free counters

23 Disember 2011

Jangan Bersedih!


Apa yang telah Allah kurniakan kepada kita sebenarnya adalah lebih dari harapan kita.

Renung-renungkan bersama..

21 Disember 2011

Takut Yang Sebenar

[Gambar Google]

Ada orang yang takut dengan hantu.

Ada orang yang takut dengan majikan.

Ada orang yang takut dengan musuh.

Hmm..macam-macam jenis takut yang ada dalam kehidupan manusia. Takut itu dan takut ini, terlalu banyak takut sehinggakan manusia semakin lupa kepada satu takut yang wajib untuk kita. Takut yang sebenar.


Takutlah kita dengan Allah.

Itulah sebenar-benar takut yang dituntut. Takut dengan Allah akan membantu kita mengharungi kehidupan dengan lebih baik dan mengikut jalan yang diredhaiNya. Itulah takut yang sesuai dengan fitrah kita.

Takut kepada Allah adalah lain dari yang lain. Dari segi logiknya apabila manusia takutkan sesuatu dia akan menjauhkan dirinya dari perkara yang ditakutinya tetapi apabila kita takut dengan Allah sebaliknya akan berlaku. Kita akan semakin mendekatkan diri kepada Allah s.w.t dan memperbanyakkan masa untuk beribadat kepadaNya.

Melalui takut itulah kita cuba untuk mendapatkan rahmat Allah. Manusia yang takut dengan Allah pasti takut juga untuk melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah, cuba menjadi manusia yang lebih baik dan sentiasa memohon keampunan dari Allah s.w.t.

Marilah sama-sama kita datangkan rasa takut kepada Allah s.w.t. Semoga rasa takut itu dapat membantu kita untuk menjadi hamba yang lebih baik. Semoga rasa takut itu juga akan dapat menambahkan rasa kemanisan dalam ibadah kita.

Takutlah kamu kepada Allah! Dia sentiasa melihat apa yang kita kerjakan.

16 Disember 2011

M.T.D.U.B


MTDUB adalah satu nama yang banyak peranannya dalam kehidupanku. Hampir 4 tahun sudah berlalu semenjak meninggalkan sekolah itu.

Boleh dikatakan di situlah tempat belajar mengenal kehidupan olehku. Terlalu banyak yang dapat dipelajari dalam masa 5 tahun diberi peluang oleh Allah untuk berada di bumi itu. Suka, duka, sedih, ketawa, persahabatan, bagaimana berdepan bermasyarakat dan macam-macam lagi.

Namun semua tu tak disedari ketika berada di situ. Sama seperti remaja-remaja seusia yang lain ketika itu, perasaan tak sabar untuk tamat bersekolah bermain-main dalam fikiran. Ketika itu hati meronta-ronta mahukan kebebasan yang kononnya boleh dicapai di luar sekolah. Bebas dari undang-undang sekolah dan bebas dari kongkongan guru. Kononnya dunia di luar pagar sekolah itu amatlah menyeronokkan.

Masih lekat dalam fikiran bagaimana hari pertama dihantar mendaftar ke sekolah itu dan merangkap hari pertama tinggal di asrama. Walaupun hati merasa berat untuk tinggal di asrama tetapi ketentuan Allah telah menetapkan hambanya ini di bumi itu selama 5 tahun. Satu perjalanan yang amat panjang dan bermakna dalam hidup.

Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya dari Allah. Persahabatan dengan sahabat-sahabat di MTDUB adalah sangat manis untuk dikenang. Memori bersama mereka adalah detik-detik yang tak ingin dilupakan. Walaupun masing-masing dah membawa haluan sendiri tapi masih cuba untuk berhubung supaya ukhwah yang ada itu tak akan putus, insyaAllah.

Bila diperhatikan ramai adik-adik pelapis di MTDUB mengalami apa yang pernah berlaku dahulu. Rasa terkongkong dan ingin bebas dari belenggu undang-undang sekolah. Nasihat ikhlas dari diri ini, hargailah masa-masa anda di sekolah kerana itu adalah memori anda di masa depan. Jangan sangkakan kebebasan dari sekolah adalah menyeronokkan kerana 'dunia di luar pagar sekolah' adalah lebih mencabar dan menuntut lebih kesabaran.

