free counters

29 Januari 2013

Cerpen: Dosa


"Cepat la mak..member along dah tunggu kat luar tu.."

"Ye long..sabar la, mak nak kira dulu ni.."

"Alah..nak kira apa lagi? Bagi je la apa yang ada.."

"Sabar la Long.."

Zakiah masih terkial-kial mengira duit yang ada di tangannya, tidaklah banyak namun sudah cukup membuatkan Zakiah teragak-agak untuk memberikan kepada satu-satunya anak Zakiah, Razak atau lebih dikenali sebagai Ajak dikalangan penduduk setempat. Setiap helaian kertas itu mempunyai nilainya bagi Zakiah.

"Alah..." Ajak mula bosan menunggu.

"Cepatlah ibu.." Ajak semakin hilang sabar. Dia bermundar-mandir di dalam bilik kecil dan sempit yang hanya diterangi sebiji mentol malap itu. Sesekali dia mengintai ke luar bilik seakan-akan risau dengan sesuatu, dia betul-betul tidak keruan.

"Ahh!" dengan tidak semena-mena Ajak merampas gumpalan wang di tangan ibunya, diambil beberapa helaian, mencampakkan kembali bakinya kepada ibunya dan terus berlalu keluar dari bilik itu.

Ibu Ajak hanya mampu terpinga-pinga melihat tindak-tanduk anaknya itu yang semakin tak terkawal kebelakangan ini, lalu dia bangun untuk mengutip helaian-helaian kertas yang dicampakkan Ajak sebentar tadi. Walaupun hatinya pedih dan hiba namun rasa kasih dan sayang kepada anak tunggalnya itu tidak langsung tergugat. Itulah kasih ibu yang sungguh berharga.

Ajak sedikit berlari-lari anak di koridor rumah flat usang di pinggir jantung kota itu, seakan-akan ingin lari dari sesuatu dan tidak mahu terserempak dengannya.

Tiba-tiba langkah Ajak terhenti, sosok seorang lelaki separuh abad berkepala botak dan berjanggut nipis yang menampakkan sedikit uban itu mematikan langkah Ajak di hadapan tangga. Dia seakan terpaku seketika, begitu juga dengan lelaki separuh abad itu. Masing-masing saling berpandangan namun pandangan lelaki itu nyata lebih tajam ke arah Ajak.

Tanpa membuang masa, Ajak terus berlari menuruni tangga seakan-akan tidak peduli akan kehadiran lelaki itu di situ. Sedikit pergeseran bahu ke bahu di antara mereka seakan langsung tidak berlaku kerana Ajak terus laju menuruni anak tangga satu-persatu dengan langkah yang laju manakala si lelaki itu hanya mengekori pergerakan Ajak dengan anak matanya sahaja.

"Ingat lagi kau dengan rumah sendiri rupanya!" jerit lelaki itu setelah Ajak agak jauh meninggalkannya. Ajak tidak mempedulikan lelaki itu dan terus menuju ke tingkat bawah sekali untuk bertemu dengan rakannya, Azri yang sudah lama menunggu di atas motosikal Honda Ex-5 sejak dari tadi.

"Apa hal bapak kau tu?" tanya Azri kepada Ajak kerana dia mendengar suara bapa Ajak yang menjerit dari tingkat atas tadi.

"Ah..lantaklah dia," balas Ajak endah tak endah, lalu mereka berdua pun terus meninggalkan flat usang itu dengan menaiki motosikal Ex-5 Azri yang mengeluarkan bunyi yang sangat bingit.

Pam!!!

Pintu rumah berdentum ditolak dengan kuat oleh Zali, bapa Ajak. Dia terus bergegas menuju ke bilik utama rumah itu dengan muka yang bengis dan kemerah-merahan menahan marah.

Sebaik sahaja melihat ibu Ajak yang sedang melipat baju di atas katil dia terus meluru kearah wanita itu dan menarik rambutnya dengan kasar. Ibu Ajak tidak mampu melawan, dia hanya mampu mengalirkan air mata sambil menahan sakit.

"Kau bagi duit dekat budak tu ke?!!" sergah Zali dengan kasar.

Tangan Zakiah terketar-ketar ketakutan. Dia tidak berani menjawab kerana dia tahu akibat yang lebih buruk menantinya di tangan jantan yang tak berguna itu.

"Jawab!!!" herdik Zali lagi.

"Ye..ye..bang.." jawab Zakiah terketar-ketar sambil tangannya memegang tangan Zali yang masih belum melepaskannya dari rambut Zakiah lagi.

"Tak faham bahasa!" Zali menolak Zakiah dengan kasar ke arah satu sudut dinding bilik, kemudian dia membuka tali pinggangnya sambil matanya menggambarkan amarah yang sangat tinggi. Dia sudah semakin hilang kawalan.

