free counters

12 Januari 2013

Pesan Nabi

Tadi aku pergi pusing-pusing. Masuk la satu kedai buku ni, sebenarnya tak ada niat nak beli apa-apa pun sebab poket pun tengah tak berapa nak berisi. Maklumlah...gaji lambat lagi. So, ingat nak cuci-cuci mata je la.

Tapi bila belek buku-buku dekat situ tiba-tiba ternampak satu buku yang menarik perhatian aku. Buku komik.


Ya, dalam banyak-banyak buku kat kedai buku tu komik ni jugaklah yang menarik perhatian aku.

Komik ni asalnya dari Indonesia tapi dah dialih bahasa ke bahasa melayu. Pelukisnya melukis komik ni berdasarkan hadis-hadis Bukhari dan Muslim. Idea yang hebat!

Aku tak fikir lama-lama kat situ, ambil satu terus bayar. Berjalan juga duit aku hari ni.

Aku belum baca lagi sebenarnya, baru je beli jadi tak boleh nak komen apa-apa lagi. Kena habiskan dulu.

Ingat, dakwah itu luas. Jangan disempitkannya.

Mulakan dengan bismillah...

11 Januari 2013

Cerpen: Cermin Sisi Kehidupan


Di dalam kedinginan pagi kelihatan seorang gadis berjalan perlahan sambil matanya meliar memerhati keadaan sekeliling yang suram, hanya disimbahi cahaya lampu jalan yang berselang selang setiap 500 meter sahaja. Setiap langkah di atur dengan penuh berhati-hati seakan-akan sedang berada di medan perang yang lantainya penuh dengan periuk api yang sentiasa sabar menanti kaki-kaki yang cuai.

Gadis yang baru berumur sekitar belasan tahun itu membawa seorang bayi di tangannya. Bayi itu hanya dibalut dengan sehelai kain batik lusuh bagi melindungi tubuhnya yang mulus itu. Kain itu disarungkan si gadis sebentar tadi hanya sekadar untuk melindungi si bayi dari pandangan mata manusia dan bukan untuk melindunginya dari serangan angin sejuk malam yang berhembus lembut.

Bayi yang dikendong si gadis itu sekadar mendiamkan diri sahaja, tidak ada rengekan seperti anak-anak lain yang lahir ke dunia, sedangkan dia baru hanya beberapa jam melangkah ke alam dunia ini. Itu pun di sambut dengan keluhan dari si ibu yang ketakutan dan panik di dalam tandas awam yang penuh jijik.

Namun si anak tidak banyak kerenahnya, hanya matanya yang terkebil-kebil menatap wajah si ibu yang entah sampai bila mampu ditenung. 

Dia diam, mungkin kerana dia tahu, dia sedang berada dalam pelukan seorang ibu yang sepatutnya membelai dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang. Seorang ibu yang pada naluri si anak kecil, akan memberinya makan dan minum secukupnya, akan menidurkannya setiap malam, akan menampar nyamuk-nyamuk yang mengganggu tidur malamnya, akan berjaga malam kerana risaukan sakit demamnya dan seorang ibu yang akan mampu dipeluk dan dicium bila si anak sudah besar panjang kelak. Pandangan naluri dari seorang bayi yang mengharapkan perlindungan seorang ibu.

Tapi ternyata segalanya itu tersasar dari realiti yang menanti bayi itu, si gadis itu meletakkan bayi yang dibawanya itu di dalam sebuah kotak terbuang di sebelah sebuah tong sampah besar yang diselubungi bau yang sangat memualkan.

Bayi itu diletakkan dalam keadaan tergesa-gesa seolah-olah itu adalah anak patung yang tidak bernyawa dan sudah tidak berguna lagi kepada tuannya. Si gadis kemudian mengeluarkan sesuatu dari poket seluar jeans ketatnya yang lusuh. Sebuah nota kecil yang berbunyi...

"Kepada sesiapa yang berjumpa dengan bayi ini sila ambil dan selamatkannya. Saya tak mampu menanggung malu untuk memelihara bayi ini. Maaf."

Kemudian, si gadis meletakkan nota kecil itu di sebelah bayi yang masih terkebil-kebil melihat perlakuan ibunya. Setelah diberikan satu ciuman kepada bayi itu, si gadis pun melangkah pergi meninggalkan anaknya sendirian di celah-celah embun pagi yang semakin menuju kepada terbitnya fajar.

