free counters

04 November 2011

Lupa


[Gambar Google]

Lupa...

Saya pasti semua manusia pernah terlupa..

Sebagai seorang pelajar sekolah, kita pernah terlupa untuk melakukan kerja rumah yang diberikan guru.

Sebagai seorang mahasiswa kita pernah terlupa menyiapkan assignment yang diberikan pensyarah.

Sebagai seorang pekerja kita pernah terlupa arahan yang diberikan majikan.

Bermacam-macam situasi lupa yang pernah kita lalui dalam kehidupan sebagai manusia. Lupa merupakan salah satu fitrah yang Allah s.w.t kurniakan kepada semua insan yang bernama manusia. Selagi mana kita bernama manusia pasti kita akan melalui satu proses yang bernama 'lupa'.

Kebiasaannya situasi 'terlupa' akan menyebabkan kita kerugian sesuatu atau merumitkan sesuatu keadaan. Jadi, 'lupa' selalu dipandang sebagai menyusahkan oleh kita. Sebenarnya 'lupa' adalah sangat penting dan sangat berguna dalam kehidupan seharian kita.

Apa sebenarnya kegunaan sifat lupa?

Cuba kita bayangkan, dalam sehari berapa banyak masalah yang menimpa kita? Cuba kita andaikan sehari satu masalah, seminggu sudah 7 masalah dan sebulan hampir 30 masalah. Setahun? Bagaimana mungkin kita dapat menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang tanpa kita melupakan sebahagian dari cabaran-cabaran yang lain.

Jadi disitulah 'lupa' memainkan peranannya supaya kita dapat meneruskan kehidupan kita dan menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang. Ini bermakna 'lupa' juga ada sudut positifnya berbanding sudut negatif yang selalu dipandang.

SubhanAllah...

Tidaklah Allah menciptakan sesuatu itu hanya untuk sia-sia. Maha suci Allah dari segala kekurangan, hanya kita yang kadangkala 'rabun' dan tidak dapat menilai hikmah pada setiap ciptaan Allah s.w.t. So, nilailah sesuatu perkara itu dengan akal yang Allah berikan dan lihatlah kekuasaan Allah pada setiap ciptaanNya supaya kita tak 'terlupa' status kita sebagai hamba kepada Allah s.w.t.

Andai kata terlupa bahawa kita ini adalah hambaNya...maka itu adalah kritikal!
Fikir-fikirkan...

06 Jun 2011

Tak habis-habis

Cantiknya ciptaan Allah. [Gambar Google]


Selak surat khabar...
Itulah beritanya...

Tonton TV...
Itulah beritanya...

Berita apa???

Akhir-akhir ni rakyat Malaysia mula bercakap kembali mengenai isu buang bayi. Sebabnya, ia kembali walaupun hakikatnya isu ni tak pernah padam. Kesabaran kita seakan-akan direntap bila seorang bayi dicampak dari tingkat lima sebuah bangunan baru-baru ni dan kepala bayi itu pecah akibat terhempas. Mana hilang kemanusiaan?!

Kita hidup dalam sebuah negara yang majoritinya adalah umat Islam, pemimpinnya orang Islam dan dicanangkan sebagai negara Islam contoh pada masa kini. Tapi pada hakikatnya kita semua tahu apa yang terjadi dalam negara kita...di mana silapnya?

Sudah bermacam-macam cara yang dilakukan untuk membendung perkara ni tetapi saya berani katakan bahawa isu ini bukan dapat dibendung bahkan makin parah. Semua pihak cuba mengeluarkan idea bagaimana untuk menangani perkara ni termasuklah dari pihak NGO, parti-parti politik dan sebagainya.

Apa yang saya dapat lihat dari pandangan saya yang lemah ni, kita tidak cuba untuk menyelesaikan masalah ini bermula dari puncanya. Sebagai contoh, diadakan kempen supaya tidak dibuang anak yang dilahirkan luar nikah. Baguslah, tetapi adakah itu masalah utamanya? Persoalannya, bagaimana boleh lahirnya anak luar nikah?

Ya, anak luar nikah atau anak tidak sah taraf dihasilkan melalui persetubuhan yang dilakukan tanpa melalui proses yang sah iaitu NIKAH. Jadi, masalah utamanya ialah ZINA! Tanpa zina, tidak wujud anak luar nikah dan tanpa anak luar nikah tidak wujud masalah bayi dibuang akibat malu dengan masyarakat.

Apa yang menyedihkan ialah kempen untuk menjauhi zina amat kurang dilakukan di Malaysia dan boleh dikatakan terlalu sedikit berbanding 'kempen untuk berzina' yang dijalankan secara tidak rasmi. Kita semua diasak dengan hiburan-hiburan yang melalaikan dan akan menggalakkan berlakunya penzinaan. Mungkin pedih untuk ditelan tapi ini hakikat yang perlu diterima.

