26 Oktober 2013

Rakam



Aku suka
Rakamkan kehidupan
Menyimpan senyum tawa insan
Jadi pedoman
Untuk kita bersama wahai teman

Di sejalur perjalanan
Yang bersirat pengalaman
Kita berkongsi alam tuhan
Tagis tawa ku jadikan rakaman
Diputar kembali dalam ingatan
Untuk menemukan sebuah tujuan.

Senyuman kalian
Membangkitkan
Jiwa-jiwa keresahan
Atas nama insan
Kita memerlukan senyuman.

Tangisan kalian
Menemukan keinsafan
Untuk aku yang kehausan
Mencari pedoman
Buat pengajaran.

Aku suka
Merakamkannya.

-fikirsekejap-

16 Oktober 2013

Pesan Untuk Manusia

[Gambar Google]


Kita manusia berdosa
Melakon sketsa di bumi fana.

Lihat diriku
Jangan merendahkanmu
Kulihatmu
Tidak meninggikanku.

Seragam manusia kau sarung megah
Derap tapak menggegar tanah
Tak terkesan langsung dek amanah
Dimana bumi kitalah khalifah.

Oh! Kealpaan
Kelupaan
Kelekaan
Kelalaian
Bakal menyiksakan.

Kita kan rasa
Sama-sama
Andai mendustai-Nya.

Na'uzubillah.

-fikirsekejap-

13 Oktober 2013

Cerpen: Kau Tak Solat!


KRINGGGGGGG!!!!!!

Jeritan nyaring dan sumbang dari jam loceng memenuhi ruang bilik sederhana besar itu. Membelah kesunyian malam yang mengulit setiap anak Adam supaya terus melayan mimpi yang semakin mencapai klimaksnya.

Perlahan-lahan Yassin membuka matanya. Berat dan payah, satu bentuk perjuangan bagi Yassin untuk melawan rasa mengantuknya itu. Lalu dicapai jam loceng yang berada di penjuru meja bersebelahan katil, diperhatikan jam itu dengan mata yang separuh tertutup.

"Dah pukul 4.." hatinya berbisik sendiri seakan terlupa bahawa dia yang mengunci jam supaya berbunyi pada waktu itu. Itulah waktu biasa bagi Yassin untuk bangun pagi dan bersolat sunat tahajud sebelum menunggu waktu subuh.

Dengan susah payah dia mengangkat selimut yang membaluti tubuhnya dan terus mencapai segala alatan mandinya di rak kayu di bahagian bawah meja bersebelahan katilnya.

Brrr..brrrr..

Yassin kesejukan. Cepat-cepat dia menukar pakaian dari bertuala kepada pakaian solat dan tanpa membuang masa, dia terus membentangkan sejadah menghala ke arah kiblat.

"Allahuakbar.." sunyi pagi itu di sulami dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang dialun Yassin dalam solatnya. Di waktu manusia lain nyenyak tidur, dia mengambil peluang bersolat dan bermunajat kepada tuhannya.

Setiap rukuk dan sujud dilakukan secara tertib dan khusyuk. Begitulah kelebihan bersolat sunat diwaktu awal-awal pagi sebelum Subuh, kita dapat menghayati solat dengan penuh khusyuk tanpa gangguan.

Selesai bersolat, Yassin mengerling jam di dinding biliknya. Sudah pukul 5 pagi, maknanya Yassin sudah boleh mula bergerak ke surau Kolej Kediaman tempat Yassin belajar untuk bersolat subuh pula.

Ketika dia hendak keluar dari biliknya, dia terlihat rakan sebiliknya yang masih nyenyak tidur. Seketika dia terdiam di pintu memerhati seakan berfikir sesuatu. Selepas beberapa ketika akhirnya Yassin menutup dan mengunci pintu biliknya lalu terus menuju ke surau.

Pukul 7.20 pagi. Seusai mendengar kuliah subuh, Yassin pun bergerak pulang ke biliknya.

