free counters

31 Disember 2012

Tahun Yang Baru

[Gambar Google]

Melangkah ke satu fasa bermakna kita meninggalkan sesuatu untuk menjadi kenangan.

Hidup kita penuh dengan kenangan. Tadika/taski/pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, alam universiti/kolej, semuanya meninggalkan kenangan untuk kita.

Dan kenangan itu jangan dibiarkan sepi tanpa diperhalusi.

Setahun yang berlalu menjanjikan kenangan yang pelbagai untuk kita. Semua kenangan itu sebenarnya adalah tunjuk ajar dari Allah s.w.t untuk kita meneruskan perjalanan. Suka, duka, sedih, ketawa, semuanya ada sebab dan hikmah untuk direnungi.

Jadikan kenangan sebagai panduan agar kita menjadi hamba Dia yang lebih baik.

Jatuh dan bangun dalam hidup semuanya menjadi berharga bila kita menghargainya. Kita hargai dengan tahmid kepadaNya di atas tunjuk ajar itu.

Biarkan kenangan menjadi kenangan, pandangan kita harus ke sentiasa ke depan. Cuma, tolehlah sesekali untuk melihat sempadan diri agar kesilapan yang sama tak lagi diulangi.

Aku manusia, yang sentiasa bergantung kepada Tuhanku.

KepadaMu ya Allah aku memohon agar fasa yang baru ini menjadi sesuatu yang lebih baik untukku.

Ku pohon jalan yang lurus untuk di langkahi.

Ku pohon redhaMu dalam setiap denyut nadiku.

Engkaulah yang berkuasa membolak-balikkan hati kami, maka kami pohon tetapkanlah ia sentiasa pada jalan Mu.

Selamat tinggal 2012, selamat datang 2013.

Ingat, mulakan sesuatu dengan keredhaanNya. Semoga permulaan yang baik membantu perjalanan menjadi baik. Insya-Allah.

22 Disember 2012

Saya sayang awak!


[Gambar Google]

"Awak..awak sayang saya?" soal sang lelaki dengan mata yang berkaca.

Sang perempuan tersenyum lebar. Soalan yang dinanti-nanti olehnya yang bergelar kaum hawa. Dia tidak terus menjawab, kononnya menampakkan sedikit jual mahal.

Senyuman yang terukir di bibir sang perempuan membuahkan keyakinan pada sang lelaki. "Ada peluang!" jerit hati sang lelaki.

Tangan sang lelaki mula memainkan peranannya, perlahan-lahan hinggap diatas tangan sang perempuan dengan lembut. Senyum sang perempuan makin melebar selebar hatinya yang kegirangan.

"Awak...awak dengar tak soalan saya?" sang lelaki terus memancing walaupun dia tahu umpannya sudah sedikit dijamah.

Sang lelaki menyentuh dagu sang perempuan dan memalingkan wajah sang perempuan ke arahnya dengan penuh romantis. 

Aduh...senyuman sang lelaki yang maskulin seakan merentap jiwa sang perempuan itu. "Inilah lelaki yang aku cari, yang ingin aku sehidup semati," hatinya pula mengiyakan pandangan matanya yang semakin redup.

Baginya, lelaki itu romantis dan sangat mengambil berat akan dirinya. Percintaan mereka selama ini ingin sahaja ditamatkannya sekarang dengan sebuah perkahwinan.

Di bawah pohon yang rendang itu, akhirnya sang perempuan menyerah. Dia sudah tidak sanggup bermain hati lagi. Kepalanya dianggukkan perlahan sambil pipinya kemerah-merahan menahan malu dan matanya bertaut dengan mata sang lelaki.

"Saya sayang awak sangat-sangat..," bisik sang perempuan perlahan mengalah dengan pujuk sang lelaki.

Berbungalah hati sang lelaki. Kail yang dicampak sudah disambar. Benih yang ditanam sudah bertunas.