Manusia memandang sekolah dari sudut yang berbeza-beza. Bagiku MTDUB betul-betul mengajarku kehidupan. Kenangan dan pengalaman yang diperolehi adalah bekalan dalam menghadapi kehidupan.

Diri ini masih banyak rasa terhutang budi terhadap guru-guru di MTDUB yang tak jemu menegur dan membimbing ketika di sana. InsyaAllah, ganjaran dariNya menanti kalian di atas kesabaran mendidik kami. Terima kasih di atas didikan dan kesabaran kalian.

Walaupun pembaharuan demi pembaharuan dilakukan, harapanku semoga MTDUB terus sukses dalam mendidik dan membentuk modal insan yang berkualiti untuk agama Islam. Buat para guru-guru di sana, bersabarlah dengan kerenah anak-anak muridmu kerana penat lelahmu akan dihargai apabila mereka mula mengerti.

04 Disember 2011

Kita Hamba


[Gambar Google]

Pernah tak dengar istilah HAMBA?

Mestilah pernah...kalau tak pernah tak tau la nak cakap apa.

Apa yang terlintas dekat fikiran kita bila disebut perkataan HAMBA?

Ya, dulu wujud satu sistem hamba dalam kehidupan. Hamba pastinya dimiliki oleh seseorang yang bergelar tuan. Boleh dikatakan setiap apa yang disuruh oleh tuannya pasti akan dilakukan oleh hamba. Kalau disuruh masak, mesti memasak. Kalau disuruh kemas rumah, mesti kemas rumah.

Kalau tak buat?

Confirm kena marah dengan tuannya. Silap-silap makan penampar oleh tuannya tu.

Tapi itu cerita hamba manusia dengan manusia. Sedar atau tak sebenarnya kita semua ni adalah hamba. Hamba kepada siapa?

Hamba kepada Allah s.w.t.

Sebagai hamba pastinya kita ada tanggungjawab terhadap PEMILIK kita. Apa tanggungjawab kita? BUAT APA YANG DISURUH DAN TINGGAL APA YANG DILARANG.

Sebenarnya kita beruntung sebab PEMILIK kita sangat-sangatlah pengasih kepada kita. Walaupun kita selalu lalai dan leka dengan arahanNya tapi kita tak terus di'hukum'. Kita sentiasa diberi peluang olehNya.

Buktinya?

Kita masih mampu bernafas lagi sekarang dan anda masih boleh membaca sekarang ni. Jadi, hargailah peluang yang Dia bagi ni sebelum peluang ini ditutup olehNya.

Alangkah pengasihnya PEMILIK kita, selalulah bersyukur kepadaNya. Redhalah dengan segala perancangan yang Dia telah tetapkan untuk kita kerana Dia maha mengetahui. Dia yang menciptakan kita, maka sudah tentulah Dia yang paling mengetahui tentang kita.

Taatilah segala apa yang disuruh dan tinggalkan segala yang dilarangNya kerana kita adalah HAMBA ALLAH.

01 Disember 2011

Ikhlas Dari Hati


[Gambar Google]

Ikhlas...

Mungkin senang nak menilai manusia dari luarannya tapi bagaimana mungkin untuk menilai manusia dari dalamannya.

Kita sendiri mungkin salah dalam menilai diri sendiri. Percaya tak?

Kadang-kadang kita rasa kita ikhlas dalam melakukan kebaikan kepada orang lain tapi tanpa sedar ada terselit sedikit rasa bangga di sudut hati kita. Masihkah itu dianggap ikhlas?

Belum lagi disingkap dari sudut ibadah kita. Ibadah kita adalah semata-mata KERANA dan KEPADA Allah. Itu yang sepatutnya untuk kita tapi berjaya tak kita lakukannya?
Tepuk dada tanya iman anda...kami mohon perlindungan denganMu ya Allah.

Sebab itu kita harus berhati-hati dengan hati sendiri.

Ini hanya sedikit muhasabah untuk KITA (bukan aku atau dia tapi KITA), supaya kita lebih berusaha untuk mendatangkan ikhlas dalam setiap perkara yang kita buat. Terutama sekali dalam kita beribadah kepada Allah.

Ya, hanya Allah sahaja yang lebih tahu sejauh mana keikhlasan kita. Jadi, mintalah hati yang ikhlas daripadaNya. Mintalah dijauhkan hati kita dari perkara yang tak sepatutnya. Dia sentiasa mendengar.

