free counters

14 November 2011

Emak & Abah


Ayah dan ibu, abah dan emak atau papa dan mama adalah antara nama panggilan yang selalu digunakan untuk kedua orang tua kita. Walau apa sekalipun nama yang digunakan tapi pengorbanan dua insan yang bergelar ibu dan bapa ini terlalu besar untuk diri kita.

Mungkin kita pernah dimarah oleh ibu kita sewaktu kita kecil dahulu. Mungkin juga kita pernah dirotan atau dipukul sewaktu kecil dahulu tapi ketahuilah bahawa marahnya mereka itu kerana sayang dan rotan yang dihayun itu juga kerana sayang. Sedarkah kita, alangkah beratnya hati seorang ibu untuk memarahi dan merotan seorang anak yang dilahir dan dibesarkannya?

Ayah. Seorang insan yang kita lihat sering tegas dengan anak-anak. Mencari nafkah untuk keluarga dan melindungi keluarga merupakan tugasan harian yang dilakukan tanpa jemu dan malas oleh sosok itu. Sedarkah kita, tangisan yang berlaku di dalam hati seorang insan yang kita lihat gagah itu? Tangisan yang tak berair mata..

Sering seorang anak itu merasa dikongkong oleh ibu dan bapa apabila mereka meningkat dewasa. Itulah lumrah yang sering berlaku. Sedang hakikatnya ialah tentang hati ibu dan bapa yang sentiasa risau dan mahukan yang terbaik untuk anak mereka dan risau itu pastinya datang dari rasa sayang yang tak pernah dipaksa atau dibuat-buat.

Itulah ibu dan bapa..dua insan yang tak pernah puas mencurahkan kasih dan sayang kepada insan lain yang bergelar anak. Memerah segala keringat yang ada demi anak-anak. Mendidik dan mengasuh kita sehingga dewasa. Layakkah kita sebagai anak untuk melupakan mereka?

Siapa kita pada hari ini tanpa pengorbanan mereka?

Saya menyeru kepada anda semua supaya janganlah mengabaikan ibu dan bapa anda. Saya ulang sekali lagi..jangan abaikan ibu dan bapa anda! Hargailah mereka selagi mereka masih berada bersama kita. Berdoalah sentiasa untuk kedua orang tua kita. Berbaktilah kepada mereka selagi termampu.

Walau bagaimana sekalipun ibu dan bapa kita itu, ingatlah bahawa insan itulah yang sentiasa berkorban untuk kita, tangan merekalah yang pernah menyuapkan makanan untuk kita, mata merekalah yang pernah tak tidur malam kerana kita, air mata merekalah yang pernah mengalir untuk kita, mulut merekalah yang tak pernah putus mendoakan kita dan hati merekalah yang sentiasa risau dan sayangkan kita.

Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: "Wahai tuhanku, kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah mendidik aku di waktu kecil." (Surah al-Isra', ayat 24)

Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa kedua ibu dan bapaku serta berkatilah kehidupan mereka di dunia dan akhirat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...