free counters

24 April 2013

Cinta Rasul

[Gambar Google]

Waktu kelas hari ni aku panggil salah seorang dari anak murid aku ke depan kelas untuk ceritakan pengalaman dia yang baru balik mengerjakan umrah dengan keluarga dia.

Budak-budak, biasalah..bila suruh cakap depan orang tersipu-sipu sampai nak keluar suara pun susah. Padahal sebelum tu bukan main galak lagi.

Aku berpandangan yang mungkin dia tak tahu nak mulakan dari mana kisah dia. So, aku pun tolong la tanya-tanyakan soalan untuk dia mudah nak cerita.

Memandangkan aku dah pernah diberi peluang oleh Allah s.w.t untuk menjejakkan kaki ke bumi barakah tu sebelum ni, jadi aku pun nak juga dengar cerita terbaru dari budak tu. Mengimbau memori kata orang.

Maka bermula la soal jawab dari aku dengan budak tu untuk memudahkan dia menyusun cerita pengalaman dia tu. Banyak la yang keluar, fasal perang uhud dan sebagainya. Kemudian aku pun bukalah pula soalan tentang Masjid Nabawi, Raudhah dan makam Nabi Muhammad s.a.w.

"Bila awak ziarah makam nabi, apa yang awak cakap?"

Saja aku bagi soalan pancing nak bagi budak-budak yang lain tahu untuk pengetahuan mereka.

Anak murid aku pun menjawab, "Assalamualaika Ya Rasulallah".

"Haa..betul.." Aku pun berpusing sikit kepala menghadap kepada murid-murid yang lain.

"Bila kita berada di makam Nabi Muhammad kita kena beri salam kepada nabi, Assalamualaika ya Rasulallah"

Waktu aku sebut je perkataan 'Assalamualaika Ya Rasulallah' tu, tiba-tiba hati aku jadi sebak.

Spontan. Akal aku mengimbas memori berada di sana berhadapan dengan makam Nabi Muhammad s.a.w dalam keadaan sendu yang tak perlu dipaksa dan tak perlu dibuat-buat.

Mata aku bertukar merah dan air mata mula bertakung. Hati aku tiba-tiba menjadi sebak.

Tapi memandangkan aku berada di dalam kelas dan berhadapan dengan anak-anak murid aku. Aku cuba tahankan air mata aku dari mengalir dan teruskan juga cerita mengenai Rasulullah s.a.w dan pengalaman aku sendiri berziarah ke sana.

Susah untuk aku menyambung cerita dalam sendu yang cuba aku tahan.

Kedengaran juga soseh-soseh dari anak-anak murid aku mengenai mataku yang berkaca namun aku diamkan sahaja dan teruskan bercerita. Begitulah seterusnya soal jawab berlaku dan diselang-seli dengan penerangan dari aku untuk anak-anak muridku lebih faham sehinggalah rasa sebak itu perlahan-lahan hilang.

Biarlah, hari ini anak-anak muridku menjadi saksi airmataku bergenang kerana cinta kepada junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Semoga mereka satu hari nanti mereka akan mengerti tentang cinta dan rindu Rasulullah s.a.w kepada kita sebagai umatnya pula.

Kerinduan. 

Sesuatu yang tak boleh dipaksa dan ia akan hadir dalam diri si perindu. Aku bersyukur kerana dalam batang tubuhku yang bergelumang dosa ini Allah masih izinkan kerinduan pada kekasih-Nya untuk bertapak.

Bukan niat nak menunjuk. Aku cuma rasa mahu berkongsi di laman maya ini agar lebih ramai yang akan mengerti dan mencari kecintaan dan kerinduan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Insya-Allah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...