free counters

21 Julai 2014

Cerpen: Fendi, Jajah Dan Orang-Orang Kampung.

Dam!!!

Pintu rumah ditendang dengan sekuat-kuatnya.

Fendi sekeluarga terkejut. Along dan angah segera berlari masuk kedalam bilik di sebelah ruang tamu rumah. Pintu itu ditendang lagi berkali-kali sehingga menggegarkan dinding di sebelahnya sekali. Bingkai-bingkai gambar juga sudah bergoyang-goyang, bahkan ada yang sudah terjuntai hampir terjatuh kerana gegaran yang datang dari pintu itu.

Isteri Fendi yang sedang mendukung anak kecilnya ketakutan dan memegang lengan Fendi dengan terketar-ketar. Pintu masih lagi ditendang-tendang dari luar. Fendi yang sebentar tadi kelihatan terkejut mula berubah riak menjadi marah. Matanya direnung dalam-dalam ke arah pintu tersebut.

Dia sebenarnya tahu angkara siapa itu.

Seorang manusia yang tak bernama. Eloklah kita panggil dia Jajah sahaja. Jajah sebenarnya sudah lama berada di dalam kawasan rumah Fendi sekeluarga, bahkan Jajah juga berkeluarga.

Jajah sebenarnya hanyalah seorang penumpang di rumah Fendi.

Asalnya Jajah dihantar oleh ketua kampung berseorangan ke rumah Fendi dek kerana dia tidak berumah. Entah apalah yang bersarang di kepala ketua kampung pada ketika itu. Jajah tidak berumah, maka dihantarnya ke rumah Fendi.

Pada mulanya Fendi tidak bersetuju dengan tindakan ketua kampung itu, namun apakan daya, seluruh penduduk kampung telah bersetuju dengan keputusan itu kata ketua kampung. Entah iya entah tidak, tidaklah pula diketahui Fendi.

Maka dipersetujui sahajalah oleh pihak Fendi akan keputusan itu. Namun Fendi bersetuju dengan bersyarat. Antaranya ialah Jajah hanya boleh tinggal di sebuah bilik kecil yang berada di sebelah kawasan anjung rumah Fendi sahaja. dengan erti kata lain tidak dibenarkan sama sekali menjejakkan kai ke dalam rumah Fendi.

Keputusan itu Fendi lakukan dengan hati yang amat berat dan dipaksa-paksa. Bukanlah Fendi tidak menyukai tetamu tetapi dia sudah sedia maklum dengan perangai Jajah. Sebelum itu Jajah sudah banyak menumpang di rumah-rumah sekitar kampung itu. Dan di setiap rumah yang ditumpangi Jajah jugalah banyak kerosakan yang Jajah lakukan. Namun terpaksa diterima jugalah keutusan itu dengan berat hati dan di optimiskan fikiran, Jajah dah baik. Kot.

Hari-hari berlalu. Nampaknya Jajah belum berubah.

Semakin hari dia semakin menunjukkan taringnya. Dia sesuka hatinya masuk ke dalam rumah Fendi. Menggunakan sesuka hatinya apa-apa sahaja yang berada di dalam rumah Fendi seperti barangnya sendiri. Fendi cuba bersabar pada mulanya, tetapi nampaknya Jajah memang tak tahu malu. Sudahlah habis dibuat semacam rumah sendiri, dibawa pula anak dan bini masuk kedalam rumah Fendi.

Satu demi satu bilik di rumah Fendi diambil Jajah. Untuk anaknya, untuk bininya. Itu hak dia katanya.

Bukan tidak pernah diadukan soal ini kepada ketua kampung, namun seolah-olah bercakap dengan tiang konkrit yang tak punya nyawa dan akal. Bisu, tak seperti saat mula-mula Jajah dihantar ke rumahnya dahulu. Cuma kadang-kadang ada jugalah ketua kampung mengambil tindakan, itu pun kalaulah boleh dikategorikan sebagai tindakan. Ketua kampung akan berdiri di tingkap sebelah rumah Fendi sambil melaungkan sesuatu seolah-olah sedang memberi nasihat kepada Jajah. Selepas itu hanya berlalu pergi begitu sahaja. Jajah dengar ke tak dengar ke, lantak lah.

Begitu juga jiran-jiran Fendi, mereka nampak apa yang berlaku tapi di diamkan sahaja. Apatah lagi jika kelibat Jajah kelihatan mengintai dari celah-celah tingkap. Alamat terkatup rapatlah tingkap-tingkap rumah mereka seolah-olah seekor kambing yang baru terlihat kelibat seekor serigala. Kecut!

Pernah suatu hari, anak Fendi turut dicederakan anak-anak Jajah. Fendi betul-betul marah, sudahlah menumpang, berani pula membuat onar kepada keluarga Fendi.