Piapp! Piapp! Piapp!

Bunyi libasan tali pinggang memenuhi ruang di dalam bilik itu seperti malam-malam yang lain. Zakiah sudah tidak mampu menangis dan menjerit, dia sudah sering menjadi mangsa kerakusan suaminya yang mempunyai sifat kebinatangan itu.

Hati kecilnya hanya mampu menjerit tanpa suara dan menangis tanpa air mata, dia merintih dan merayu dalam sendu yang penuh mengisi ruang kalbu.

**********

Malam ini langit kota menangis lagi, titis-titis air jernih membasahi lantai bumi yang semakin tandus kemanusiaannya. Warga kota masih riuh dengan urusan masing-masing, seakan semuanya mempunyai dunia masing-masing dan tidak berkongsi satu alam yang sama. Kota metropolitan yang kian membangun itu semakin rancak urusannya apabila malam semakin kelam.

Tetapi, di sebuah bangunan separa siap yang terpasak di jantung kota ini menjadi saksi akan keinsanan yang semakin mengontang. Di sebalik batu-bata dan papan-papan yang menjadi bahan binaan, Ajak dan Azri terperuk mencari sisi yang kononnya indah untuk dihayati.

Bertemankan botol-botol arak yang bergelimpangan, mereka tegar menjadi penghuni tapak pembinaan ini.

Azri memandang ke arah Ajak yang sedang menogok sebotol arak lalu berkata, " Kau memang tak kesian kat mak bapak kau ke Jak?".

Ajak membisu sambil merenung ke arah botol arak yang berada di genggamannya. Kemudian dia mula bersuara, "Sebab tu la aku cuba tak nak terserempak dengan bapak aku. Kalau dia tahu mak aku bagi duit kat aku, mesti teruk kena pukul punyalah".

"Tapi tadi kan bapak kau nampak kan?"

"Itu lah yang aku risau ni..apa lah jadi kat mak aku malam ni.." Ajak bersuara sayu sambil menggoyang-goyangkan botol arak yang sudah kosong di tangannya.

"Apalah nasib kitorang ada ketua keluarga macam tu.." perlahan Ajak mengomel sambil matanya menampakkan dendam yang tersimpan.

Tiba-tiba, "bapak aku tu memang sial!"Ajak menjerit lalu membaling botol kaca yang berada di tangannya ke dinding di hadapannya. Botol itu hancur berkecai, bersepah di hadapan Ajak.

Kepala Ajak tertunduk ke lantai, sambil badannya terhinggut-hinggut perlahan. Perlahan-lahan Azri merapati Ajak yang masih dengan posisi begitu.

"Bro.." Azri meletakkan tangannya di atas belakang badan Ajak. Dia melihat titis-titis air menitik ke atas lantai yang kotor itu.

"Aku tak mintak nak jadi macam ni..aku nak hidup macam keluarga normal yang lain..tapi lelaki tu..." kata-kata Ajak terhenti menahan kesedihan yang menghimpit dada.

"Dari kecik aku tengok dia pukul mak aku...balik tengah malam..mabuk..nak hantar aku pergi sekolah? nak ajar aku agama? jangan harap.." dia meneruskan kata-kata dalam sendu yang jujur dari hati.

"Kalau ikutkan hati aku dah lama aku bertumbuk dengan dia tapi aku masih sedar yang dia tu bapak aku.."

Azri terdiam. Kemudian dia berkata perlahan, "Kau masih untung ada mak dengan ayah".

"Aku? Ayah mati hisap dadah..mak dalam penjara. Siapa yang nak tunjuk ajar aku? Masyarakat pandang sebelah mata pun tak nak bro.."

"Tak tau lah..aku pun kadang-kadang bosan dengan hidup aku...tapi aku tahu bro, kita masih ada Allah.." kata Azri. Azri sebenarnya masih dalam proses pemulihan diri sejak keluar dari pusat pemulihan akhlak. Di sanalah dia belajar mengenal Allah dan Rasul, mengenal ilmu agama dan mengenal diri sendiri.

Setelah dia keluar dari pusat pemulihan itu dia masih lagi bersahabat dengan Ajak walaupun rakannya itu masih lagi lalai dalam dunianya, baginya dia mahu Ajak bersama-sama dengannya menuju ke jalan yang benar. Namun jalan itu tak semudah yang disangka, dia menggunakan cara yang lembut dan perlahan untuk menarik sahabat lamanya itu, ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus tepung tak berselerak.

"Allah sentiasa ada bro..Dia tak pernah tinggalkan kita. Cuma kita yang lalai.." Azri menyambung kata-kata.

Ajak mengangkat mukanya memandang Azri. "Tapi dosa aku banyak bro..banyak sangat.." Ajak berkata dalam sebak.