Dia melangkah menuju ke arah sebuah Proton Wira berwarna merah yang telah sedia menunggunya sejak dari tadi lagi berhampiran dengan tempat itu. Seorang lelaki berusia awal 20-an kemudian terus memecut laju kenderaan itu setelah si gadis menutup pintu kereta Wira itu.

*****

Aina terjaga dari lenanya.

Mimpi itu datang kembali, seolah-olah masa lalu datang mengheret sebuah kekesalan yang amat padat untuk dihadam.

Ya, mimpi itu memang mengerikan, tetapi ia bukan semata-mata mainan tidur. Mimpi itu adalah natijah dari sebuah kekesalan yang tidak pernah berhenti. Ia adalah kisah silam Aina. Sebuah kisah silam yang sebolehnya sudah tidak mahu diputar kembali dalam panggung ingatan.

Sayangnya, harga sebuah kekesalan itu tidak dapat ditebus dengan masa yang berjalan. Aina kesal.

"Aina, awak ok?" soal Seri yang turut terjaga apabila mendengar suara Aina yang meracau dalam tidurnya tadi.

Aina hanya memandang ke arah muka Seri yang tidur di katil bersebelahan dengannya tanpa membuka mulut untuk bersuara. Perlahan-lahan manik-manik jernih mula menitis keluar dari matanya yang sudah kemerah-merahan.

Seri segera merapati Aina di atas katilnya. "Aina, sabar ye...," hanya itu yang mampu diucapkannya pada ketika itu. Aina terus memeluk Seri dan merebahkan kepalanya di atas bahu Seri. Seri hanya membiarkannya, dia tahu bahawa Aina memerlukan seseorang untuk menemaninya sekarang.

"Sabar la, apa yang berlaku semua sudah berlaku. Kita mesti teruskan kehidupan," Seri bersuara perlahan kepada Aina sambil tangannya menepuk-nepuk bahu sahabatnya itu.

Pada pagi yang sunyi itu, mereka kemudian bangun dari katil masing-masing dan pergi mengambil wuduk sebelum mereka bersolat sunat dan mengadukan segalanya kepada Allah. Di waktu 2/3 malam itulah mereka mengambil ruang untuk merintih dan meminta kepada Yang Empunya Alam.

Itulah yang diajarkan oleh Ustazah Raudhah selama mereka berdua menjadi penghuni di rumah kebajikan pesakit-pesakit HIV ini. 

"Pastikan segala masalah diadukan kepada Allah kerana Dialah penentu segalanya. Allah s.w.t itu Maha Pengampun, biar sebesar manapun dosa yang kita lakukan, pohonlah kembali keampunan dariNya kerana Allah sentiasa memberi peluang buat hamba-hambaNya bertaubat. Bangunlah dan solatlah di malam hari ketika insan-insan lain sedang lena diulit mimpi dan rasakanlah keagunganNya dalam hening malam."

Kata-kata Ustazah Raudhah sentiasa dipegang teguh oleh Aina kerana dia merasakan kebenarannya. Jiwa Aina akan merasa tenang apabila bersolat dan mengadu kepada Allah s.w.t, dia yakin Allah sentiasa mendengar rintihan hamba-hambaNya.

Mereka berdua terus bersolat dan berzikir sepanjang malam sehinggalah kedengaran azan Subuh yang dilaungkan muazzin, barulah mereka bersiap-siap pula untuk bersolat Subuh.

Setelah selesai solat Subuh, Seri terus menuju ke dapur di banglo mewah itu untuk membantu Kak Kiah memasak sarapan pagi ahli-ahli Rumah Kebajikan An-Nuur manakala Aina menuju ke balkoni rumah di tingkat atas rumah untuk berehat sambil menikmati matahari yang sedang memanjat langit bagi menerangi alam.

Aina terus melayan fikirannya di balkoni yang menghadap laut itu. Fikirannya melayang sambil matanya memerhati alam Tuhan yang luas terbentang. 

Pemandangan laut yang luas itu mengingatkannya tentang perjalanan hidupnya selama ini yang luas tetapi kosong dari sebarang isi. Dia hidup hanya sekadar untuk hidup. Kelab-kelab malam sudah seakan menjadi rumah keduanya selepas rumah sebenar. Sudah kering air mata ibu dan bapanya menangis kerana sedih akan zuriat yang menjadi harapan mereka tetapi hanyut dalam tipu daya dunia.