Sebaik membuka pintu, dia terus menjeling kepada rakan sebiliknya. Dan ternyata, dia masih lena diulit mimpi. Seperti biasa, seperti hari-hari yang lain.

Yassin melepaskan satu keluhan berat.

Begitulah setiap hari. Rakan sebilik Yassin yang bernama Dani itu sungguh liat untuk mengerjakan solat. Jangankan subuh, zohor, asar, maghrib dan isyak juga langsung tak diendahkannya.

Bukan tidak pernah Yassin mengejutkannya. Sudah berkali-kali dan berbagai-bagai cara namun setakat ini masih lagi menemui jalan buntu. Terkadang Dani memang sudah tersedar dari tidurnya pada waktu subuh, namun sengaja pula diangkat selimutnya menutupi seluruh ruang mukanya dan kembali menyambung tidur.

Sudah hampir 2 bulan mereka sama-sama mendaftar masuk sebagai pelajar di kolej ini tetapi belum sekali pun Yassin pernah melihat Dani bersembahyang. Sehingga boleh dikatakan Yassin seakan sudah meluat melihat perangai Dani itu. Bila tiba waktu kuliah, Dani akan segera bangun dan bersiap tetapi tidak bagi waktu solat.

"Undang-undang kolej diikuti seboleh-bolehnya oleh kau sebagai seorang pelajar tetapi undang-undang Allah seakan tiada makna dalam kamus hidup kau Dani," fikir Yassin.

"Aku ambil jurusan agama Islam, takkanlah dengan roommate pun tak boleh nak dakwah," selalu persoalan itu bermain-main di dalam minda Yassin. Dia berasa sangat-sangat terdesak bagaimana mahu menjadikan Dani seorang yang berpegang dengan perintah agama.

"Kau rasa apa yang perlu aku buat lagi Man?" pernah Yassin cuba mendapatkan pandangan dari rakan baiknya dari sekolah dan sama-sama melanjutkan pelajaran ke kolej ini, Salman.

"Ko slow talk la dengan dia dulu.." Salman cuba memberi buah fikiran.

"Heh! Slow talk apanya..dah 'bertalk-talk' dah aku bagi..tak jalan dia tu."

"Kita ni nak berdakwah tak boleh cepat sangat nak hasilnya Yassin. Perlahan-lahan la."

"Masalahnya Man, aku dah bayak kali cakap dengan dia. Kejut dia waktu solat. Tegur dia bila dia tak solat, tapi kadang-kadang aku pulak rasa macam orang bodoh. Kadang-kadang dia buat bodoh je bila aku cakap, macam aku cakap seorang diri."

"Haha..itulah namanya dakwah bro..kau ingat semua orang percaya ke bila Nabi Muhammad s.a.w mula-mula nak berdakwah dulu. Bukan setakat buat bodoh, dihina lagi adalah."

"Kau cakap senang la. Aku ni yang rasa berdosa setiap kali dia tak solat kau tahu? Duduk sebilik, belajar agama, tapi roommate tak solat pun tak boleh nak nasihat..heh!" Yassin mula merungut.

"Relax la..hidayah bukan di tangan kita. Tugas kita berusaha. Usaha, usaha dan usaha. Jangan berhenti berusaha."

"Ye la Man. Tengok la setakat mana aku boleh sabar lagi." Yassin menamatkan perbualan mereka malam itu dengan penuh perasaan tidak puas hati. Dia benar-benar tidak berpuas hati selagi dia tidak melihat Dani bersolat dengan sempurna.

**********

Angin malam itu sepoi-sepoi bahasa, mengiringi rintik-rintik langit yang menangis membasahi bumi.

Yassin masih di atas sejadah solatnya, dia berzikir sebentar selepas selesai menunaikan solat fardhu maghrib tadi. Alunan tasbih, tahmid dan takbir mengulit ruang dalam biliknya itu. Dani masih belum pulang sejak keluar ke kuliah petang tadi.

