free counters

06 Jun 2011

Tak habis-habis

Cantiknya ciptaan Allah. [Gambar Google]


Selak surat khabar...
Itulah beritanya...

Tonton TV...
Itulah beritanya...

Berita apa???

Akhir-akhir ni rakyat Malaysia mula bercakap kembali mengenai isu buang bayi. Sebabnya, ia kembali walaupun hakikatnya isu ni tak pernah padam. Kesabaran kita seakan-akan direntap bila seorang bayi dicampak dari tingkat lima sebuah bangunan baru-baru ni dan kepala bayi itu pecah akibat terhempas. Mana hilang kemanusiaan?!

Kita hidup dalam sebuah negara yang majoritinya adalah umat Islam, pemimpinnya orang Islam dan dicanangkan sebagai negara Islam contoh pada masa kini. Tapi pada hakikatnya kita semua tahu apa yang terjadi dalam negara kita...di mana silapnya?

Sudah bermacam-macam cara yang dilakukan untuk membendung perkara ni tetapi saya berani katakan bahawa isu ini bukan dapat dibendung bahkan makin parah. Semua pihak cuba mengeluarkan idea bagaimana untuk menangani perkara ni termasuklah dari pihak NGO, parti-parti politik dan sebagainya.

Apa yang saya dapat lihat dari pandangan saya yang lemah ni, kita tidak cuba untuk menyelesaikan masalah ini bermula dari puncanya. Sebagai contoh, diadakan kempen supaya tidak dibuang anak yang dilahirkan luar nikah. Baguslah, tetapi adakah itu masalah utamanya? Persoalannya, bagaimana boleh lahirnya anak luar nikah?

Ya, anak luar nikah atau anak tidak sah taraf dihasilkan melalui persetubuhan yang dilakukan tanpa melalui proses yang sah iaitu NIKAH. Jadi, masalah utamanya ialah ZINA! Tanpa zina, tidak wujud anak luar nikah dan tanpa anak luar nikah tidak wujud masalah bayi dibuang akibat malu dengan masyarakat.

Apa yang menyedihkan ialah kempen untuk menjauhi zina amat kurang dilakukan di Malaysia dan boleh dikatakan terlalu sedikit berbanding 'kempen untuk berzina' yang dijalankan secara tidak rasmi. Kita semua diasak dengan hiburan-hiburan yang melalaikan dan akan menggalakkan berlakunya penzinaan. Mungkin pedih untuk ditelan tapi ini hakikat yang perlu diterima.

Hari ini, jika kita pergi ke konsert-konsert...adakah diasingkan lelaki dan perempuan?

Jawapannya sudah tentu TIDAK. Bila bercampur lelaki dan wanita dalam keadaan berasak-asak dan berhimpit-himpit maka syaitan pun mula mengambil tempat untuk memanipulasi nafsu ke arah yang tidak sepatutnya...na'uzubillah. Buktinya kita boleh lihat pada malam sambutan tahun baru atau malam sambutan kemerdekaan, berapa ramai yang tewas dan melahirkan hasilnya 9 bulan kemudian yang kemudiannya di letakkan di dalam tong-tong sampah... dan yang lebih teruk lagi dicampak dari tingkat lima! Semata-mata malu dengan manusia tapi tidak dengan Allah s.w.t.

Saya tidaklah menyalahkan konsert semata-mata tetapi yang utamanya adalah apabila lelaki dan wanita tidak ada lagi batas-batas dalam pergaulan. Bertepuk tampar di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram sudah menjadi biasa bagi masyarakat kita dan tidak lagi dianggap tidak sopan dan lebih teruk lagi sudah tidak rasa berdosa kepada Allah s.w.t.

Susah bagi kita untuk merubah secara keseluruhannya kerana ia seolah-olah sudah di'halal'kan di dalam negara kita ini. Jika kita membuka TV ia perkara biasa, baik dikalangan pemimpin mahupun orang biasa. Jadi, jalan yang terbaik adalah mengubah diri kita sendiri dahulu. Ketahuilah, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun.

InsyaAllah, andai pergaulan dapat dijaga..zina boleh dielakkan dan tidak akan lahirlah anak yang tidak berbapa dan insyaAllah isu bayi-bayi yang dibuang dapat dibendung. Mulakanlah perubahan dari diri anda supaya bayi yang layak dibelai tidak menjadi penghuni tong-tong sampah. Ingatlah Allah sentiasa memerhatikan kita walau dimana kita dan apa yang kita lakukan..fikir-fikirkanlah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...