free counters

28 September 2014

Sahabat

Aku ada sorang kawan. Nak kata bestfriend tak la bestfriend sangat, nak kata BFF macam yang budak-budak sekarang suka cakap tu macam pelik pulak. Senang ceritanya dia kawan aku dan dia seorang yang baik.

Kitorang kenal start masa tingkatan satu lagi. Sama-sama masuk sekolah dan duduk dalam kelas yang sama. Dan seingat aku kitorang antara yang dapat nombor-nombor yang agak tinggi la dalam kelas walaupun tak power mana pun kitorang belajar. Tambah pulak aku ni termasuk dalam spesis yang kuat main ( tolong jangan tiru ).

Maknanya lama jugak la kitorang ni saling mengenali, dari 2003 sampailah sekarang ni 2014. Lebih kurang 11 tahun jugak la. Asalnya kitorang ni agak kurang rapat masa awal-awal kenal. Mungkin sebab personaliti yang agak berbeza dan minat pun lain cabangnya. Dia lebih kepada elektronik dan apa-apa yang berkaitan dengan teknologi ni la dan aku pulak kaki komik ( masa tu la ).

Tapi nak dijadikan cerita, semakin lama kelas aku semakin susut ahlinya. Perkara ni biasa bagi sesebuah sekolah swasta macam sekolah aku. Sampailah satu tahap masa tingkatan 5 kelas kitorang sampai tinggal lebih kurang 10 orang macam tu je. Dan seingat aku masa tu lah baru aku dengan kawan aku ni betul-betul rapat. Bukanlah nak kata sebelum ni kitorang langsung tak bertegur sapa, cumanya tak ada la rapat sampai nak buat macam-macam sama-sama.

Bila aku dah mula rapat dengan dia baru aku sedar yang kawan aku ni banyak kelebihan. Ilmu dia berkaitan bidang elektronik memang power. Kalau nak dikira fatrah SPM masa tu dia ni memang jadi rujukan berkaitan dengan subjek matematik. Aku banyak terhutang budi dengan dia.

Bukan setakat tu, masa dia belajar di sebuah politeknik kat kuantan ni dia jadi seorang yang betul-betul menyerlah dalam bidang kejuruteraan ni. Dia mewakili kolej dia ke macam-macam pertandingan robotik, dan ada antaranya dia berjaya merangkul kejuaraan. Kalau tak silap aku dia pernah masuk surat khabar berkaitan dengan pertandingan robot ni.

Dia memang power ilmu-ilmu teknologi ni. Apa hal berkaitan dengan laptop aku banyak yang aku rujuk dia (sebab aku ni noob bab ni). Sampaikan seingat aku, aku pernah angkut dia dari rumah ajak teman aku nak beli RAM untuk laptop aku sebab aku takut salah beli dan dia tak menolak. Begitulah baiknya member aku sorang ni.

Masa aku kerja dulu dan dipertanggungjawabkan untuk uruskan blog sekolah tu, dialah jugak orangnya yang aku cari. Akhir-akhir ni, aku mula nampak dia serius dengan perniagaan dan seperti biasa tak lari jauh dari bidang yang dia minat. Dia menceburkan diri dalam perniagaan berasaskan arcrylic. Sebagai kawan yang kenal lama sejak sekolah bila ada masa terluang aku pergi jugak la lepak-lepak kat rumah dia, support member nak berniaga. Dan aku perhatikan perniagaan dia semakin hari semakin maju, alhamdulillah.

Oh ya, kawan aku ni memang seorang yang baik dengan sahabat-sahabat dia, macam yang aku dah bagitahu kat atas tadi. Dan dia ni jugak seorang yang sangat penyabar. Jarang sangat nak nampak kawan aku ni nak bertekak sampai bawak gaduh, terutama dengan kawan-kawan rapat dia. Baru-baru ni selepas raya aidilfitri, sebelum aku bertolak balik ke kampus aku belajar aku sempat la jenguk sekejap bengkel dia yang baru bukak cuma tak sempat nak berborak panjang sebab hari tu dia agak sibuk kena pergi tempat lain. Tapi takpe la, bagi aku, aku dah tunjuk muka pun dah ok sebab nak bagi moral support kat member yang nak berniaga.

7/9/2014 aku bertolak balik ke tempat aku belajar seperti biasa untuk memulakan sem baru.

8/9/2014, lepas solat subuh aku terdetik hati nak check Whatsapp pagi tu. Aku tengok ada mesej dari kawan aku tu. Bila aku bukak mesej tu darah aku berderau, aku rasa macam bermimpi. Aku cepat-cepat call member aku sorang lagi yang bekerja dengan dia dan aku mendapat kepastian tentang apa yang aku terima.

Mesej yang aku dapat pagi dari whatsapp kawan aku ditulis oleh abang dia bagi pihak keluarga kawan aku untuk memaklumkan yang kawan aku meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya.

Ya, aku sangat-sangat terkejut dengan berita tu tapi takdir tuhan mengatasi segala perancangan kita. Setiap apa yang Dia tetapkan pasti ada hikmah untuk kita semua. Tinggal lagi hanya untuk kita berfikir dan mencari hikmah tersebut.

Pagi Isnin itu aku kehilangan seorang sahabat yang baik. Sahabat seperjuangan dari zaman persekolahan, sahabat yang selalu membantu aku, sahabat yang penyabar, sahabat yang gigih mengejar cita-cita bahkan sijil SPM aku juga ada sumbangan dari dia yang membantu aku mengulangkaji matapelajaran matematik masa kitorang sekelas.

Hari itu air mata jantan aku mengalir, kerana sudah sampai masa perpisahan kami sebagai sahabat di muka bumi ini dan yang aku agak terkilan kerana aku tak sempat untuk mengiringi jenazah untuk kali terakhir. Tapi tak mengapalah, doa aku utuskan untukmu sahabat, semoga Allah melimpahkan rahmatNya untukmu di sana. Aku agak lega sedikit bila melihat gambar-gambar yang dikirim sahabat-sahabat lain yang ada ketika pengebumian arwah, ramai sahabat-sahabat lama kami semasa sekolah datang menziarahi jenazah. Itu tanda arwah seorang yang di ingati teman-temannya.

Aku mohon sesiapa yang ada membaca coretan tak seberapa ku ni, sudi-sudikanlah untuk sedekahkan bacaan al-Fatihah kepada arwah sahabatku, Muhammad Najme Bin Da yang telah pergi pada pagi 8/9/2014 akibat kemalangan motor. Semoga kau tenang di sana sahabat dari hiruk pikuk dunia dan semoga keampunan Allah bersamamu sahabat.

Aku menjadi saksi kebaikan beliau sebagai seorang sahabat selama kami saling mengenali.

Al-Fatihah...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...