Inilah saat yang dinantinya, ucapan sayang yang diucap ada pembalasnya dan hari yang mendung itu menjadi saksi akan cinta mereka itu.

Sang perempuan itu terus dirangkulnya. 

"Terima kasih awak sebab sudi menemani hidup saya..." bisik sang lelaki lembut di telinga sang perempuan yang berada dalam dakapannya.

Sang perempuan hanya tersenyum, lemas dalam lautan cinta yang bergelora. Baginya itulah cinta sejati, dilafazkan dengan kata-kata kemudian dibuktikan dengan perlakuan. Ya, itulah cinta!

Mereka terus tenggelam dalam ruang cinta yang dicipta mereka.


-TAMAT-

Romantik tak? 

Sori la kalau tak romantik. :)

Bukan romantik yang nak jadi fokusnya tapi cara percintaan tu.

Hakikat yang berlaku hari ini. Ramai yang menyerahkan segalanya semata-mata kerana cinta. Kononnya!

Kononnya dengan menyerahkan segalanya adalah bukti kasih sayang kepada pasangan. Segalanya jadi taruhan, dibiarkan sahaja si jantan menjajah seluruh tubuh atas alasan cinta.

Tidak ada lagi sempadan, tidak ada lagi sekatan. Bagi mereka, cinta adalah pembuktian pengorbanan walau dengan apa cara sekalipun. Walaupun, maruah jadi taruhan dan agama di pinggiran. Nauzubillah.

Khas untuk yang bergelar wanita. Sedarlah, sang lelaki boleh meninggalkan anda selepas dijajah sepuasnya. Maruah anda yang hilang tidak akan berganti dengan tangisan penyesalan. Janji manis mulut sang lelaki bukan akad nikah yang menghalalkan segalanya. Ingatlah, masih ramai yang mampu sayangkan anda tanpa minta maruah jadi cagarannya.

Sang lelaki yang jujur dan ikhlas mencintaimu kerana tuhanmu tidak akan sesekali menyentuhmu apalagi menjajah seluruh maruahmu itu. Kehormatanmu akan dijaga dari semua termasuk dirinya, kerana itulah cinta yang mahu bersama-sama menuju ke arah redhaNya.

Khas untuk sang lelaki pula. Jangan jadikan wanita permainanmu, mereka adalah untuk dijaga dan bukan disakiti apatahlagi 'diterokai' tanpa hubungan yang halal di sisi ilahi. Kita ada amanah sebagai lelaki, jagalah maruah mereka sebagaimana kita menjaga maruah ibu dan adik beradik perempuan kita.

Jika benar kita cinta, pimpin dan bimbinglah mereka melalui jalan yang halal. Jalan yang menuju ke arah cinta yang suci dan diredhaiNya. Semoga mampu berbahagia bersama-sama di dalam syurgaNya kelak. Insya-Allah.

Jagalah cinta, sesungguhnya cinta itu suci namun mampu mengotorkanmu jika salah caranya.

07 Disember 2012

Audit Diri



"Bagus la dia ni..status FB semua baik-baik"

"Sejuk hati tengok dia ni. Baik orangnya."

"Dia ni bagus..lemah lembut bila bercakap. Sesuai nak buat menantu."

"Apa yang ditulis dalam blog semua benda baik, mesti dia ni baik."

Dipuji dan disanjung. Kadang-kadang menjadikan manusia rasa dijunjung.

Manusia boleh terus bercakap dan bercakap.
Manusia boleh terus memuji dan memuji.
Manusia boleh terus menyanjung dan menyanjung.

Tapi, yang pasti itu adalah dari MANUSIA. Yang hakikatnya adalah sama dengan kita.

Jadi, apakah perlu mencari kemuliaan dari seorang manusia?
Adakah manusia dapat memberi kemuliaan?

Seorang manusia yang memuji manusia tak akan menjadikan manusia itu terpuji. Bahkan boleh jadi kepada terkeji. Nauzubillah.

