free counters

01 Januari 2013

Cerpen: Malam Yang Semakin Kelam


Aril masih termangu-mangu di celah-celah manusia yang berhimpit. Mereka berpusu-pusu di disitu, entah apa tujuannya.

Walaupun manusia ramai tetapi dia merasa seakan keseorangan. Mungkin kerana jiwanya yang berbeza dengan mereka, atau mungkin sahaja kerana tujuan Aril dan manusia-manusia yang lain di situ tidak sama. Mereka berada di destinasi yang sama tetapi dalam sudut pandang dan dunia yang berbeza.

Sengaja Aril melangkahkan kakinya ke situ di malam tahun baru Masihi ini.

Kelihatan seorang pemuda yang tegap dan segak, sebangsa dan seagama dengan Aril pada kiraannya berdasarkan lenggok gaya percakapan dan raut wajah pemuda itu. Tiba-tiba Aril terpaku, apakah yang sedang dipegangnya?

Botol kaca yang berisi air kekuningan. Arak?

"Tak mungkin arak," Aril cuba mendatangkan satu sangka baik dalam hatinya.

Tetapi sangka baik itu susah untuk diwujudkan apabila melihat tidak tanduk pemuda itu yang terhuyung-hayang dan bercakap-cakap seorang diri.

Kemudian ditambah pula dengan beberapa lagi pemuda yang sama perilakunya dengan pemuda tadi. Memegang botol kaca yang berisi air kekuningan dan berjalan terhuyung-hayang sambil mulut mengomel tanpa dapat difahami butir percakapan mereka.

Aril bungkam.

Bukankah mereka ke sini mahu menyambut tahun baru?

Kemudian Aril terlihat pula seorang wanita yang masih dalam usia 20-an pada perkiraan Aril. Wanita itu memakai pakaian yang sendat dan ketat sehingga menampakkan susuk tubuhnya yang menggiurkan. Dengan solekan yang tebal seperti artis terkenal, wanita itu duduk di atas bahu jalan sambil merokok dengan selamba.

Aril semakin keliru.

"Adakah dia sebangsa dan seagama denganku?" persoalan itu mula menujah akal fikirannya.

Berdasarkan apa yang dilihat dengan mata kasar Aril, dari segi pakaiannya memang bukan dari ajaran Islam.  Entahlah...Aril keliru!

Saban tahun, sambutan ambang tahun baru memang jadi kebiasaan bagi kebanyakan manusia. Ada yang menganjurkan konsert, cabutan bertuah dan berbagai-bagai lagi cara yang dilakukan pihak penganjur untuk menarik orang ramai supaya datang ke majlis yang dianjurkan mereka. Aril biasa mendengar semua itu, setiap tahun Aril mendengarnya,

Tahun ini, Aril bertekad untuk bersama-sama merasai kemeriahan sambutan tahun baru yang diwar-warkan itu. Sebab itulah Aril bertekad untuk datang ke sini pada malam ini. Aril pun mahu menyambut tahun baru.

Tapi Aril menjadi asing disitu. Aril menjadi asing kerana atmosfera yang berbeza dari dirinya. Konsert di atas pentas utama tidak lagi menjadi perhatian Aril. 

Aril mengalihkan pula perhatian kepada sepasang kekasih yang sedang berpelukan di hujung lautan manusia itu.

Mereka berpeluk-pelukan dan bercium-ciuman dengan penuh 'kasih sayang'.

Si Romeo merangkul erat pinggang si Juliet sambil menari-nari mngikut alunan muzik yang disediakan penganjur. Aril semakin keliru.

Betulkah disini majlis menyambut tahun baru? Atau aku sudah tersalah tempat?

Segera Aril teringatkan berita-berita tentang Gaza, Syria dan umat-umat Islam serata dunia yang sedang diuji dengan kesusahan yang sering dia dengar dan lihat di kaca televisyen. Serta-merta hatinya rasa seperti dirobek-robek, kesal dengan apa yang dilihatnya sekarang. "Sungguh, kita lalai dengan nikmat yang Allah berikan," desis hati kecil Aril.

Aril berjalan-jalan sedikit meninjau-ninjau lagi disekitar kawasan itu. Anak matanya terus galak memerhati gelagat para penyambut tahun baru.

"Kasihan," itulah yang ada dalam fikiran Aril. Ada di antara mereka yang masih bertaraf pelajar sekolah lagi, tetapi malam itu mereka hanyut dalam dunia khayalan ciptaan mereka sendiri yang kononnya indah. Mereka tenggelam dalam lautan keseronokan dunia yang sekilas ini.

Aril semakin tidak tenteram, dia mundar-mandir di sekitar kawasan itu. Sesekali dia melihat jam di tangannya yang masih belum menunjukkan pukul dua belas malam. Dia semakin tidak keruan berada dalam suasana yang kian menghimpitnya.

Dia mahu pulang, tetapi sebelum itu, sekurang-kurangnya dia mahu melihat percikan bunga api yang akan menghiasi dada langit apabila tepat jam dua belas malam nanti. Dia sudah berada di situ, pada perkiraannya rugi jika dia pulang tanpa sempat 'bertahun baru' di situ.

"Aduh...lima belas minit lagi pukul 12..." Aril mengeluh sendiri.

Dia mahu menunggu tetapi hatinya sudah mula membantah keberadaannya di situ.

Aril mula mengatur langkah untuk meninggalkan majlis itu. perlahan-lahan langkah di atur dengan berhati-hati sambil matanya tak lekang dari memerhatikan gelagat anak bangsanya. Perasaan sedih menjalar dalam ruang hatinya melihat semua itu.

Tiba-tiba... "Uwek!!!"

Aril mengelak. "Sori bro, mabuk," seorang anak muda berkata kepada Aril sambil menggosok-gosok belakang badan kawannya yang sedang muntah. Nyaris-nyaris muntah itu mahu mengenai kaki Aril ketika dia leka berfikir. Senyum tawar cuba diberikan kepada Aril, namun senyuman itu sebenarnya semakin meragut kegembiraan Aril malam itu.

Ya, dari lenggok bahasa dan raut wajahnya, mereka ini juga sebangsa dan seagama dengan Aril. Hilang sudah keterujaan Aril untuk menyambut tahun baru pada malam itu.

Boom! Boom! Boom!

Selang-seli mercun berdentum sambil mencorakkan warna-warna yang cantik di dada langit. Malangnya keterujaan Aril sudah hilang, dia memulakan tahun ini dengan kesedihan.

Sedih dengan saudara-saudara seagamanya yang dilalaikan dengan hiburan yang melampau.

Sedih dengan saudara-saudara seagamanya yang meneguk air haram yang memabukkan.

Sedih dengan saudara-saudara seagamanya yang seronok dengan pergaulan bebas tanpa batasannya, dan Aril sedih dengan saudara sebangsa dan seagamanya yang semakin hilang jati diri sebagai seorang Islam.

Aril merenung corak-corak bunga api yang terbentuk itu dari kejauhan. Sambil hatinya berbisik sayu, "Ya Allah, kurniakanlah hidayah Mu untuk kami. Sesungguhnya hidup dan mati kami hanya untuk Mu."

Aril berpaling dan terus melangkah pergi dengan hati yang pedih dan bertemankan malam yang kelam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...