Semoga amal ibadat kita akan diterima oleh Allah s.w.t. InsyaAllah.

28 November 2011

27 Kali Ganda


Sebenarnya video ni dah lama dah kat Youtube tapi tak salah rasanya nak berkongsi benda yang bermanfaat kan?

Bro yang buat video ni lebih dikenali dengan channel 'IniAnwarHadi' di Youtube. Apa-apa pun kita ambillah manfaat yang ada dalam video ni, baik jadikan tauladan dan buruk jadikan sempadan.

Selamat menonton!

25 November 2011

Kawan sejati


[Gambar Google]

Sahabat adalah antara watak-watak yang terselit dalam kehidupan kita semua. Ramai orang kata sahabat ketawa senang dicari tetapi sahabat menangis amatlah susah.

Ya, pasti kita ada pengalaman masing-masing dalam bersahabat. Suka, duka, sedih dan ketawa adalah lumrah bersama.

Bersahabat kalau boleh biarlah bersama dunia dan akhirat. Kalau kita rasa sahabat kita ada buat salah maka tegurlah. Itu tanda kita sayang pada dia.

Apa kita buat kalau tahu kawan kita tak solat?

Sebagai sahabat sejati kita pasti akan tegur sebab kita tak nak sahabat kita terus leka. Tapi berapa ramai yang buat macam tu?

Tak ramai, takut kawan terasa hati katanya.

Bukan nak tunjuk baik dengan kawan tapi nak ajak kawan-kawan jadi baik. Supaya kita semua dapat bersama-sama dalam redhaNya, insyaAllah.

Kalau ada kawan-kawan kita yang suka tegur kalau kita buat salah maka berbaik-baiklah dengan yang kuat menegur tu sebab mungkin itulah kawan yang betul-betul ikhlas.

Bukan semestinya solat sahaja. Setiap apa yang kawan kita salah kita kena tegur dan apa yang kita salah kita kena terima teguran dari orang lain. InsyaAllah, kita bersama-sama menuju syurgaNya kelak. Barulah dinamakan sahabat dunia akhirat.

Bersahabatlah kerana Allah s.w.t, pasti Dia akan mempermudahkan untuk kita.

20 November 2011

Baiknya Allah s.w.t


[Gambar Google]

Diriwayatkan dari Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, "Tidak ada penderitaan, kesengsaraan, kesakitan, kesedihan, bahkan juga kekalutan yang menimpa seorang mukmin melainkan semua itu menghapuskan sebahagian dosa-dosanya."
(HR Muslim)

MasyaAllah!

SubhanAllah!

Allahuakbar!

So, janganlah merungut ye...stop merungut right now!

Terimalah ujianNya dengan redha, kerana ketahuilah bahawa sebahagian dari dosa-dosa anda sedang dihapuskan.

Terima kasih ya Allah.

14 November 2011

Emak & Abah


Ayah dan ibu, abah dan emak atau papa dan mama adalah antara nama panggilan yang selalu digunakan untuk kedua orang tua kita. Walau apa sekalipun nama yang digunakan tapi pengorbanan dua insan yang bergelar ibu dan bapa ini terlalu besar untuk diri kita.

Mungkin kita pernah dimarah oleh ibu kita sewaktu kita kecil dahulu. Mungkin juga kita pernah dirotan atau dipukul sewaktu kecil dahulu tapi ketahuilah bahawa marahnya mereka itu kerana sayang dan rotan yang dihayun itu juga kerana sayang. Sedarkah kita, alangkah beratnya hati seorang ibu untuk memarahi dan merotan seorang anak yang dilahir dan dibesarkannya?

Ayah. Seorang insan yang kita lihat sering tegas dengan anak-anak. Mencari nafkah untuk keluarga dan melindungi keluarga merupakan tugasan harian yang dilakukan tanpa jemu dan malas oleh sosok itu. Sedarkah kita, tangisan yang berlaku di dalam hati seorang insan yang kita lihat gagah itu? Tangisan yang tak berair mata..

Sering seorang anak itu merasa dikongkong oleh ibu dan bapa apabila mereka meningkat dewasa. Itulah lumrah yang sering berlaku. Sedang hakikatnya ialah tentang hati ibu dan bapa yang sentiasa risau dan mahukan yang terbaik untuk anak mereka dan risau itu pastinya datang dari rasa sayang yang tak pernah dipaksa atau dibuat-buat.