Hari ini, jika kita pergi ke konsert-konsert...adakah diasingkan lelaki dan perempuan?

Jawapannya sudah tentu TIDAK. Bila bercampur lelaki dan wanita dalam keadaan berasak-asak dan berhimpit-himpit maka syaitan pun mula mengambil tempat untuk memanipulasi nafsu ke arah yang tidak sepatutnya...na'uzubillah. Buktinya kita boleh lihat pada malam sambutan tahun baru atau malam sambutan kemerdekaan, berapa ramai yang tewas dan melahirkan hasilnya 9 bulan kemudian yang kemudiannya di letakkan di dalam tong-tong sampah... dan yang lebih teruk lagi dicampak dari tingkat lima! Semata-mata malu dengan manusia tapi tidak dengan Allah s.w.t.

Saya tidaklah menyalahkan konsert semata-mata tetapi yang utamanya adalah apabila lelaki dan wanita tidak ada lagi batas-batas dalam pergaulan. Bertepuk tampar di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram sudah menjadi biasa bagi masyarakat kita dan tidak lagi dianggap tidak sopan dan lebih teruk lagi sudah tidak rasa berdosa kepada Allah s.w.t.

Susah bagi kita untuk merubah secara keseluruhannya kerana ia seolah-olah sudah di'halal'kan di dalam negara kita ini. Jika kita membuka TV ia perkara biasa, baik dikalangan pemimpin mahupun orang biasa. Jadi, jalan yang terbaik adalah mengubah diri kita sendiri dahulu. Ketahuilah, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun.

InsyaAllah, andai pergaulan dapat dijaga..zina boleh dielakkan dan tidak akan lahirlah anak yang tidak berbapa dan insyaAllah isu bayi-bayi yang dibuang dapat dibendung. Mulakanlah perubahan dari diri anda supaya bayi yang layak dibelai tidak menjadi penghuni tong-tong sampah. Ingatlah Allah sentiasa memerhatikan kita walau dimana kita dan apa yang kita lakukan..fikir-fikirkanlah.

11 Januari 2011

TV Al-Hijrah


Al-Hijrah. Sebuah stesen televisyen yang baru bersiaran lebih kurang sebulan. Menggunakan Islam sebagai garis panduan untuk bersiaran menjadikan Al-Hijrah sebagai sebuah stesen televisyen tidak berbayar yang lain dari yang lain serta berada dalam konteksnya yang tersendiri.

Antara keunikan yang menarik hati aku ialah dramanya yang dikatakan (belum berpeluang untuk tengok) menggunakan elemen tidak bersentuhan diantara lelaki dan perempuan walaupun watak sebagai suami isteri. Alhamdulillah..akhirnya ada jugak stesen televisyen yang berani melakukan perubahan macam tu.

Baru-baru ni, ada beberapa artis yang diberi peluang untuk berlakon dalam drama di stesen tv tu bersuara dalam media, kata mereka agak kekok untuk melakonkan watak sebagai suami isteri kerana tak boleh bersentuhan antara lelaki dan perempuan. Ya Allah, itu pulak yang kekok! Betullah dunia dah akhir zaman, nak mengamalkan Islam dah dirasakan kekok berbanding nak melakukan maksiat. Apa-apa pun aku tak salahkan artis tu, sebab aku tak tahu sama ada artis tu memang merungut atau sekadar nak bercerita sebab memang dia tak biasa. Ialah, realitinya kat Malaysia ni memang macam tu. Berbaik sangkalah kita ye..

Sebab itulah tugas kita semua untuk saling ingat-mengingati sesama Islam. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

"Dan tetaplah memberi peringatan, kerana peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman", Surah Az-Zaariyat, ayat 55.

Jadi, nak diingatkan kepada mana-mana artis yang berpeluang untuk berlakon di bawah stesen tv Al-Hijrah (artis baca ke blog ni?), bersyukurlah kerana diberi peluang untuk berlakon sambil berdakwah dalam keadaan yang dah di tetapkan Allah s.w.t. Ambillah peluang ni untuk buat amal jariah..insyaAllah.


Antara rancangan-rancangan menarik di TV Al-Hijrah.

Semoga stesen tv Al-Hijrah akan tetap dengan pendirian macam tu sampai bila-bila. Jangan pulak nanti dengar cerita peraturan nak dilonggarkan kononnya sebab nak sesuaikan dengan zaman sudah. Na'uzubillah. Biarlah stesen tv ni jadi pelopor untuk media-media Islam yang lebih kompetitif di masa akan datang. Semoga tv Al-Hijrah akan terus sukses..insyaAllah.