Selesai sahaja berzikir dan berdoa, Yassin mencapai al-Quran yang berada di rak buku di atas meja belajar. Dia membuka dan membelek-belek mencari surah ar-Rahman untuk dibaca. Yassin memang suka membaca surah itu kerana menyedarkannya tentang nikmat Allah yang terlalu banyak untuk disyukuri manusia.

Sedang dia ralik membaca al-Quran, Dani masuk ke dalam bilik. 

Dani melihat Yassin yang sedang membaca al-Quran hanya dengan sekali imbas dan tergesa-gesa memakai tuala untuk pergi mandi. Yassin menyedari kehadiran Dani namun dia tidak menghiraukannya dan meneruskan bacaan al-Quran.

Selang beberapa minit kemudian, Dani masuk kedalam bilik dengan sedikit kesejukan selepas mandi bercampur pula dengan hujan yang lebat di luar bilik. Dia terus bersiap-siap menukar pakaian dan langsung tidak mempedulikan Yassin yang masih lagi sedang membaca al-Quran.

Dani bersiap-siap memakai pakaian dan berwangi-wangian seakan ingin keluar semula. Yassin mengerling dengan ekor matanya.

Selepas bersiap Dani terus mengambil kunci keretanya dan meluru hendak keluar dari bilik.

Tiba-tiba, Yassin bersuara.

"Dani!"

Dani yang baru hendak membuka pintu terkejut dan berpaling ke arah Yassin.

"SodaqAllahul a'ziim.." Yassin menghabiskan bacaannya dan meletakkan al-Quran secara berhati-hati kembali ke tempat asalnya lalu dia bangun menghampiri Dani yang masih lagi terpaku di muka pintu memandang ke arah Yassin.

"Ko dah sembahyang belum?" tiba-tiba Yassin menyoal.

"Err..sembahyang?"

"Ye..sembahyang maghrib..sudah ke belum?"

"Aku..aku.."

"Asar tadi, zohor, subuh..semalam, kelmarin, mingggu lepas.." Yassin mula mengasak.

Dani tergagap-gagap.

"Kau tau tak? Aku tak pernah nampak kau sembahyang..kau ni Islam ke tak?"

Air muka Dani mula berubah.

"Aku hari-hari kejut kau sembahyang subuh. Kenapa kau tak bangun? Tak rasa diri tu bertuhan ke?"

Telinga Dani mula terasa panas. Serta merta dia berpaling mahu pergi dari situ. Baru dia mahu mula melangkah, tiba-tiba bahunya ditarik Yassin.

"Aku tengah cakap dengan kau ni..nak pergi mana? Syaitan dalam badan kau dah panas ke?" Yassin semakin pedas kata-katanya. Seakan hilang pertimbangan sebagai da'i penyampai dakwah dan bukan pemberi hidayah.

Dani menepis deras tangan Yassin. Amarahnya memuncak. Kemudian dia menolak Yassin dengan keras ke hadapan sehingga menyebabkan Yassin terjatuh.

"Kau jangan nak 'kerek' sangat! Kau tu dah confirm ahli syurga ke?!" Dani menempik.

Dani menghempas pintu bilik sekuat hati sebaik melangkah keluar. Yassin masih lagi terkedu.

Kira-kira jam 12 malam barulah Dani pulang kembali ke biliknya. Dilihatnya Yassin masih belum tidur, disebelah Yassin ada Salman yang sedang duduk membisu memerhatikan Dani.

Dani melangkah masuk ke dalam bilik dan duduk di atas katilnya secara perlahan. Dia memandang Yassin dan Salman. Mereka bertiga berpandangan dalam sunyi untuk beberapa ketika sebelum Yassin mula bersuara.

"Bro..aku minta maaf dengan kau. Memang aku melampau tadi..aku tak sepatutnya cakap sampai tahap macam tu dengan kau," Yassin memulakan bicara.

Salaman masih lagi diam membisu.

"Tak apa la bro..aku pun baran juga tadi.." Dani bersuara.

Yassin memandang Salman. Salman memberi sedikit anggukan kecil kepada Yassin.

"Bro..tapi apa yang aku cakap pasal solat tu.."