Itulah ibu dan bapa..dua insan yang tak pernah puas mencurahkan kasih dan sayang kepada insan lain yang bergelar anak. Memerah segala keringat yang ada demi anak-anak. Mendidik dan mengasuh kita sehingga dewasa. Layakkah kita sebagai anak untuk melupakan mereka?

Siapa kita pada hari ini tanpa pengorbanan mereka?

Saya menyeru kepada anda semua supaya janganlah mengabaikan ibu dan bapa anda. Saya ulang sekali lagi..jangan abaikan ibu dan bapa anda! Hargailah mereka selagi mereka masih berada bersama kita. Berdoalah sentiasa untuk kedua orang tua kita. Berbaktilah kepada mereka selagi termampu.

Walau bagaimana sekalipun ibu dan bapa kita itu, ingatlah bahawa insan itulah yang sentiasa berkorban untuk kita, tangan merekalah yang pernah menyuapkan makanan untuk kita, mata merekalah yang pernah tak tidur malam kerana kita, air mata merekalah yang pernah mengalir untuk kita, mulut merekalah yang tak pernah putus mendoakan kita dan hati merekalah yang sentiasa risau dan sayangkan kita.

Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: "Wahai tuhanku, kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah mendidik aku di waktu kecil." (Surah al-Isra', ayat 24)

Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa kedua ibu dan bapaku serta berkatilah kehidupan mereka di dunia dan akhirat.

12 November 2011

Kuat


[Gambar Google]

Adakah anda kuat?

Ya, anda memang kuat kalau boleh menumbuk seseorang sampai pengsan dan anda memang kuat kalau boleh mematahkan tangan dan kaki orang lain apabila geram. Anda juga kuat kalau boleh mengangkat beban sehingga beratus-ratus kilo. Kuat sungguh anda ye..

..atau anda hanya sekadar rasa anda kuat?

Hmm...

Anda pernah tak susah untuk tidur malam?
Kalau pernah maknanya anda tak kuat pun. Tidur yang sepatutnya jadi satu nikmat pun anda tak mampu nak lakukan.

Anda pernah sakit?
Kalau pernah tandanya anda tak kuat pun. Anda kalah dengan penyakit yang tak dapat nak dilihat pun.

Anda boleh tak berhenti dari bernafas?
Setengah jam pun dah cukup...tak boleh? Maknanya confirm anda tak kuat sebab anda masih memerlukan nafas yang dipinjamkan oleh Allah.

Nafas pun kita pinjam..masih rasa diri tu kuat ke?

Nampaknya kita semua ni tak kuat pun..semua yang ada pada kita ni milik Allah. Semuanya pinjaman dari Allah. Sekuat mana pun kita rasa diri kita ni, sebenarnya kita masih bergantung dengan rahmat Allah s.w.t. Tiadalah kekuatan pada tubuh badan kita melainkan dengan izin dari Allah.

Kesimpulannya, janganlah sesekali membangga diri kerana kita hanya makhluk yang kerdil. Jagalah hubungan sesama makhluk dan yang paling penting jagalah hubungan dengan Allah s.w.t.

11 November 2011

Ujian dariNya


Ramai yang merasa tertekan atau sedih apabila mereka diuji oleh Allah dengan sesuatu masalah.

Ramai juga yang putus asa apabila diuji dengan sesuatu masalah.

Tapi sedarkah kita tentang peringatan Allah ini?

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan: 'kami beriman' dan mereka tidak diuji," Surah Al-Ankabut, ayat 2.

Ujian Allah adalah pasti kepada kita. Sebagai hambaNya kita hendaklah bersabar dan redha atas segala ujianNya walau sebesar mana pun ujian itu dirasakan oleh kita. Janganlah sekali-kali kita berputus asa dengan rahmat Allah kerana sesungguhnya rahmat Allah itu amatlah luas.

Allah tidak akan pernah berlaku zalim kepada hambaNya. Percaya dan yakinlah, setiap kesusahan yang Allah datangkan pasti akan disusuli dengan keindahan dan kemanisan. Setiap apa yang Allah ciptakan itu pasti ada hikmah di sebaliknya.

