free counters

23 Julai 2015

Tidurlah Lena

Lenalah kawanku
Tidurlah dalam angin yang kian membusuk
Tepuklah bantalmu yang kian berhabuk
Rasakan tenangnya bunyi-bunyi enjin itu.

Lenalah kawanku
Di bawah pohon yang tidak berdaun
Di tepi sungai yang semakin keruh
Di bawah langit yang kian mencengkam.

Lenalah kawanku
Usah dipeduli orang-orang itu
Sibuk dengan rumpun yang hijau
Pedulikan jiwa-jiwa alam itu.

Lenalah terus kawanku
Satu hari kau akan bangun
Bila bumi ini sudah diam
Tanpa bunyi unggas
Tanpa jernih sungai
Tanpa biru langit
dan tanpa angin lembut.

Ingat, jangan bising waktu itu
Kerana orang lain pula mahu tidur
Mengganti penat waktu kau lena.

Tak mengapa kawan,
tidurlah dahulu.

16 Jun 2015

Tenung Renung Menung

Kosong
Aku cuma bermenung
Sesekali tersengguk-sengguk
Di ruangan berpenghuni ini

Sunyi
Di benak fikirku
Kiri kanan nada berlagu
Aku juga yang masih termangu

Sesekali aku terbang
tinggi dan makin tinggi
jauh dan makin jauh
Menuju puncak yang aku tak pasti

Aku melayang jauh
Lembut angin menolak aku
terjatuh dengan lembut
Bagai mimpi indah mengulit pagi
Seakan aku diruang infiniti.

Aku harap begitu,
tapi hakikatnya
aku masih di sini.

Kosong.

23 Mac 2015

Bisik Nafsi

Aku masih mencari
Mana letaknya erti

Ku laungkan sendiri
Yang bergema cuma sepi

Aku cuba untuk berdiri
Dalam kudrat yang diberi

Melata aku sendiri
Di awangan aku berlari

Aku pintal buih mimpi
Agar kekar menjadi realiti

Ku rempuh ilusi
Ku pasakkan impi

Cuma,
Aku belum pasti.

-fikirsekejap-

14 Mac 2015

Hamba Siapa?

Celik.

Bangun.

Dengar.

Buat.

Taat.

Diam.

Tidur.

Sekadar inikah maknanya hidup?

Tidak, kot.

Sekurangnya bagi aku.

Hanya Allah dan Rasul yang tak mampu ku bantah.

Yang lain?

Entah.
.
.
.
Sudah-sudahlah.

12 Januari 2015

Antara Dua Hati.

Lepas maghrib tadi ada kuliah maghrib kat masjid tempat aku. Habis kuliah ustaz tu pun baca doa dan diaminkan oleh para hadirin.

Lain macam ustaz yang tazkirah malam ni, dia punya doa panjang betul. Tapi nasib baik dia baca bahasa melayu. So aku dapat faham la apa yang di doakan.

Mula-mula aku cuba hayati doa yang ustaz tu baca. Maklumlah bahasa melayu. Lama-lama, terdetik pulak dalam hati aku, "panjang betul doa ustaz ni."

Tapi aku aminkan jugak la walaupun fokus aku agak lari bila makin panjang ni.

Ustaz tu berdoa macam-macam. Antara yang aku dapat ingat, akhir-akhir doa dia ada mintak dijauhkan dari azab neraka untuk semua hadirin yang ada.

Tiba-tiba aku dengar bunyi teresak-esak kat belakang aku. Bila aku toleh, aku nampak seorang budak, maybe dalam darjah 4 ke darjah 6 kalau ikut pandangan aku.

Budak tu tadi masa kuliah maghrib dia terpusing-pusing seorang diri dalam masjid. Tapi bila imam baca doa, dia teresak-esak menangis. Betul ni, dia bukan nangis sikit-sikit tapi teresak-esak.

Nak kata dia bergaduh, aku rasa tak. Sebab dari tadi dia sorang-sorang je.

Lembutnya hati budak tu. Aku start perasan dia menangis masa imam mintak dijauhkan dari azab neraka yang amat menyiksakan.

Abang doakan kau jadi anak yang baik dik. Semoga kau jadi anak yang soleh untuk kedua ibu bapa kau dunia dan akhirat.

Beza betul aku dengan budak tu. Aku mula hilang fokus bila ustaz baca doa panjang-panjang tapi budak tu tersentuh hati sampai teresak-esak bila berdoa.

Siapa yang matang sebenarnya ni?

11 Januari 2015

Merenung malam

Tegak
Entah kemana
Mataku memaku.

Jujurnya tiada apa
Cuma melayan hati yang meliar
Berkeliaran
Entah mencari apa
Aku sendiri keliru.

Aku sesat dalam peta
Yang dipagarkan untukku
Dan kita
Oleh manusia-manusia
Cerdik pandai,
Katanya.

Meluruskan akukah
Atau membantutkan akukah
Aku keliru.

Aku masih disini
Apa ku memburu mimpi?
Atau ku membina impi?
Atau hanya terperuk disini
Tika yang lain sudah mampu menggapai fantasi
Tuk dipeluk erat menjadi realiti.

Kiri kanan riuh
Tapi kosong tak terisi
Atau
Apa cuma aku yang berilusi?

Masihku mencari
Makna diri belum kutemui
Sepi bukan tidak berteman
Sunyi bukan keseorangan
Masih mencari yang hakiki.

Tuhan,
Temukanku ketenangan
Untuk kubuat bekal perjalanan
Merentasi alam-Mu ini,

dengan lebih rasa hamba.

4.00 a.m.
[Catatan pagi-pagi buta]

-fikirsekejap-

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...