Dahulu, Aina tidak peduli batasan agama, dia melakukan perkara-perkara yang haram dengan sewenang-wenangnya. Dia tidak peduli apa kata orang lain, asalkan baginya dia gembira dan bebas itu sudah cukup untuk memuaskan hatinya.

Namun, langit tak selalu cerah. Adakalanya mendung datang bertamu, kadang-kadang hujan perlu turun untuk mengingatkan kita bahawa cuaca yang cerah itu adalah peluang untuk manusia belajar.

Aina disahkan menghidap penyakit HIV di usia 21 tahun, bumi yang dipijak terasa bergoncang. Segala keseronokan yang dicipta hancur dan tidak lagi bermakna, lalu dia mula mencari erti hidup yang sebenar. Penyakit yang diterima itu ibarat menjadi cermin sisi untuk dia melihat kembali kehidupannya dulu yang penuh kejijikan dan mula membaiki diri untuk kembali menjadi manusia yang sebenar.

Masih terbayang dalam ingatannya, pada keesokan pagi setelah dia meninggalkan anak luar nikahnya di tempat pembuangan sampah, dia melihat orang ramai berkerumun dikawasan itu, kawasan Aina meletakkan bayinya. Aina memberanikan diri untuk turut sama menjenguk di kawasan itu dan apa yang dilihatnya benar-benar mengejutkannya. Bayinya yang diletakkan disitu telah mati digigit anjing-anjing jalanan!

Tubuh bayi yang kerdil itu telah tersiat-siat oleh gigi-gigi anjing yang tajam. Aina dapat melihat mata bayinya itu membulat dan tidak tertutup seolah-olah menggambarkan kesakitan yang diterima olehnya sebelum maut. Aina tidak sanggup melihat semua itu dengan lebih lama, lalu dia berlalu pergi tanpa rasa bersalah. Pada ketika itu, baginya dia tidak bersalah kerana bukan niatnya hendak membunuh tetapi apa boleh buat nasib bayi itu sudah begitu. Begitulah ceteknya pemikiran Aina ketika itu. 

Mata Aina kembali bergenang. Segala kenangan yang bertandang merobek jiwanya. Dia tahu dia sudah bertaubat tetapi air mata penyesalan itu pasti tidak akan kering selagi hayatnya dikandung badan.

"Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku. Sesungguhnya aku hambaMu yang lalai," hati kecil Aina tidak henti-henti berdoa kerana dia tahu dosanya menggunung tinggi dan hanya kepada Allah sahajalah keampunan itu dipinta. Air matanya terus mengalir.

Sementara itu, Seri di dapur sudah siap menyediakan sarapan untuk rakan-rakan serumahnya. Kak Kiah pula sedang sibuk mencuci periuk belanga yang digunakan untuk memasak.

"Kau pergi panggil kawan-kawan kau tu turun makan," kata Kak Kiah kepada Seri.

"Ok," balas Seri ringkas sambil berjalan menaiki anak tangga satu persatu untuk naik ke tingkat atas memanggil rakan-rakannya untuk turun bersarapan.

Pintu bilik dibuka satu persatu, Seri telah memanggil semua rakan-rakannya tetapi dia tidak menjumpai Aina.

"Nampak Aina tak?" soal Seri kepada rakannya Ain.

"Entahlah, dekat balkoni kot. Cuba tengok sana," balas Ain.

"Ya tak ya juga. Dia selalu layan feeling dekat situ," kata Seri sambil tersenyum kepada Ain yang baru selesai  menyapu sampah di biliknya.

Ain hanya tersengih kembali dengan respon selamba dari Seri itu. "Tak apalah, aku pergi tegok sana dulu," kata Seri lagi.

Seri pun berjalan ke arah balkoni dan dapat melihat kelibat Aina yang sedang berehat di sebuah kerusi di ruang balkoni itu menerusi pintu kaca balkoni. Seri membuka pintu dan menjenguk ke luar.

"Aina, jom makan. Makanan dah siap," kata Seri kepada Aina tanpa merapati Aina di kerusi.

Tiada jawapan.

"Tidur kot," detik hati Seri kerana Aina membelakanginya dan dia tidak dapat melihat wajah Aina, lalu Seri berjalan ke arah Aina.

Seri terkejut sebaik melihat wajah Aina, wajahnya pucat lesi seolah-olah darah sudah tidak mengalir dalam tubuhnya. Seri kaget seketika di situ.

"Ustazah! Ustazah! Ustazah Raudhah!" jerit Seri berkali-kali.