Justeru, audit diri. Supaya kita tak tertipu dengan manusia yang sama jenisnya dengan kita. Kerana kita tahu siapa diri kita dan tentunya Dia Lebih Tahu siapa kita.

Fizikal kita mampu menipu tanpa berbicara. Hatta kita sendiri pun boleh tertipu. Ditipu diri sendiri adalah sangat bahaya kerana ia berlaku tanpa sedar.

Berhati-hatilah dengan hati.

Dialah pemilik hati kita. Mintalah agar terus ditetapkan dalam kebenaran.

Apa yang penting, AUDIT DIRI dan berubah untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.

30 November 2012

Kita Dan Mereka

[Gambar Google]

Kita masih di sini
Menikmati hari yang ceria
Sedang mereka di sana
Sentiasa menyapu luka.

Kita masih di sini
Antara peduli dan leka
Sedang mereka di sana
Tiada pilihan selain duka.

Kita masih di sini
Terbang dalam mimpi
Sedang mereka di sana
Sakitnya tak terperi.

Kita masih kekal di sini
Melihat dan terus melihat
Tanah itu diratahi
Sambil kita terus bermimpi.

Sedangkan mereka berada di sana
Menumpah keringat bertarung nyawa
Perjuangan mereka mengiringi usia.

Dan kita masih di sini
Memerhati.

-fikirsekejap-

21 November 2012

Gaza Yang Berdarah

[Gambar Google]

Gaza.

Satu sudut dunia yang menjadi saksi kekejaman Zionis.

Peluru berterbangan di ruang udaranya. Anak-anak kecil ketakutan. Mayat-mayat bergelimpangan. Rumah-rumah yang roboh dan hancur. Itulah pemandangan sebuah tanah bernama Gaza, sebahagian dari Palestin yang dicerobohi Zionis dengan 'keizinan' dunia.

Bumi itu jugalah menjadi saksi akan anak-anak muda yang menjadikan syahid sebagai cita-cita mereka. Perasaan gentar dan takut dalam diri mereka sudah digantikan dengan semangat jihad yang membuak-buak. Kereta kebal dan jet pejuang bukanlah alasan untuk lari dari medan perang. Walaupun hanya seketul batu di tangan, itulah senjata yang ampuh untuk mengekang ego si zionis.

Mereka yakin dengan janji Allah.

Kita di sini. Cukupkah dengan sekadar memerhati?

Syukur bagi yang peduli tapi hakikatnya masih ramai yang buat-buat tak tahu dan tak peduli.

Mungkin terlalu SELESA.

Selesa yang membunuh sifat kemanusiaan. Tangisan anak-anak Gaza bagi mereka hanya sekadar sebahagian dari berita semasa di kaca tv. Ditonton tanpa rasa.

Kosong.

Mungkin menunggu zionis mengetuk pintu rumah sendiri. Ataupun menunggu anak sendiri dibedil zionis di depan mata barulah terasa sesuatu. Agaknyalah.

Semoga kalian tersedar dari lena.

Apa-apa pun, Gaza sentiasa dalam doaku. Biarlah yang lain membeku kaku. Sekurang-kurangnya aku membantu mereka walau hanya dengan tembakan doa. Semoga itu menjadi saksi persaudaraanku dengan mereka di akhirat kelak.

Bantulah apa yang termampu. Hulurlah doa dan sumbangan untuk mereka.

Pastikan Palestin, Syria, Rohingya dan mana-mana saudara seagama kita di atas muka bumi ini sentiasa dalam doa kita.

15 November 2012

Persepsi

[Gambar Google]

Aku menghidupkan enjin kereta.

Gear mengundur dimasukkan, bersedia untuk mengundurkan kereta setelah membeli sedikit barang keperluan di sebuah pasaraya.

Tiba-tiba, aku terlihat kelibat seorang lelaki berbangsa India di sebelah kenderaanku. Pakcik itu agak berumur sedikit, dengan penampilan yang agak kusut masai dan misai dan janggut yang tidak terurus.