"Tak apa..tak apa.." Dani memotong percakapan Yassin.

"Aku tau memang aku salah sebab tak solat.." Dani terhenti seketika percakapannya, kemudian dia menyambung.

"Sebenarnya aku tak pandai solat.."

Yassin dan Salman tersentak. Mereka tak menyangka masih ada anak-anak muslim yang langsung tidak pandai bersolat dalam dunia tanpa sempadan hari ini.

"Aku malu dengan kau sebenarnya. Sejak dari kecil mak dan ayah aku tak pernah ajar aku solat, mereka berdua pun aku tak pernah nampak mereka bersolat. Mak dan ayah aku hantar aku tuisyen sana sini, sekolah internasional dan buat macam-macam sebab nak pastikan aku tak tercicir dalam pelajaran. Tapi, mereka mungkin lupa, mendidik aku dengan agama."

"Memang ada aku cuba-cuba belajar sendiri melalui internet, tapi aku segan nak solat depan kau. Aku takut salah, malu dengan kau. Rakaat pun aku tak berapa ingat lagi."

"Sebenarnya masa kau tak ada dalam bilik, kadang-kadang ada juga aku cuba-cuba untuk solat sendiri. Sambil-sambil tengok buku sebab aku tak berapa ingat lagi bacaan. Aku malu dengan kau Yassin."

Yassin terdiam mendengar pengakuan Dani itu. Dia mula rasa menyesal dengan perlakuannya tadi. Sangat menyesal.

"Tak apa bro.." Salman besuara.

"Kau jangan malu, aku dengan Yassin akan tolong kau, insya-Allah,"

"Betul ke? Terima kasih banyak-banyak..tapi ada satu perkara lagi aku nak mintak.."

"Apa tu? Insya-Allah aku cuba bantu semampu aku,"

"Tolong rahsiakan perkara ni. Aku malu sebab jahil agama, aku malu dengan kawan-kawan aku,"

Salman tersenyum.

"Don't worry bro..bisa diatur..hehe," Salman cuba berjenaka.

Dani dan Yassin tersenyum dengan gelagat Salman.

"Sudah la..yang sudah biarkan pergi..sekarang kita ada misi.." Salman menyambung bicara.

"Misi?" serentak Yassin dan Dani bersuara.

"Yup!" dengan muka yang penuh yakin Salman menjawab kembali.

"Misi apa?" Dani menyoal.

"Misi ni kena senyap-senyap..tak boleh orang lain tahu.."

"Pulak dah..apa benda pulak tiba-tiba ni..?" dahi Dani berkerut sedikit.

Tiba-tiba, Yassin tersenyum. Dan sejurus kemudian tergelak seolah-olah baru memahami apa yang cuba disampaikan Salman tadi.

Dani semakin berkerut dahinya.

"Aduh..tadi suruh kitorang ajar solat..tu la misinya..kau kan tak nak kecoh-kecoh.." Salman meleraikan kekusutan Dani.

"Cis! Loading pulak aku hari ni.."

Ketiga-tiga mereka ketawa serentak mendengarkan istilah permainan video yang digunakan oleh Dani keatas dirinya sendiri. Sesungguhnya, nikmat ukhwah itu indah bila bersulamkan keredhaan-Nya.

Sedang mereka bergelak ketawa itu Yassin terdetik didalam hatinya.

"Malunya aku dengan Dani, mengherdik membabi buta tanpa usul periksa. Patutnya aku cuba memahami dahulu latar belakang masalah dia. Ini tidak, aku main serkap jarang je. Tapi tak apa, aku akan tebus kesalahan aku dengan ajar dia solat dan ilmu-ilmu Islam dengan bersungguh-sungguh lepas ni. Ini peluang Allah bagi dekat aku..insya-Allah!"

Yassin merenung Dani.

Melihat kepada riak keikhlasan di wajah Dani, Yassin makin bersemangat. Peristiwa itu adalah 'tunjuk ajar' dari Allah untuknya. Sungguh, pengalaman mematangkan fikiran!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...