free counters

22 Disember 2012

Saya sayang awak!


[Gambar Google]

"Awak..awak sayang saya?" soal sang lelaki dengan mata yang berkaca.

Sang perempuan tersenyum lebar. Soalan yang dinanti-nanti olehnya yang bergelar kaum hawa. Dia tidak terus menjawab, kononnya menampakkan sedikit jual mahal.

Senyuman yang terukir di bibir sang perempuan membuahkan keyakinan pada sang lelaki. "Ada peluang!" jerit hati sang lelaki.

Tangan sang lelaki mula memainkan peranannya, perlahan-lahan hinggap diatas tangan sang perempuan dengan lembut. Senyum sang perempuan makin melebar selebar hatinya yang kegirangan.

"Awak...awak dengar tak soalan saya?" sang lelaki terus memancing walaupun dia tahu umpannya sudah sedikit dijamah.

Sang lelaki menyentuh dagu sang perempuan dan memalingkan wajah sang perempuan ke arahnya dengan penuh romantis. 

Aduh...senyuman sang lelaki yang maskulin seakan merentap jiwa sang perempuan itu. "Inilah lelaki yang aku cari, yang ingin aku sehidup semati," hatinya pula mengiyakan pandangan matanya yang semakin redup.

Baginya, lelaki itu romantis dan sangat mengambil berat akan dirinya. Percintaan mereka selama ini ingin sahaja ditamatkannya sekarang dengan sebuah perkahwinan.

Di bawah pohon yang rendang itu, akhirnya sang perempuan menyerah. Dia sudah tidak sanggup bermain hati lagi. Kepalanya dianggukkan perlahan sambil pipinya kemerah-merahan menahan malu dan matanya bertaut dengan mata sang lelaki.

"Saya sayang awak sangat-sangat..," bisik sang perempuan perlahan mengalah dengan pujuk sang lelaki.

Berbungalah hati sang lelaki. Kail yang dicampak sudah disambar. Benih yang ditanam sudah bertunas.

Inilah saat yang dinantinya, ucapan sayang yang diucap ada pembalasnya dan hari yang mendung itu menjadi saksi akan cinta mereka itu.

Sang perempuan itu terus dirangkulnya. 

"Terima kasih awak sebab sudi menemani hidup saya..." bisik sang lelaki lembut di telinga sang perempuan yang berada dalam dakapannya.

Sang perempuan hanya tersenyum, lemas dalam lautan cinta yang bergelora. Baginya itulah cinta sejati, dilafazkan dengan kata-kata kemudian dibuktikan dengan perlakuan. Ya, itulah cinta!

Mereka terus tenggelam dalam ruang cinta yang dicipta mereka.


-TAMAT-

Romantik tak? 

Sori la kalau tak romantik. :)

Bukan romantik yang nak jadi fokusnya tapi cara percintaan tu.

Hakikat yang berlaku hari ini. Ramai yang menyerahkan segalanya semata-mata kerana cinta. Kononnya!

Kononnya dengan menyerahkan segalanya adalah bukti kasih sayang kepada pasangan. Segalanya jadi taruhan, dibiarkan sahaja si jantan menjajah seluruh tubuh atas alasan cinta.

Tidak ada lagi sempadan, tidak ada lagi sekatan. Bagi mereka, cinta adalah pembuktian pengorbanan walau dengan apa cara sekalipun. Walaupun, maruah jadi taruhan dan agama di pinggiran. Nauzubillah.

Khas untuk yang bergelar wanita. Sedarlah, sang lelaki boleh meninggalkan anda selepas dijajah sepuasnya. Maruah anda yang hilang tidak akan berganti dengan tangisan penyesalan. Janji manis mulut sang lelaki bukan akad nikah yang menghalalkan segalanya. Ingatlah, masih ramai yang mampu sayangkan anda tanpa minta maruah jadi cagarannya.

Sang lelaki yang jujur dan ikhlas mencintaimu kerana tuhanmu tidak akan sesekali menyentuhmu apalagi menjajah seluruh maruahmu itu. Kehormatanmu akan dijaga dari semua termasuk dirinya, kerana itulah cinta yang mahu bersama-sama menuju ke arah redhaNya.

Khas untuk sang lelaki pula. Jangan jadikan wanita permainanmu, mereka adalah untuk dijaga dan bukan disakiti apatahlagi 'diterokai' tanpa hubungan yang halal di sisi ilahi. Kita ada amanah sebagai lelaki, jagalah maruah mereka sebagaimana kita menjaga maruah ibu dan adik beradik perempuan kita.

Jika benar kita cinta, pimpin dan bimbinglah mereka melalui jalan yang halal. Jalan yang menuju ke arah cinta yang suci dan diredhaiNya. Semoga mampu berbahagia bersama-sama di dalam syurgaNya kelak. Insya-Allah.

Jagalah cinta, sesungguhnya cinta itu suci namun mampu mengotorkanmu jika salah caranya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...