"Orang tak berapa betul agaknya," spontan aku mengagak dalam hatiku.

Aku melihat dia seolah-olah mahu melintas di belakang keretaku lalu aku memberhentikan kenderaanku yang baru hendak mengundur, memberi ruang kepada pakcik itu untuk berjalan.

Aku mengintai melalui cermin pandang sisi ke arah belakang kereta dan aku lihat pakcik itu tidak melintasi keretaku yang berhenti. Kemudian aku memalingkan mukaku ke arah belakang kereta untuk melihat sosok pakcik tersebut dengan lebih jelas.

Pak cik itu memberi isyarat dengan tangan untuk memberhentikan sebuah kenderaan yang lalu di belakang kenderaanku. Setelah kenderaan itu berhenti, pakcik itu memberi arahan kepadaku pula supaya mengundurkan kenderaan.

Aku terus mengundurkan keretaku dengan berhati-hati.

Sebelum meneruskan perjalanan, aku sempat mengucapkan terima kasih kepada pakcik tersebut. Di dalam perjalanan ke rumah, aku berfikir sendirian...betapa cepatnya aku menilai orang lain.

Don't judge a book by its cover. Ada benarnya.

17 Oktober 2012

Kadang-Kadang

[Gambar Google]

Kadang kita tersasar
Kadang kita tersesat.

Kadang kita terleka
Kadang kita terlena.

Kadang kita terlupa
Kadang kita tersilap.

Kita manusia
Yang memerlukan rabbnya
Dan Dia sentiasa ada.

Peluang dibuka
Lagi dan lagi
Berulang tanpa henti
Selagi mentari masih di paksi.

-fikirsekejap-

26 September 2012

Jalan Cerita

[Gambar Google]

Jalan cerita yang sama berulang-ulang. Saban tahun tanpa henti.

Kisah yang berlaku di malam tahun baru disambung sembilan bulan selepas itu. Dilakonkan oleh pelakon  yang ramai. Yang pasti, dipertemukan dua watak. Saling melengkapi untuk menjayakan jalan cerita.

Ramai yang boleh mengagak kesudahannya. Namun masih mampu hanya sebagai pemerhati. Melihat dan menanti tanpa dirombak jalan ceritanya. Walaupun ada antara kesudahannya adalah kematian si watak kecil.

Endingnya boleh diubah walaupun mungkin agak lambat. Jalan cerita di permulaannya adalah jauh lebih penting. Mencegah lebih baik dari mengubati. Mengapa tidak memilih untuk mencegah dari permulaan jalan cerita yang 'rosak' berbanding memulihkan ending yang sudah 'hancur'.

Jalan cerita yang sama masih berulang lagi dan kebanyakan pemerhati masih memerhati. Bersuara dalam lena. Tanpa bunyi. Tanpa suara. Sepi.

Puncanya?

Permulaan di malam tahun baru yang 'bebas'. Dinatijahkan 9 bulan kemudian. Akhirnya, yang tak berdosa dicampak dari tingkat 3!

19 Ogos 2012

Mentari Syawal

[Gambar Google]

Mentari ini mentari Syawal
Memancarkan cahaya menyinari alam
Untuk menerangi hamba-hambaNya yang bergembira
Yang leka diulit keindahan fitrah.

Mentari ini mentari Syawal
Keindahannya merasuk insan
Mereka yang asyik memuji tuhannya
Lena dalam tahmid dan takbir.

Mentari ini mentari Syawal
Membawa fitrah ke dalam jiwa
Usah dikotorkan diri itu
Setelah Tuhanmu menyucikannya.

Tuhanku Maha Besar
Tuhanku Maha Besar
Ampunkan hambaMu ini di bawah mentari syawal
Peliharalah aku dalam kesucian ini.

