan jelas ye. Baca elok-elok.

Anda tak perlu jadi seorang ustaz, ustazah apatah lagi tunggu ada gelaran Dr atau Prof untuk berdakwah!

Ramai lagi yang salah faham sebenarnya. Mengajak manusia kembali kepada Allah s.w.t itu adalah tugas kita semua. Tapi bila sampai kepada persoalan hukum-hakam dan sebagainya, kalau kita tak mahir eloklah diserahkan kepada yang mahir. Yang tu jangan pandai-pandai pulak.

Dakwah tu tanggungjawab kita selagi mana kita ni Islam. Tak kiralah kita ni artis ke, pemain bola ke, perdana menteri ke, pencuci jamban sekalipun..kita adalah pendakwah. Dakwahlah dalam ruang lingkup yang Allah s.w.t dah tetapkan dalam hidup kita. Dakwahlah semampu kita.

Dakwah tu bukan semata-mata duduk dalam masjid depan sekali sambil ada microphone, lepas tu baca kitab. Bukan semata-mata itu.

Bahkan berkelakuan baik dan mengikut syarak juga boleh menjadi satu dakwah seandainya itu niat kita. Kita niatkan segala perlakuan baik yang kita lakukan ini kerana Allah s.w.t dan semoga ada yang terbuka pintu hati untuk sama-sama menjadi baik bila melihat perlakuan kita. Itu juga dakwah!

Dakwah juga tak semestinya berjubah dan berkopiah. Ya, itu memang bagus namun bukanlah satu kewajiban.

Kadang-kadang dengan berpakaian kasual biasa lebih mudah untuk kita mendekati seseorang mad'u ataupun sasaran dakwah. Apa-apa pun, itu bergantung kepada keadaan dan suasana semasa juga. Sesuaikanlah dengan sasaran dakwah kita agar mereka lebih mudah terpaut.

Dakwah itu bercabang-cabang cara dan jalannya, lakukan mengikut kemampuan kita. Tak perlu pun menggelarkan diri itu ustaz pun untuk berdakwah dan mengajak kepada kebaikan.

Masing-masing dari kita Allah s.w.t telah kurniakan kelebihan masing-masing dalam diri. Gunakanlah sebaiknya untuk Islam, jangan sia-siakan kelebihan yang ada. Allah menilai semua kebaikan walaupun sedikit. Gunakanlah.

Tak payah malu lah untuk berdakwah. Kalau manusia yang melakukan dosa terang-terangan tidak malu, maka kenapa kita yang mengajak manusia kembali pada Allah s.w.t harus malu?

Tapi ingat, dakwah mestilah ada cara dan strategi. Jangan meng'khinzir' buta (ayat sopan..hehe).

Jangan terlalu melulu kerana hidayah Allah s.w.t bukan milik kita. Tugas kita hanya menyampaikan. Dakwah dan terus dakwah, semua itu ada nilainya di sisi Allah s.w.t. Walaupun memakan masa beribu tahun sekalipun, tugas kita menyampaikan bukan membenci mereka kerana tidak menerima dakwah kita. Ingat, hidayah milik mutlak Allah s.w.t.

Dakwahlah dengan hikmah. Bukan semata-mata lembut tetapi berstrategi. Ajaklah manusia kembali kepada Allah s.w.t, tuhan yang satu.

Dakwah milik semua umat Islam dan wajib kita lakukan.

Ok lah, kalau malu juga nak guna istilah dakwah tu tukarlah ikut kesesuaian diri masing-masing. Contohnya, kita tukar jadi 'ajak buat baik'. Boleh?

Tapi aku rasa yang tu lagi panjang.

Ah, pandai-pandailah sendiri. Asalkan dakwah jangan tinggal. Ok?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...