Seketika kemudian Ustazah Raudhah tiba bersama-sama dengan rakan-rakan mereka yang lain. Seri masih tegak berdiri di situ, dia betul-betul terkejut.

Ustazah Raudhah memeriksa nafas Aina dan menguji degupan nadi di tangan Aina dengan jarinya. Kemudian Ustazah Raudhah memandang ke arah Seri dan menggeleng-gelengkan kepala. "Dia dah tak ada, inna lillahi wa inna ilaihi rojiun..." kata Ustazah Raudhah perlahan.

Mata Seri berkaca. Dia terduduk di sebelah Aina yang sudah tidak bernyawa, air matanya bercucuran dan tidak mampu disekat lagi. Semua penghuni rumah kebajikan itu turut bersedih dan mengalirkan air mata.

"Inna lillahi wa inna ilaihi rojiun. Semoga Allah menerima taubatmu sahabatku..." bisik Seri perlahan.

09 Januari 2013

Sonamu


Gegak gempita di alam maya
Taufan Sonamu bakal menerpa
Maka hingarlah di dunia nyata
Manusia memohon bantuan dariNya.

Masa berlalu dengan selamba
Sonamu masih belum menyapa
Tersiarlah berita di tv kaca
Sonamu beralih arahnya pula.

Nafas dihembus kembali lega
Terlepaslah kita dari bencana
Rutin berjalan seperti biasa
Sehingga kembali lupa padaNya.

Bantuan yang dipinta telah dikurnia
Saat yang genting berlalu sudah
Namun ramai kembali alpa
Hanya sekadar 'alhamdulillah'.

-fikirsekejap-

01 Januari 2013

Cerpen: Malam Yang Semakin Kelam


Aril masih termangu-mangu di celah-celah manusia yang berhimpit. Mereka berpusu-pusu di disitu, entah apa tujuannya.

Walaupun manusia ramai tetapi dia merasa seakan keseorangan. Mungkin kerana jiwanya yang berbeza dengan mereka, atau mungkin sahaja kerana tujuan Aril dan manusia-manusia yang lain di situ tidak sama. Mereka berada di destinasi yang sama tetapi dalam sudut pandang dan dunia yang berbeza.

Sengaja Aril melangkahkan kakinya ke situ di malam tahun baru Masihi ini.

Kelihatan seorang pemuda yang tegap dan segak, sebangsa dan seagama dengan Aril pada kiraannya berdasarkan lenggok gaya percakapan dan raut wajah pemuda itu. Tiba-tiba Aril terpaku, apakah yang sedang dipegangnya?

Botol kaca yang berisi air kekuningan. Arak?

"Tak mungkin arak," Aril cuba mendatangkan satu sangka baik dalam hatinya.

Tetapi sangka baik itu susah untuk diwujudkan apabila melihat tidak tanduk pemuda itu yang terhuyung-hayang dan bercakap-cakap seorang diri.

Kemudian ditambah pula dengan beberapa lagi pemuda yang sama perilakunya dengan pemuda tadi. Memegang botol kaca yang berisi air kekuningan dan berjalan terhuyung-hayang sambil mulut mengomel tanpa dapat difahami butir percakapan mereka.

Aril bungkam.

Bukankah mereka ke sini mahu menyambut tahun baru?

Kemudian Aril terlihat pula seorang wanita yang masih dalam usia 20-an pada perkiraan Aril. Wanita itu memakai pakaian yang sendat dan ketat sehingga menampakkan susuk tubuhnya yang menggiurkan. Dengan solekan yang tebal seperti artis terkenal, wanita itu duduk di atas bahu jalan sambil merokok dengan selamba.

Aril semakin keliru.

"Adakah dia sebangsa dan seagama denganku?" persoalan itu mula menujah akal fikirannya.

Berdasarkan apa yang dilihat dengan mata kasar Aril, dari segi pakaiannya memang bukan dari ajaran Islam.  Entahlah...Aril keliru!

Saban tahun, sambutan ambang tahun baru memang jadi kebiasaan bagi kebanyakan manusia. Ada yang menganjurkan konsert, cabutan bertuah dan berbagai-bagai lagi cara yang dilakukan pihak penganjur untuk menarik orang ramai supaya datang ke majlis yang dianjurkan mereka. Aril biasa mendengar semua itu, setiap tahun Aril mendengarnya,

Tahun ini, Aril bertekad untuk bersama-sama merasai kemeriahan sambutan tahun baru yang diwar-warkan itu. Sebab itulah Aril bertekad untuk datang ke sini pada malam ini. Aril pun mahu menyambut tahun baru.