-fikirsekejap-

08 Ogos 2012

Aku milikNya

[Gambar Google]

Harapan
Ku pohonkan pada Yang Empunya segala
Dia yang memilikiku
Dia yang sentiasa mengasihiku
Dia yang sentiasa ada
Kala aku lemas dan tewas
Peluang dariNya tetap dapat ku gapai.

Andai seisi dunia berpaling dariku
dan aku terduduk lemah
Namun aku tahu
Dia tetap ada
Memberiku peluang
Untuk aku memperbaiki segalanya
dan menjadi hambaNya yang taat.

Aku ini manusia
Aku diciptakan dengan segala kelemahan
Namun bukanlah ini menjadi alasan
Untuk aku terus hanyut
Kerana aku tahu
Aku dicipta untuk menyembahNya.

Ya Allah
Banyak dosaku
Banyak lalaiku
Banyak lekaku
Walau aku dimuliakan oleh sekalian makhlukMu
Namun aku tahu
Tuhanku lebih tahu akan diriku
Ku pohon keampunan hanya dariMu.

Allah tuhanku
Muhammad rasulullah
Semoga Dia menetapkan aku
sentiasa dalam kebenaran ini.

-fikirsekejap-

29 Julai 2012

Tembok Bukan Pemisah

[Gambar Google]

Dia terbaring di sisi tembok batu itu
Mata terpejam
Perut bergetar memprotes
Tanda haknya belum ditunaikan
Apakan daya
Dia hanya semut kecil di celah hutan batu
Makannya tak ada yang peduli
Hatta matinya tak ada yang menangisi.

Disebalik tembok batu itu
Ada jasad terbaring lena
Lena berbantalkan harta
Beralaskan sanjungan
Sangkanya itulah segala
Bermegah di puncaknya
Dia tersilap.

Manusia
Berkongsi bumi yang sama
Namun dunianya berbeza
Kau adalah kau
Aku adalah aku
Kita tersilap.

Teman
Kurniaan ini untuk dikongsi
Dalam mencari redha Ilahi
Jangan tersilap.

-fikirsekejap-

19 Julai 2012

Harapan Ramadhan



Alhamdulillah.

Segala puji bagi Allah yang menghidupkan kita sehingga ke saat ini.

Segala puji bagi Allah yang memperjalankan masa sehingga kita kembali ke akhir bulan syaaban ini.

RAMADHAN.

Bulan yang amat ditunggu-tungu oleh kita. Bulan yang dipenuhi keberkatan. Bulan yang menjadi perlumbaan manusia berbuat kebaikan. Bulan transformasi diri.

Semuanya adalah dengan matlamat supaya kita beroleh TAQWA di penghujungnya.

Bulan ini juga adalah bulan pengharapan agar menjadi bulan latihan untuk kita benar-benar menjadi hamba Allah yang taat. Semoga Allah memberi peluang kepada kita merasai kemenangan TAQWA. Kepada Dialah semata-mata kita mengharap.

Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan kelebihan berbanding bulan-bulan lain. Memang banyak kalau nak disenaraikan. TETAPI. Semua kelebihan itu akan bermakna jika kita benar-benar mahu merebutnya. Amatlah rugi jika Ramadhan kali ini berlalu begitu sahaja. Tanyakan diri satu soalan.

APAKAH HARAPAN RAMADHAN KITA KALI INI?


Ku mengharapkan Ramadhan 
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui 
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantass berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaiman yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada tuhan diberika kekuatan
Ku merayu pada tuhanditerima amalan

Selangkah demi selangkah
Dengan rahmatMu oh tuhanku
Ku tempuh jua

-Man Bai dan Raihan-

Semoga Allah meredhai usaha kita. Ramadhan kareem.

10 Julai 2012

The Criminal


Tonton dan hayati filem pendek ini. Semoga ada manfaat yang boleh diambil.
Tahniah kepada madmiechannel (youtube) di atas penghasilan filem pendek yang berkualiti seperti ini.

06 Julai 2012

Fitrah Itu Normal


[Gambar Google]

Siapa yang gila?
"Aku tak gila"
"Aku sihat"
"Aku normal"
Orang gila tak akan mengaku gila
Jadilah orang-orang yang normal.