Bukan kita sahaja yang Allah uji. Setiap hambaNya diuji dengan ujian yang berbeza-beza. Seandainya kita rasa ujian yang diberi kepada kita terlalu berat...sedarlah, sesungguhnya ada insan lain yang diuji dengan ujian yang lebih berat. Berdoalah kepadaNya supaya kita diberi kekuatan untuk menempuhi ujian itu. Mintalah kepada Allah s.w.t kerana Dia maha mendengar.

Yakinlah bahawa Allah itu adil terhadap hamba-hambaNya. Mengadulah padaNya dan janganlah berputus asa...

Tugas siapa?


Siapa pendakwah?

Ustaz?

Ustazah?

Imam?

Tok bilal?

Bila disebut tentang tugas dakwah kebanyakan dari kita akan lebih senang menyerahkan kepada golongan 'ustaz-ustaz' sahaja. Mereka ini beranggapan tanggungjawab dakwah ini bukan tanggungjawab semua orang tetapi hanya tugas 'ustaz-ustaz' sahaja.

Sebenarnya itu merupakan tanggapan yang salah oleh sebahagian dari masyarakat sekarang. Tugas dakwah ini merupakan tugas semua manusia yang mengaku beriman kepada Allah s.w.t. Tidak kiralah anda ustaz, imam, arkitek, doktor, pemandu lori, akauntan, penoreh getah atau yang berjawatan perdana menteri sekalipun, tugas berdakwah adalah wajib untuk anda!

Antara sebab ramai yang salah anggap mengenai dakwah ini mungkin kerana kecilnya ruang lingkup dakwah yang dapat dilihat oleh mereka.

Dakwah bukan hanya berceramah di dalam masjid-masjid dan surau-surau tetapi setiap aspek kehidupan kita boleh digunakan sebaiknya sebagai method dakwah kita. Cuma terpulang kepada kita bagaimana untuk menggunakan sebaiknya peluang yang ada di hadapan kita ini sebagai salah satu jalan dakwah yang berkesan.

Contohnya, andai bakat kita lebih ke arah nyanyian maka itu adalah satu jalan yang baik untuk kita. Alangkah bagusnya jika suara yang sedap dan nyanyian yang menarik itu dapat digunakan sebaiknya untuk menarik manusia kembali kepada Allah. Sekurang-kurangnya ia boleh dijadikan bekalan kita untuk berhadapan dengan mahkamah Allah di mahsyar kelak, insyaAllah.

Saya ada menonton beberapa vlog yang menarik oleh anak-anak muda Malaysia yang beragama Islam dan ia menjadi satu cabang dakwah yang cukup baik untuk mereka di dalam Youtube. Tak perlu membuat vlog yang dilabel 'skema' oleh sebahagian dari kita, mereka berdakwah dengan cara mereka yang tersendiri. Bayangkan apabila Youtube menjadi medan dakwah, berjuta-juta manusia yang dapat manfaat darinya.

Itu cara mereka, bagaimana dengan kita?

Di manakah sudut dalam kehidupan kita yang sudah kita gunakan untuk dakwah?

Mari kita bersama-sama melakukan usaha dakwah untuk mengajak manusia kembali kepada Allah s.w.t dan dalam masa yang sama marilah kita ubah diri kita supaya berubah menjadi lebih baik dari hari ke hari.

Semoga Allah merahmati usaha kita ini. Ingat, dakwah kerja kita!

04 November 2011

Lupa


[Gambar Google]

Lupa...

Saya pasti semua manusia pernah terlupa..

Sebagai seorang pelajar sekolah, kita pernah terlupa untuk melakukan kerja rumah yang diberikan guru.

Sebagai seorang mahasiswa kita pernah terlupa menyiapkan assignment yang diberikan pensyarah.

Sebagai seorang pekerja kita pernah terlupa arahan yang diberikan majikan.

Bermacam-macam situasi lupa yang pernah kita lalui dalam kehidupan sebagai manusia. Lupa merupakan salah satu fitrah yang Allah s.w.t kurniakan kepada semua insan yang bernama manusia. Selagi mana kita bernama manusia pasti kita akan melalui satu proses yang bernama 'lupa'.

Kebiasaannya situasi 'terlupa' akan menyebabkan kita kerugian sesuatu atau merumitkan sesuatu keadaan. Jadi, 'lupa' selalu dipandang sebagai menyusahkan oleh kita. Sebenarnya 'lupa' adalah sangat penting dan sangat berguna dalam kehidupan seharian kita.