Fendi cuba berbincang lagi dengan ketua kampung. Namun seperti biasa, ketua kampung akan 'bising' di tingkap rumah Fendi sebentar kemudian balik menyambung semula kopi panas dan karipap sejuk di atas meja rumah mewahnya.

Jiran-jiran?

Seperti biasa juga. Tak perlu nak cerita panjang-panjang. Diplomatik kata mereka, atau dalam kata lainnya bacul.

Begitulah yang terjadi kepada keluarga Fendi bertahun-tahun. perkara yang sama berulang-ulang. Setiap inci rumah Fendi mula bertukar perlahan-lahan menjadi kawasan jajahan jajah. Sesuai dengan namanya. Seolah-olah kini Fendi pula yang menumpang di rumah Jajah. Dia yang perlu meminta kebenaran setiap kali mahu keluar dan masuk dari rumah itu.

Sehinggalah kini hanya sebahagian kecil sahaja kawasan rumah ini yang benar-benar Fendi dan keluarganya dapat duduk aman, itu pun kadang-kadang diganggu juga si Jajah tak tahu malu itu.

Dan hari ini, kawasan kecil ini pun jajah mahu ganggu.

Fendi sudah nekad. Direnungnya pintu itu tajam-tajam. Menunggu kelibat Jajah muncul.

Bam!

Pintu itu akhirnya rebah menyembah bumi.

Kelibat Jajah beserta senjata di tangannya muncul di sebalik cahaya luar yang menyilau mata.

Fendi memberi isyarat kepada isterinya supaya bersembunyi bersama dua lagi anak mereka di sebuah bilik. Fendi bangun lalu mencapai sebuah kayu besbol yang terletak di sebelah TV LED 24 inci itu.

Jajah tidak mahu membuang masa, diserangnya Fendi dengan sebilah pedang yang tajam berkilat.

Fendi berjaya mengelak serangan itu. Di pusingkan badannya 360 darjah sambil tangannya menghayunkan kembali kayu besbol itu tepat ke muka Jajah. Jajah jatuh kebelakang, namun muka bengisnya masih menyimpan seribu niat hitam.

Jajah kembali melancarkan serangan kepada Fendi. Berlaku pergelutan yang dahsyat di antara mereka. Saling serang-menyerang dan bertahan. Kedua-duanya sudah luka-luka dan cedera.

Dalam pergelutan yang kelam kabut itu entah bagaimana Fendi berjaya mengatasi Jajah walaupun dia hanya bersenjatakan kayu besbol yang sudah lama berbanding Jajah yang bersenjatakan pedang baru yang tajam berkilat. Mungkin kerana semangatnya yang berkobar-kobar mahu bebas dari manusia seperti Jajah. Itu pun jika dia layak dipanggil manusia.

Fendi kini sudah berada di atas Jajah. Pedang jajah sudah tercampak. Dia sudah cedera.

Fendi kini hampir menghirup udara keamanan dan kebebasan. Tiba-tiba kedengaran suara dari luar.

"Sudah-sudah lah tu Fendi! Tak ada apa yang kamu dapat dengan bergaduh tu! Berdamailah!"

Fendi bangun dan mengintai keluar rumah.

Dilihatnya ketua kampung ada di halaman rumah bersama beberapa orang jiran-jiran sekampungnya.

"Sudahlah, lupakan yang keruh ambil yang jernih. Berdamailah!" seru ketua kampung lagi.

Fendi buntu. Dia kecewa. Kenapa ketika ini ketua kampung muncul dan cuba bersungguh-sungguh mengajak perdamaian? Kenapa bukan ketika rumahnya dijajah sesuka hati? Kenapa bukan ketika anaknya dicederakan anak-anak Jajah? Kenapa bukan ketika kebahagiaan keluarganya dicuri jajah? Kenapa mesti saat Jajah sudah mula cedera dan Fendi sudah mahu mula membebaskan rumahnya dari Jajah?

Kenapa?

Diperhatikan beberapa orang kampung yang bersama ketua kampung itu terangguk-angguk bersetuju dengan kata-kata ketua kampung itu. Walhal sebelum ini di mana mereka saat Fendi ditindas di rumah sendiri?

Kelihatan Jajah tersenyum sinis dari balik pintu rumah. Senyuman kerana dia selamat dan dapat meneruskan lagi kejahatannya di rumah Fendi.

Fendi buntu dan keliru, siapa yang menindas dan ditindas ni?

Siapa yang menjajah dan dijajah sebenarnya?

Kayu besbol yang dipegangnya terlepas ke lantai. Serentak dengan hatinya kecewa.
.
.
.
.
.
Apakan daya.

Selamat datang ke teratak Fendi yang bernama Gaza.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...