Semua nampak kegilaan yang ada
Antara cakna atau leka yang jadi beza
Mata sebelah sengaja ditutup
Supaya realiti seakan tiada
dan fantasi bermaharajalela.

Akuilah
Gila ini perlu disempadankan
Jangan dibiar bertempiaran
Kelak kita menanggung rasa
Bila ia berleluasa.

Dunia oh dunia..
Masih ramai yang tertipu..

-fikirsekejap-

02 Jun 2012

Oh Dunia

[Gambar Google]

Oh dunia
Kau adalah palsu
Namun masih ramai mengejarmu.

Oh dunia
Kau hiasan yang cantik
Tapi kau tak berharga
bila tiba masanya
Namun masih mahu direbut.

Oh dunia
Tak mampu kuhentikan tipu dayamu
Aku hanya mampu bertahan
dengan kudrat yang tak seberapa
Kepada Allah ku pinta tenaga.

Oh dunia
Masih ramai yang tertipu lagi
Ia dikejar sepenuh hati
Sedang waktu pasti berhenti
Cuma ramai tak menyedari
akan hakikat yang sudah pasti.

-fikirsekejap-

24 Mei 2012

Rejab, Sya'aban dan Ramadhan

[Gambar Google]

Pejam, celik, pejam, celik.

"Eh, dah bulan Rejab ke?"

Masa pantas berlalu dan kita kembali berputar ke bulan Rejab. Ini bermakna Ramadhan juga semakin hampir dengan kita.

Apa persediaan kita untuk bertemu Ramadhan kali ini?

Mahu yang lebih baik atau sama sahaja dengan Ramadhan-Ramadhan sebelum ni?

Atau yang lebih 'sedih' Ramadhan yang akan datang ni lagi kurang amalnya dari yang lepas?

Tanyakan diri kita soalan-soalan ini. Supaya jawapannya dapat membantu kita menjadikan Ramadhan yang akan datang ini lebih baik untuk kita.

InsyaAllah, kurang 2 bulan sahaja lagi sebelum kita bertemu dengan Ramadhan ini. Siapkan fizikal kita. Siapkan mental kita. Siapkan rohani kita.

Kita akan berdepan dengan bulan yang mencabar. Bulan yang akan mencabar kita supaya menjadi lebih baik.

Ramadhan adalah bulan yang sangat indah. Bagi mereka yang mahu memanfaatkannya.

Semoga Ramadhan yang akan menjelma nanti boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh kita.

"Ya Allah, berkatilah kami di dalam Rejab dan Sya'aban, dan sampaikanlah kami kepada Ramadhan"
Hadith riwayat Ahmad dan Tabrani.

Gunakan Rejab dan Sya'aban ini sebagai persediaan kita sebelum bertemu Ramadhan.

15 Mei 2012

Catatan Nakba 2012

[Gambar Google]

Tersentak
Lamunan diganggu lagi
Kembali ia datang bertandang
Menjengah akal yang sering lalai.

Seperti biasa
Seperti sebelumnya
Seperti dahulu
kita tersentak
lalu bangun berteriak.

Pekikan bergema
Berpadu suara menendang kezaliman
Berpegang erat pada keadilan
Seluruh penjuru menjadi satu.

Kita pantang digegar!
Jangan diusik saudaraku!
Kami bersatu!

Seperti biasa
Seperti sebelumnya
Seperti dahulu
Pekikan semakin kendur
Suara tenggelam dibaham khayalan.

Masa bergerak kehadapan
Lamunan kembali memerangkap diri
Sampai bila mesti begini?
Palestin tidak bermusim
Israel tidak berundur.

Kita kembali tidur
menunggu dikejutkan sekali lagi.

-fikirsekejap-


03 Mei 2012

Nak Anak Jadi Baik

[Gambar Google]

Sekarang ni kita tengok makin ramai orang yang hantar anak-anak pergi sekolah agama untuk belajar agama.

Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Menengah Agama, Maahad Tahfiz, Sekolah Rendah Islam dan macam-macam lagi lah.

Tak kiralah apa nama sekolahnya, yang penting kesedaran di kalangan ibu bapa yang inginkan anak-anak mendalami ilmu agama semakin meningkat. Secara kasarnya, ini adalah satu fenomena yang bagus.

Tapi disebalik fenomena ini, ada satu fenomena lagi yang kita boleh tengok.

Fenomena ibu bapa yang mahu anak menjadi alim ulama tapi dalam masa yang sama mereka sendiri susah untuk berubah. 

Kadang-kadang kita tengok bagus mereka nak hantar anak ke sekolah agama tapi si ayah menghantar dengan memakai seluar pendek dan si ibu masih dengan free hairnya. 

Malulah sikit wahai ibu-ibu dan bapa-bapa yang berkenaan.

Malulah dengan anak-anak yang sedang belajar agama.

Malulah dengan guru-guru yang mengajar anak-anak anda.

Yang paling penting, malulah dengan Allah s.w.t yang menciptakanmu.
Dia menciptakanmu dengan sebaik-baiknya, maka kenapa perlu alpa dengan suruhannya?

Bukan aurat semata-mata menjadi fokus yang perlu diperbaiki tetapi juga segenap sudut kehidupan kita agar menjadi hamba Allah yang sebenarnya.

Alangkah seronoknya anak-anak yang belajar ilmu agama dan dalam masa yang sama ibu dan bapa sama-sama melakukan praktikalnya di rumah. Perlu diingat, anak-anak menjadikan ibu dan bapa sebagai contoh terdekat mereka. 

Bukanlah niat nak memperlekehkan mereka-mereka ini. Baguslah ada niat mahu anak-anak menjadi pandai agama. Tahniah untuk anda semua.

Tapi betulkan jalan hidupmu juga agar niatmu itu semakin diberkati Allah s.w.t.

InsyaAllah anak-anakmu akan menjadi alim ulama satu hari nanti.



p/s: Sama-samalah kita sedekahkan al-fatihah kepada arwah Bob Kuman yang baru pergi meninggalkan kita hari ini. Al-fatihah..

23 April 2012

Munajat - Ustaz Asri Ibrahim



Hayati bait-bait munajat ini.

Dan sedarilah bahawa kita adalah hamba yang sentiasa mengharap.

Ya Allah, tunjukkanlah kami jalan yang lurus.

19 April 2012

Anak Kecil Itu


[Gambar Google]

Anak kecil itu
Culas menjaga solatnya
Tetapi untunglah dia
Ada ibu yang setia mengingatkannya
Ada ayah yang sanggup memarahinya.

Anak kecil itu
Sesekali malas membaca al-Quran
Syukur
Leteran ibu membantunya
Membuka al-Quran walau dalam malas.

Anak kecil itu
Bermain dengan ceria
Hilang sudah pesan ibunya
Agar kembali sebelum senja
Ibu menunggu penuh setia.

Anak kecil itu
Bukan jahat dalam dirinya
Cuma muda pada akalnya
Buruk dan baik
belum dapat dipisahnya.

Syukur
Anak kecil itu ada ibu dan bapa
Dikurniakan Allah untuk membantunya
Untuk belajar menjadi manusia.

Anak kecil itu
Semakin jauh langkahnya
Hanya sesekali menoleh semula
Diiringi senyum dan tawa
Semua itu masih indah baginya.

-fikirsekejap-

31 Mac 2012

Susah Tapi Tak Susah.

[Gambar Google]

Hidup ni memang susah.

Sukar.

Serabut.

Semua benda nak kena fikir. Setiap hari mesti ada masalah yang akan menerpa.

Masalah-masalah ni memang tak akan cuti dari kita. Datang tak dipanggil, pulang tak disuruh. Hmm...

