free counters

16 Disember 2011

M.T.D.U.B


MTDUB adalah satu nama yang banyak peranannya dalam kehidupanku. Hampir 4 tahun sudah berlalu semenjak meninggalkan sekolah itu.

Boleh dikatakan di situlah tempat belajar mengenal kehidupan olehku. Terlalu banyak yang dapat dipelajari dalam masa 5 tahun diberi peluang oleh Allah untuk berada di bumi itu. Suka, duka, sedih, ketawa, persahabatan, bagaimana berdepan bermasyarakat dan macam-macam lagi.

Namun semua tu tak disedari ketika berada di situ. Sama seperti remaja-remaja seusia yang lain ketika itu, perasaan tak sabar untuk tamat bersekolah bermain-main dalam fikiran. Ketika itu hati meronta-ronta mahukan kebebasan yang kononnya boleh dicapai di luar sekolah. Bebas dari undang-undang sekolah dan bebas dari kongkongan guru. Kononnya dunia di luar pagar sekolah itu amatlah menyeronokkan.

Masih lekat dalam fikiran bagaimana hari pertama dihantar mendaftar ke sekolah itu dan merangkap hari pertama tinggal di asrama. Walaupun hati merasa berat untuk tinggal di asrama tetapi ketentuan Allah telah menetapkan hambanya ini di bumi itu selama 5 tahun. Satu perjalanan yang amat panjang dan bermakna dalam hidup.

Semua yang berlaku pasti ada hikmahnya dari Allah. Persahabatan dengan sahabat-sahabat di MTDUB adalah sangat manis untuk dikenang. Memori bersama mereka adalah detik-detik yang tak ingin dilupakan. Walaupun masing-masing dah membawa haluan sendiri tapi masih cuba untuk berhubung supaya ukhwah yang ada itu tak akan putus, insyaAllah.

Bila diperhatikan ramai adik-adik pelapis di MTDUB mengalami apa yang pernah berlaku dahulu. Rasa terkongkong dan ingin bebas dari belenggu undang-undang sekolah. Nasihat ikhlas dari diri ini, hargailah masa-masa anda di sekolah kerana itu adalah memori anda di masa depan. Jangan sangkakan kebebasan dari sekolah adalah menyeronokkan kerana 'dunia di luar pagar sekolah' adalah lebih mencabar dan menuntut lebih kesabaran.

Manusia memandang sekolah dari sudut yang berbeza-beza. Bagiku MTDUB betul-betul mengajarku kehidupan. Kenangan dan pengalaman yang diperolehi adalah bekalan dalam menghadapi kehidupan.

Diri ini masih banyak rasa terhutang budi terhadap guru-guru di MTDUB yang tak jemu menegur dan membimbing ketika di sana. InsyaAllah, ganjaran dariNya menanti kalian di atas kesabaran mendidik kami. Terima kasih di atas didikan dan kesabaran kalian.

Walaupun pembaharuan demi pembaharuan dilakukan, harapanku semoga MTDUB terus sukses dalam mendidik dan membentuk modal insan yang berkualiti untuk agama Islam. Buat para guru-guru di sana, bersabarlah dengan kerenah anak-anak muridmu kerana penat lelahmu akan dihargai apabila mereka mula mengerti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...