free counters

10 Februari 2014

Abah

[Gambar Google]

Dia penunjuk jalanmu
Satu ketika dulu
Kini jalan itu
yang disanggahmu.

Keringat dia itu
Merembes untukmu
Tak dikira
Selagi dia mampu.

Sembang tidak mahu lagi kau luangkan
Masa tidak mahu lagi kau sediakan
Senyuman jarang lagi kau pamerkan
Kau biarkan dia sendirian.

Mahu makan semeja
Mahu berbual mesra
Mahu duduk bersama
Mahu masa berharga
Sementara dia ada
Tapi kau kecewakannya.

Dia tak menangis walau hatinya terguris
Kerna dia kuat
Sekuat waktu membesarkanmu
Bagaimana dia menyimpan jerih perit itu
Hingga kini kau dewasa
Tanpa perlu kau tahu.

Mengapa mudah kita
Meminggirkan dia
Sedang sebahagian dari hidupnya
Dihamparkan untuk kita
Putih-putih ubannya untuk kita
Kasar tapak tangannya demi kita.

Maafkan celoteh orang tua itu yang kadang tak kita bersetuju
Maafkan perangai orang tua itu yang kadang kita rimas
Maafkan orang tua itu yang kadang mengganggu perancangan kita
Maafkan orang tua yang mahukan perhatian itu
Maafkan segalanya tentang dia
Dia hanya mahu bersama anaknya
Seperti saat celotehmu jadi ubat jiwanya
Sebelum dia kembali kepada tuhannya
Dalam kerapuhan tulang tua.

Hiburkan abahmu
Moga kelak tiada sesal bertamu
Tika jasadnya membujur kaku
Diruang tamu yang bernuansa syahdu
Moga kita tak terkedu
Bila tiba waktu itu.

Aku sayang abah
Maaf kalau ku tak mampu
Memulangkan kasih sepertimu.

Duhai Allah, rahmatilah abah-abah kami.


-fikirsekejap-
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...