Bagi yang hidup hanya untuk hidup, masalah adalah satu halangan yang besar untuk mereka.

Bagi yang hidup kerana tujuan sebenar, masalah dalam kehidupan tak lebih hanya sebagai kemuncup yang memang tak menyelesakan tetapi tak sedikit pun menggugat perjalanan.

Tujuan?

APA TUJUAN KITA HIDUP SELAIN UNTUK MENIKMATI KEHIDUPAN NI???

Ni nak cerita ni...

Mari-mari dengar(baca) firman Allah s.w.t..

"Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu".
Surah Az-Dzariyat: 56.


So, faham dah?

Ayat yang pendek tapi menjelaskan tentang tujuan sebenar kita hidup atas dunia ni.

Tak susah pun hidup ni...kita kan ada Allah?

21 Mac 2012

Pinjam

Mata yang masih segar melihat.
Kita pinjam dari Allah.

Mulut yang masih lancar berbicara.
Kita pinjam dari Allah.

Telinga yang masih peka mendengar.
Kita pinjam dari Allah.

Tangan masih kuat bekerja.
Kita pinjam dari Allah.

Kaki yang masih kuat melangkah.
Kita pinjam dari Allah.

Justeru,
Di mana sebabnya kita perlu mendabik dada?
Nafas yang sedang disedut juga milikNya.

Bersyukurlah dengan nikmat yang masih diberi.
Sesungguhnya Dia maha penyayang.

Fikir-fikirkan sekejap..

27 Januari 2012

Hidayah Itu Milik Allah

[Gambar Google]

Allahuakbar.

Bila berpeluang mendengar sendiri luahan rasa dan pengalaman manusia yang telah diberi hidayah oleh Allah s.w.t untuk berubah, secara tak langsung akan membantu menyedarkan diri sendiri dari kelalaian.

Catriona Ross, dulu dikenali menerusi drama-drama yang dilakonkan di televisyen.

Namun bila hidayah Allah telah memenuhi jiwanya, kini beliau dikenali menerusi pentas-pentas ceramah dan masjid-masjid dalam usaha untuk berkongsi rasa dan pengalaman beliau berhijrah. Berhijrah untuk kembali kepada fitrah.

Itulah kebesaran Allah s.w.t. Allah s.w.t boleh membolak-balikkan hati manusia pada bila-bila masa yang dikehendakiNya. Dari jahat kepada baik dan dari baik kepada jahat.

Sebab itu, mintalah dariNya supaya ditetapkan hati kita sentiasa dalam keimanan dan ditetapkan di atas jalan yang lurus kerana iman itu milik Allah s.w.t.

Jika hari ini kita seorang yang BAIK, belum tentu lagi BAIK untuk hari esok.

Jika hari ini kita seorang yang JAHAT, belum tentu lagi JAHAT untuk hari esok.

Oleh sebab itu, janganlah kita merasakan bahawa diri kita ini sudah baik dan lebih baik dari orang lain. Sebaliknya sentiasalah berusaha dan berdoa agar Allah kekalkan hidayah itu untuk kita dan jangan sesekali berputus asa dengan ke'jahat'an kita kerana Allah mampu untuk mengubah hati kita.

Syaratnya?

Ikhlas untuk berubah dan mestilah berusaha untuk menjadi lebih baik.

Jangan takut untuk berubah!

Sebesar manapun dosa kita, Allah sentiasa ada untuk mengampunkannya selagi mana kita bersedia untuk bertaubat dengan sebenar-benar taubat.

Manusia itu akan lebih tenang apabila kembali kepada fitrahnya.

Fitrah manusia adalah bertuhan dan Allah adalah satu-satunya tuhan kita.

Kembalilah kepada fitrah sepertimana sumpah kita kepada Allah ketika di alam roh dahulu.

Kita telah bersumpah bahawa Allah s.w.t adalah tuhan kita. 

Maka mengapa perlu lari dari hakikat itu?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...