08 Januari 2011

Fikir Dan Risau

Sedih..

Kecewa..

Takut..

Perasaan mesti akan bercampur baur bila mengenangkan tentang perkara ni. Sudah terlalu banyak cara yang dilakukan oleh semua pihak untuk menangani masalah ni tapi masih tetap boleh merisaukan insan-insan yang mengambil berat akannya. Sebab? Masih di takuk yang lama bahkan makin parah.

SEDIH

Bila melihat cara hidup anak-anak muda Islam di Malaysia sekarang..sudah tidak ada bezanya dengan mereka yang tidak ada pegangan kalimah syahadah di dada mereka. Bukan hendak menghukum, tetapi itulah realiti yang terjadi di dalam negara yang majoritinya adalah umat Islam dan pemimpinnya adalah umat Islam. Sedih bila mengenangkan satu masa dulu kita digelar masyarakat yang penuh dengan adab dan sopan santun..

Sedih melihat dada-dada akhbar saban hari memuatkan berita yang menyesakkan dada. Rogol, zina, dadah, bunuh, rompak, samun, buang bayi, ragut..menjadi bahan bacaan harian rakyat Malaysia. Satu masa dulu, kes-kes buang bayi akan menggemparkan seluruh negara bila dimuatkan senagai bahan berita di akhbar. Kini, berita begitu hanya menjadi berita tempelan dan tidak ada unsur komersial lagi. Kenapa? Sebab masyarakat dah lali dengan berita begitu..

Sekarang tahun 2011, bolehkah kita bayangkan apa yang akan berlaku pada negara yang kita cintai ini dalam tempoh 10 tahun akan datang jika perkara ini tidak dibendung?

Mahukah kita anak cucu kita nanti sudah tidak kenal erti maruah?

KECEWA

Kadang-kadang sedikit kekecewaan terdetik dalam hati ni kerana bukan sedikit institusi agama yang wujud di Malaysia, bukan sedikit graduan bidang agama di Malaysia, bukan sedikit sekolah-sekolah agama yang wujud tapi kenapa masalah ini masih berlarutan?

Sekarang ni pengajian J-Qaf diterapkan di sekolah-sekolah rendah dan menekankan pelajaran mengenai asas-asas agama Islam. Alhamdulillah, tapi bukankah lebih baik sekiranya diteruskan juga ke sekolah-sekolah menengah? Sekadar pandangan..

Baru-baru ni, sebuah akhbar melaporkan tentang dua beradik yang dicekup oleh ibu sendiri sedang tidur bersama kekasih masing-masing pada pukul 3 pagi di dalam bilik di rumah sendiri! Ya Allah, berani betul anak-anak muda sekarang. Remuk hati ibu yang mengandungkan kamu 9 bulan..

Ibu bapa pun kena main peranan di rumah. Jangan apabila anak sudah rosak baru terkial-kial nak mencari sekolah-sekolah agama untuk meng'kuarantin'kan anak-anak. Sepatutnya, didikan agama itu bermula dari ibu bapa sendiri. Biarlah anak-anak itu mengenal Allah, mengucap syahadah, pandai baca Al-Quran, pandai solat dan lain-lain hasil dari didikan ibu bapa. Janganlah hanya mengharapkan orang lain untuk mencorakkan siapa anak kita.

TAKUT

Takut bila mengenangkan azab Allah s.w.t apabila melihat cara hidup masyarakat kita. Kita diberi nikmat negara yang aman dan damai tetapi masih ramai yang gagal mensyukuri nikmat itu. Bagaimana dikatakan gagal? Seorang hamba yang bersyukur tidak akan menggunakan nikmat yang ada kearah jalan yang tidak diredhai Allah s.w.t.

Bila diberi tubuh badan yang sihat, tidak menggunakannya untuk berzina, lumba haram, merompak dan sebagainya.

Bila diberi harta yang banyak, tidak menggunakannya untuk befoya-foya.

Bila diberi negara yang aman, tidak lupa pada yang Maha Memberi Keamanan.

Tidak takutkah kita dengan amaran Allah?

"Dan (ingatlah), tatkala tuhanmu memaklumkan, sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti kami kan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu amatlah pedih." Surah Ibrahim, ayat: 7

Seharusnya, mesti ada dalam jiwa setiap anak muda Islam untuk berubah kearah yang lebih baik kerana kita adalah pewaris negara dan agama ini. Permulaan setiap perubahan itu mesti bermula dari dalam diri masing-masing. Berubahlah sebelum terlambat..sebelum ajal datang menjemput.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...