"Bro..." Azri duduk di sebelah Ajak. "Allah tu Maha Pengampun...Dia sedia mengampunkan hamba-hambaNya asalkan hambaNya betul-betul ikhlas nak bertaubat," dia menyambung bicara.

"Bila kita sentiasa ingat Allah, percayalah hati akan tenang, masalah bukan lagi satu beban yang berat kerana kita ada Allah untuk mengadu," Azri berbicara perlahan kepada Ajak. Dia meletakkan harapan yang tinggi agar Allah membukakan pintu hati sahabatnya itu pada malam ini.

Ajak menangis tersesak-esak lalu memeluk Azri sahabat baiknya itu. Beberapa saat kemudian dia melepaskan pelukannya.

"Bro..ajar aku solat".

"Insya-Allah..bila-bila je yang kau nak.." Azri tersenyum lebar. Senyum kegembiraan dan kepuasan melihat rakannya itu semakin menuju ke arah yang benar.

Ajak hanya membalas dengan senyum tawar kerana hatinya masih lagi sedih, tapi dia tahu rakannya itu memang sahabat yang sebenar. Sahabat yang akan bersama-sama semasa susah dan senang.

"Bro..jom hantar aku balik tengok mak aku..aku risau la.." kata Ajak sambil mengesat sisa-sisa air mata di pipinya.

Mereka pun bergerak menuju ke arah motosikal.

**********

Sesampainya mereka di kawasan flat, mereka terus melangkah menaiki anak-anak tangga menuju ke tingkat dua bangunan untuk terus menuju ke rumah Ajak. 

Ajak membuka pintu rumah yang tidak berkunci. Sunyi. Seperti tiada sesiapa yang berada di dalam rumah itu.

Tiba-tiba mereka terdengar sayup bunyi tersesak-esak dari arah bilik. Mereka berpandangan, lalu Ajak dengan pantas membuka pintu bilik.

"Mak!!!" Ajak menjerit terkejut.

Kelihatan ayah Ajak sedang menangis tersesak-esak di sebelah ibu Ajak yang sudah kaku tidak bernyawa. Kepala ibunya berdarah sehingga membasahi sebahagian ruang lantai bilik itu.

Ajak berlari mendapatkan ibunya yang sudah tidak bernyawa, dia memangku kepala ibunya dia atas ribaannya. Ajak menangis teresak-esak, "Mak bangun mak..bangun Mak.." Ajak menggoyang-goyangkan kepala ibunya, namun dia sudah terlambat kerana ibunya sudah tidak bernafas lagi. Ajak berpaling ke arah ayahnya dan merenung dengan pandangan mata yang tajam.

"Aku tak sengaja...maafkan aku Kiah.." raung ayah Ajak sambil menghentak-hentakkan tangannya ke atas lantai.

"Aku sayangkan kau Kiah..maafkan aku.." dia meraung-raung sambil menangis teresak-esak.

"Tak guna!" Ajak bangun dan meluru ke arah ayahnya namun sempat ditahan oleh Azri yang berada di situ.

"Sabar Ajak..kita serah kat polis je.." Azri menenangkan Ajak yang hilang pertimbangan.

Jiran-jiran mula memenuhi diruang hadapan balkoni rumah itu, ada yang mengintai menerusi tingkap dan ada juga yang masuk ke dalam rumah untuk melihat sendiri apa yang berlaku setelah mereka mendengar bunyi bising dari rumah itu.

Seketika kemudian sepasukan Polis sampai.

**********

Seusai solat isyak di Surau al-Muttaqin, jemaah berduyun-duyun keluar untuk meneruskan aktiviti masing-masing. Kelihatan Azri dan Ajak berada di celah-celah jemaah itu.

"Kau tak pergi lawat bapak kau kat penjara ke?"

"Baru minggu lepas aku pergi. Alhamdulillah sihat nampak dia"

"Kau tu tak pergi tengok mak kau?"

"Tak payah"

"Tak payah?"

"Hehehe..minggu depan dia dah bebas.."

"Wah...seronok la.."

Azri mengangguk gembira.

"Jom aku belanja minum malam ni.." kata Ajak sambil tangannya memaut bahu Azri yang sedikit rendah darinya.

"Cantik.." balas Azri sambil mereka berjalan beriringan menuju ke arah gerai yang terletak berhadapan dengan surau.

"Azri...bila aku fikir-fikir balik kan..bagus jugak kau masuk pusat pemulihan tu..dengan cara tu Allah bagi kau dengan aku jalan untuk berubah.."

"Allah tak akan buat sesuatu perkara untuk sia-sia bro.."

"Alhamdulillah...terima kasih ya Allah" bisik Ajak di dalam hatinya penuh kesyukuran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...