free counters

08 Januari 2011

Fikir Dan Risau

Sedih..

Kecewa..

Takut..

Perasaan mesti akan bercampur baur bila mengenangkan tentang perkara ni. Sudah terlalu banyak cara yang dilakukan oleh semua pihak untuk menangani masalah ni tapi masih tetap boleh merisaukan insan-insan yang mengambil berat akannya. Sebab? Masih di takuk yang lama bahkan makin parah.

SEDIH

Bila melihat cara hidup anak-anak muda Islam di Malaysia sekarang..sudah tidak ada bezanya dengan mereka yang tidak ada pegangan kalimah syahadah di dada mereka. Bukan hendak menghukum, tetapi itulah realiti yang terjadi di dalam negara yang majoritinya adalah umat Islam dan pemimpinnya adalah umat Islam. Sedih bila mengenangkan satu masa dulu kita digelar masyarakat yang penuh dengan adab dan sopan santun..

Sedih melihat dada-dada akhbar saban hari memuatkan berita yang menyesakkan dada. Rogol, zina, dadah, bunuh, rompak, samun, buang bayi, ragut..menjadi bahan bacaan harian rakyat Malaysia. Satu masa dulu, kes-kes buang bayi akan menggemparkan seluruh negara bila dimuatkan senagai bahan berita di akhbar. Kini, berita begitu hanya menjadi berita tempelan dan tidak ada unsur komersial lagi. Kenapa? Sebab masyarakat dah lali dengan berita begitu..

Sekarang tahun 2011, bolehkah kita bayangkan apa yang akan berlaku pada negara yang kita cintai ini dalam tempoh 10 tahun akan datang jika perkara ini tidak dibendung?

Mahukah kita anak cucu kita nanti sudah tidak kenal erti maruah?

KECEWA

Kadang-kadang sedikit kekecewaan terdetik dalam hati ni kerana bukan sedikit institusi agama yang wujud di Malaysia, bukan sedikit graduan bidang agama di Malaysia, bukan sedikit sekolah-sekolah agama yang wujud tapi kenapa masalah ini masih berlarutan?

Sekarang ni pengajian J-Qaf diterapkan di sekolah-sekolah rendah dan menekankan pelajaran mengenai asas-asas agama Islam. Alhamdulillah, tapi bukankah lebih baik sekiranya diteruskan juga ke sekolah-sekolah menengah? Sekadar pandangan..

Baru-baru ni, sebuah akhbar melaporkan tentang dua beradik yang dicekup oleh ibu sendiri sedang tidur bersama kekasih masing-masing pada pukul 3 pagi di dalam bilik di rumah sendiri! Ya Allah, berani betul anak-anak muda sekarang. Remuk hati ibu yang mengandungkan kamu 9 bulan..

Ibu bapa pun kena main peranan di rumah. Jangan apabila anak sudah rosak baru terkial-kial nak mencari sekolah-sekolah agama untuk meng'kuarantin'kan anak-anak. Sepatutnya, didikan agama itu bermula dari ibu bapa sendiri. Biarlah anak-anak itu mengenal Allah, mengucap syahadah, pandai baca Al-Quran, pandai solat dan lain-lain hasil dari didikan ibu bapa. Janganlah hanya mengharapkan orang lain untuk mencorakkan siapa anak kita.

TAKUT

Takut bila mengenangkan azab Allah s.w.t apabila melihat cara hidup masyarakat kita. Kita diberi nikmat negara yang aman dan damai tetapi masih ramai yang gagal mensyukuri nikmat itu. Bagaimana dikatakan gagal? Seorang hamba yang bersyukur tidak akan menggunakan nikmat yang ada kearah jalan yang tidak diredhai Allah s.w.t.

Bila diberi tubuh badan yang sihat, tidak menggunakannya untuk berzina, lumba haram, merompak dan sebagainya.

Bila diberi harta yang banyak, tidak menggunakannya untuk befoya-foya.

Bila diberi negara yang aman, tidak lupa pada yang Maha Memberi Keamanan.

Tidak takutkah kita dengan amaran Allah?

"Dan (ingatlah), tatkala tuhanmu memaklumkan, sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami kan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu amatlah pedih." Surah Ibrahim, ayat: 7

Seharusnya, mesti ada dalam jiwa setiap anak muda Islam untuk berubah kearah yang lebih baik kerana kita adalah pewaris negara dan agama ini. Permulaan setiap perubahan itu mesti bermula dari dalam diri masing-masing. Berubahlah sebelum terlambat..sebelum ajal datang menjemput.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...