Apa sebenarnya kegunaan sifat lupa?

Cuba kita bayangkan, dalam sehari berapa banyak masalah yang menimpa kita? Cuba kita andaikan sehari satu masalah, seminggu sudah 7 masalah dan sebulan hampir 30 masalah. Setahun? Bagaimana mungkin kita dapat menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang tanpa kita melupakan sebahagian dari cabaran-cabaran yang lain.

Jadi disitulah 'lupa' memainkan peranannya supaya kita dapat meneruskan kehidupan kita dan menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang. Ini bermakna 'lupa' juga ada sudut positifnya berbanding sudut negatif yang selalu dipandang.

SubhanAllah...

Tidaklah Allah menciptakan sesuatu itu hanya untuk sia-sia. Maha suci Allah dari segala kekurangan, hanya kita yang kadangkala 'rabun' dan tidak dapat menilai hikmah pada setiap ciptaan Allah s.w.t. So, nilailah sesuatu perkara itu dengan akal yang Allah berikan dan lihatlah kekuasaan Allah pada setiap ciptaanNya supaya kita tak 'terlupa' status kita sebagai hamba kepada Allah s.w.t.

Andai kata terlupa bahawa kita ini adalah hambaNya...maka itu adalah kritikal!
Fikir-fikirkan...

06 Jun 2011

Tak habis-habis

Cantiknya ciptaan Allah. [Gambar Google]


Selak surat khabar...
Itulah beritanya...

Tonton TV...
Itulah beritanya...

Berita apa???

Akhir-akhir ni rakyat Malaysia mula bercakap kembali mengenai isu buang bayi. Sebabnya, ia kembali walaupun hakikatnya isu ni tak pernah padam. Kesabaran kita seakan-akan direntap bila seorang bayi dicampak dari tingkat lima sebuah bangunan baru-baru ni dan kepala bayi itu pecah akibat terhempas. Mana hilang kemanusiaan?!

Kita hidup dalam sebuah negara yang majoritinya adalah umat Islam, pemimpinnya orang Islam dan dicanangkan sebagai negara Islam contoh pada masa kini. Tapi pada hakikatnya kita semua tahu apa yang terjadi dalam negara kita...di mana silapnya?

Sudah bermacam-macam cara yang dilakukan untuk membendung perkara ni tetapi saya berani katakan bahawa isu ini bukan dapat dibendung bahkan makin parah. Semua pihak cuba mengeluarkan idea bagaimana untuk menangani perkara ni termasuklah dari pihak NGO, parti-parti politik dan sebagainya.

Apa yang saya dapat lihat dari pandangan saya yang lemah ni, kita tidak cuba untuk menyelesaikan masalah ini bermula dari puncanya. Sebagai contoh, diadakan kempen supaya tidak dibuang anak yang dilahirkan luar nikah. Baguslah, tetapi adakah itu masalah utamanya? Persoalannya, bagaimana boleh lahirnya anak luar nikah?

Ya, anak luar nikah atau anak tidak sah taraf dihasilkan melalui persetubuhan yang dilakukan tanpa melalui proses yang sah iaitu NIKAH. Jadi, masalah utamanya ialah ZINA! Tanpa zina, tidak wujud anak luar nikah dan tanpa anak luar nikah tidak wujud masalah bayi dibuang akibat malu dengan masyarakat.

Apa yang menyedihkan ialah kempen untuk menjauhi zina amat kurang dilakukan di Malaysia dan boleh dikatakan terlalu sedikit berbanding 'kempen untuk berzina' yang dijalankan secara tidak rasmi. Kita semua diasak dengan hiburan-hiburan yang melalaikan dan akan menggalakkan berlakunya penzinaan. Mungkin pedih untuk ditelan tapi ini hakikat yang perlu diterima.

Hari ini, jika kita pergi ke konsert-konsert...adakah diasingkan lelaki dan perempuan?

