15 April 2014

Berani Meneroka

Alam Allah ini luas.

Kita manusia. Fasa kehidupan kita akan sentiasa berubah, corak dan suasana.

Mana mungkin atau amat jarang berlaku seorang manusia itu akan kekal begitu dari lahir sehingga ke saat ajalnya. Kita akan terus bergerak dan bergerak. Ada yang kehadapan dan ada juga yang kebelakang. Tapi hakikatnya berlaku pergerakan fasa dalam kehidupan.

Kadang-kadang sesuatu itu kita langsung tak menjangka apatah lagi merancang. Tapi begitulah kita, bergerak diatas landasan yang telah ditetapkan tuhan. Dulu, sekarang dan sampai bila-bila. Apa yang pasti tidak berlaku sesuatu dengan izin-Nya melainkan kerana ada terselit hikmah untuk kita sebagai hamba.

Pergerakan fasa memakan sesuatu pengorbanan. Itu dinamakan kehidupan. Kita akan bergerak meninggalkan ruang lama, suasana lama, rakan-rakan lama dan sebuah kehidupan yang kita sudah selesa. Tapi ketahuilah, sebuah perjalanan yang dimulakan untuk mencari sesuatu yang dinamakan pengalaman dan pembelajaran itu tidak akan berakhir dengan sebuah kekecewaan.

Ya, permulaannya agak berat untuk kaki melangkah mencuba satu dimensi baru hidup. Bahkan kadang-kadang air mata akan turun mengiringi perpisahan dengan keselesaan dan kebahagiaan. Air mata jantan juga tidak terkecuali.

"Leave your comfort zone"

Comfort zone kita ini selalunya membinasakan. Keselesaan yang menjadikan kita seorang yang statik dan beku pemikiran serta pengalaman. Tinggalkan zon selesa itu demi sebuah pengalaman yang berharga.. Air yang tidak mengalir akan berkeladak. Kadang-kadang sehingga berlumut dan hanyir, menjadikan sifat air yang suci itu berubah menjadi sesuatu yang jijik.

"Ijazah terbaik datangnya dari jalanan" - Malique

Berjalanlah dan teruslah melangkah. Percayalah kita tak akan pernah rugi.

Kenapa kita susah untuk keluar dari zon selesa?

Kerana kita manja.

Bukan susah jawapannya. Tinggal lagi sampai bila kita mahu terus memanjakan diri kita didalam keselesaan sampai kita lemah, lembik dan beku pemikiran. Dan sampai satu saat kita kan dipenuhi penyesalan dek kerana kemanjaan itu.

Lihatlah langkah para ilmuan dan ulama dahulu kala. Bagaimana proses mereka belajar dan membentuk diri menjadi seorang yang begitu bermakna untuk masyarakat. Mereka mengembara, mencari dan berkelana demi sebuah ilmu dan pengalaman. Tidaklah mereka kekal disuatu tempat selama-lamanya.

Ada masanya kita rasakan kita sudah memncapai kemuncak hidup yang kita impikan selama ini. Kerana itu kita takut untuk mengambil risiko keluar dan berjalan. Namun sedarlah, tanpa perjalanan yang lebih lagi, mana mungkin kita akan dapat menyedari akan kejayaan dan keindahan yang lebih mengujakan di tempat lain. Semua itu akan dicapai dengan berani berubah. Keluarlah dari zon selesa, cabarlah diri kita demi kejayaan.

Ingat, kejayaan Rasulullah s.a.w menubuhkan sebuah negara Islam dikurniakan oleh Allah s.w.t selepas baginda berhijrah ke Madinah dari Makkah tanah kelahiran baginda. Ia adalah sebuah pengorbanan yang amat besar dan berat. Namun natijahnya adalah kejayaan.

Pokok pangkalnya, beranilah untuk meneroka alam Allah yang luas ini. Jangan sengaja disempitkan akal dan pandangan kita didalam satu tempurung sahaja. Masih banyak yang kita boleh terokai.

Belajarlah!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...