Tapi Aril menjadi asing disitu. Aril menjadi asing kerana atmosfera yang berbeza dari dirinya. Konsert di atas pentas utama tidak lagi menjadi perhatian Aril. 

Aril mengalihkan pula perhatian kepada sepasang kekasih yang sedang berpelukan di hujung lautan manusia itu.

Mereka berpeluk-pelukan dan bercium-ciuman dengan penuh 'kasih sayang'.

Si Romeo merangkul erat pinggang si Juliet sambil menari-nari mngikut alunan muzik yang disediakan penganjur. Aril semakin keliru.

Betulkah disini majlis menyambut tahun baru? Atau aku sudah tersalah tempat?

Segera Aril teringatkan berita-berita tentang Gaza, Syria dan umat-umat Islam serata dunia yang sedang diuji dengan kesusahan yang sering dia dengar dan lihat di kaca televisyen. Serta-merta hatinya rasa seperti dirobek-robek, kesal dengan apa yang dilihatnya sekarang. "Sungguh, kita lalai dengan nikmat yang Allah berikan," desis hati kecil Aril.

Aril berjalan-jalan sedikit meninjau-ninjau lagi disekitar kawasan itu. Anak matanya terus galak memerhati gelagat para penyambut tahun baru.

"Kasihan," itulah yang ada dalam fikiran Aril. Ada di antara mereka yang masih bertaraf pelajar sekolah lagi, tetapi malam itu mereka hanyut dalam dunia khayalan ciptaan mereka sendiri yang kononnya indah. Mereka tenggelam dalam lautan keseronokan dunia yang sekilas ini.

Aril semakin tidak tenteram, dia mundar-mandir di sekitar kawasan itu. Sesekali dia melihat jam di tangannya yang masih belum menunjukkan pukul dua belas malam. Dia semakin tidak keruan berada dalam suasana yang kian menghimpitnya.

Dia mahu pulang, tetapi sebelum itu, sekurang-kurangnya dia mahu melihat percikan bunga api yang akan menghiasi dada langit apabila tepat jam dua belas malam nanti. Dia sudah berada di situ, pada perkiraannya rugi jika dia pulang tanpa sempat 'bertahun baru' di situ.

"Aduh...lima belas minit lagi pukul 12..." Aril mengeluh sendiri.

Dia mahu menunggu tetapi hatinya sudah mula membantah keberadaannya di situ.

Aril mula mengatur langkah untuk meninggalkan majlis itu. perlahan-lahan langkah di atur dengan berhati-hati sambil matanya tak lekang dari memerhatikan gelagat anak bangsanya. Perasaan sedih menjalar dalam ruang hatinya melihat semua itu.

Tiba-tiba... "Uwek!!!"

Aril mengelak. "Sori bro, mabuk," seorang anak muda berkata kepada Aril sambil menggosok-gosok belakang badan kawannya yang sedang muntah. Nyaris-nyaris muntah itu mahu mengenai kaki Aril ketika dia leka berfikir. Senyum tawar cuba diberikan kepada Aril, namun senyuman itu sebenarnya semakin meragut kegembiraan Aril malam itu.

Ya, dari lenggok bahasa dan raut wajahnya, mereka ini juga sebangsa dan seagama dengan Aril. Hilang sudah keterujaan Aril untuk menyambut tahun baru pada malam itu.

Boom! Boom! Boom!

Selang-seli mercun berdentum sambil mencorakkan warna-warna yang cantik di dada langit. Malangnya keterujaan Aril sudah hilang, dia memulakan tahun ini dengan kesedihan.

Sedih dengan saudara-saudara seagamanya yang dilalaikan dengan hiburan yang melampau.

Sedih dengan saudara-saudara seagamanya yang meneguk air haram yang memabukkan.

Sedih dengan saudara-saudara seagamanya yang seronok dengan pergaulan bebas tanpa batasannya, dan Aril sedih dengan saudara sebangsa dan seagamanya yang semakin hilang jati diri sebagai seorang Islam.

Aril merenung corak-corak bunga api yang terbentuk itu dari kejauhan. Sambil hatinya berbisik sayu, "Ya Allah, kurniakanlah hidayah Mu untuk kami. Sesungguhnya hidup dan mati kami hanya untuk Mu."

Aril berpaling dan terus melangkah pergi dengan hati yang pedih dan bertemankan malam yang kelam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...