Jawapannya sudah tentu TIDAK. Bila bercampur lelaki dan wanita dalam keadaan berasak-asak dan berhimpit-himpit maka syaitan pun mula mengambil tempat untuk memanipulasi nafsu ke arah yang tidak sepatutnya...na'uzubillah. Buktinya kita boleh lihat pada malam sambutan tahun baru atau malam sambutan kemerdekaan, berapa ramai yang tewas dan melahirkan hasilnya 9 bulan kemudian yang kemudiannya di letakkan di dalam tong-tong sampah... dan yang lebih teruk lagi dicampak dari tingkat lima! Semata-mata malu dengan manusia tapi tidak dengan Allah s.w.t.

Saya tidaklah menyalahkan konsert semata-mata tetapi yang utamanya adalah apabila lelaki dan wanita tidak ada lagi batas-batas dalam pergaulan. Bertepuk tampar di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram sudah menjadi biasa bagi masyarakat kita dan tidak lagi dianggap tidak sopan dan lebih teruk lagi sudah tidak rasa berdosa kepada Allah s.w.t.

Susah bagi kita untuk merubah secara keseluruhannya kerana ia seolah-olah sudah di'halal'kan di dalam negara kita ini. Jika kita membuka TV ia perkara biasa, baik dikalangan pemimpin mahupun orang biasa. Jadi, jalan yang terbaik adalah mengubah diri kita sendiri dahulu. Ketahuilah, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun.

InsyaAllah, andai pergaulan dapat dijaga..zina boleh dielakkan dan tidak akan lahirlah anak yang tidak berbapa dan insyaAllah isu bayi-bayi yang dibuang dapat dibendung. Mulakanlah perubahan dari diri anda supaya bayi yang layak dibelai tidak menjadi penghuni tong-tong sampah. Ingatlah Allah sentiasa memerhatikan kita walau dimana kita dan apa yang kita lakukan..fikir-fikirkanlah.

11 Januari 2011

TV Al-Hijrah


Al-Hijrah. Sebuah stesen televisyen yang baru bersiaran lebih kurang sebulan. Menggunakan Islam sebagai garis panduan untuk bersiaran menjadikan Al-Hijrah sebagai sebuah stesen televisyen tidak berbayar yang lain dari yang lain serta berada dalam konteksnya yang tersendiri.

Antara keunikan yang menarik hati aku ialah dramanya yang dikatakan (belum berpeluang untuk tengok) menggunakan elemen tidak bersentuhan diantara lelaki dan perempuan walaupun watak sebagai suami isteri. Alhamdulillah..akhirnya ada jugak stesen televisyen yang berani melakukan perubahan macam tu.

Baru-baru ni, ada beberapa artis yang diberi peluang untuk berlakon dalam drama di stesen tv tu bersuara dalam media, kata mereka agak kekok untuk melakonkan watak sebagai suami isteri kerana tak boleh bersentuhan antara lelaki dan perempuan. Ya Allah, itu pulak yang kekok! Betullah dunia dah akhir zaman, nak mengamalkan Islam dah dirasakan kekok berbanding nak melakukan maksiat. Apa-apa pun aku tak salahkan artis tu, sebab aku tak tahu sama ada artis tu memang merungut atau sekadar nak bercerita sebab memang dia tak biasa. Ialah, realitinya kat Malaysia ni memang macam tu. Berbaik sangkalah kita ye..

Sebab itulah tugas kita semua untuk saling ingat-mengingati sesama Islam. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman", Surah Az-Zaariyat, ayat 55.

Jadi, nak diingatkan kepada mana-mana artis yang berpeluang untuk berlakon di bawah stesen tv Al-Hijrah (artis baca ke blog ni?), bersyukurlah kerana diberi peluang untuk berlakon sambil berdakwah dalam keadaan yang dah di tetapkan Allah s.w.t. Ambillah peluang ni untuk buat amal jariah..insyaAllah.


Antara rancangan-rancangan menarik di TV Al-Hijrah.

Semoga stesen tv Al-Hijrah akan tetap dengan pendirian macam tu sampai bila-bila. Jangan pulak nanti dengar cerita peraturan nak dilonggarkan kononnya sebab nak sesuaikan dengan zaman sudah. Na'uzubillah. Biarlah stesen tv ni jadi pelopor untuk media-media Islam yang lebih kompetitif di masa akan datang. Semoga tv Al-Hijrah akan terus sukses..insyaAllah.

08 Januari 2011

Fikir Dan Risau

Sedih..

Kecewa..

Takut..

Perasaan mesti akan bercampur baur bila mengenangkan tentang perkara ni. Sudah terlalu banyak cara yang dilakukan oleh semua pihak untuk menangani masalah ni tapi masih tetap boleh merisaukan insan-insan yang mengambil berat akannya. Sebab? Masih di takuk yang lama bahkan makin parah.

SEDIH

Bila melihat cara hidup anak-anak muda Islam di Malaysia sekarang..sudah tidak ada bezanya dengan mereka yang tidak ada pegangan kalimah syahadah di dada mereka. Bukan hendak menghukum, tetapi itulah realiti yang terjadi di dalam negara yang majoritinya adalah umat Islam dan pemimpinnya adalah umat Islam. Sedih bila mengenangkan satu masa dulu kita digelar masyarakat yang penuh dengan adab dan sopan santun..

Sedih melihat dada-dada akhbar saban hari memuatkan berita yang menyesakkan dada. Rogol, zina, dadah, bunuh, rompak, samun, buang bayi, ragut..menjadi bahan bacaan harian rakyat Malaysia. Satu masa dulu, kes-kes buang bayi akan menggemparkan seluruh negara bila dimuatkan senagai bahan berita di akhbar. Kini, berita begitu hanya menjadi berita tempelan dan tidak ada unsur komersial lagi. Kenapa? Sebab masyarakat dah lali dengan berita begitu..

Sekarang tahun 2011, bolehkah kita bayangkan apa yang akan berlaku pada negara yang kita cintai ini dalam tempoh 10 tahun akan datang jika perkara ini tidak dibendung?

Mahukah kita anak cucu kita nanti sudah tidak kenal erti maruah?

KECEWA

Kadang-kadang sedikit kekecewaan terdetik dalam hati ni kerana bukan sedikit institusi agama yang wujud di Malaysia, bukan sedikit graduan bidang agama di Malaysia, bukan sedikit sekolah-sekolah agama yang wujud tapi kenapa masalah ini masih berlarutan?

Sekarang ni pengajian J-Qaf diterapkan di sekolah-sekolah rendah dan menekankan pelajaran mengenai asas-asas agama Islam. Alhamdulillah, tapi bukankah lebih baik sekiranya diteruskan juga ke sekolah-sekolah menengah? Sekadar pandangan..

Baru-baru ni, sebuah akhbar melaporkan tentang dua beradik yang dicekup oleh ibu sendiri sedang tidur bersama kekasih masing-masing pada pukul 3 pagi di dalam bilik di rumah sendiri! Ya Allah, berani betul anak-anak muda sekarang. Remuk hati ibu yang mengandungkan kamu 9 bulan..

Ibu bapa pun kena main peranan di rumah. Jangan apabila anak sudah rosak baru terkial-kial nak mencari sekolah-sekolah agama untuk meng'kuarantin'kan anak-anak. Sepatutnya, didikan agama itu bermula dari ibu bapa sendiri. Biarlah anak-anak itu mengenal Allah, mengucap syahadah, pandai baca Al-Quran, pandai solat dan lain-lain hasil dari didikan ibu bapa. Janganlah hanya mengharapkan orang lain untuk mencorakkan siapa anak kita.

TAKUT

Takut bila mengenangkan azab Allah s.w.t apabila melihat cara hidup masyarakat kita. Kita diberi nikmat negara yang aman dan damai tetapi masih ramai yang gagal mensyukuri nikmat itu. Bagaimana dikatakan gagal? Seorang hamba yang bersyukur tidak akan menggunakan nikmat yang ada kearah jalan yang tidak diredhai Allah s.w.t.

Bila diberi tubuh badan yang sihat, tidak menggunakannya untuk berzina, lumba haram, merompak dan sebagainya.

Bila diberi harta yang banyak, tidak menggunakannya untuk befoya-foya.

Bila diberi negara yang aman, tidak lupa pada yang Maha Memberi Keamanan.

Tidak takutkah kita dengan amaran Allah?

"Dan (ingatlah), tatkala tuhanmu memaklumkan, sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami kan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu amatlah pedih." Surah Ibrahim, ayat: 7

Seharusnya, mesti ada dalam jiwa setiap anak muda Islam untuk berubah kearah yang lebih baik kerana kita adalah pewaris negara dan agama ini. Permulaan setiap perubahan itu mesti bermula dari dalam diri masing-masing. Berubahlah sebelum terlambat..sebelum ajal datang menjemput.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...