free counters

14 November 2011

Emak & Abah


Ayah dan ibu, abah dan emak atau papa dan mama adalah antara nama panggilan yang selalu digunakan untuk kedua orang tua kita. Walau apa sekalipun nama yang digunakan tapi pengorbanan dua insan yang bergelar ibu dan bapa ini terlalu besar untuk diri kita.

Mungkin kita pernah dimarah oleh ibu kita sewaktu kita kecil dahulu. Mungkin juga kita pernah dirotan atau dipukul sewaktu kecil dahulu tapi ketahuilah bahawa marahnya mereka itu kerana sayang dan rotan yang dihayun itu juga kerana sayang. Sedarkah kita, alangkah beratnya hati seorang ibu untuk memarahi dan merotan seorang anak yang dilahir dan dibesarkannya?

Ayah. Seorang insan yang kita lihat sering tegas dengan anak-anak. Mencari nafkah untuk keluarga dan melindungi keluarga merupakan tugasan harian yang dilakukan tanpa jemu dan malas oleh sosok itu. Sedarkah kita, tangisan yang berlaku di dalam hati seorang insan yang kita lihat gagah itu? Tangisan yang tak berair mata..

Sering seorang anak itu merasa dikongkong oleh ibu dan bapa apabila mereka meningkat dewasa. Itulah lumrah yang sering berlaku. Sedang hakikatnya ialah tentang hati ibu dan bapa yang sentiasa risau dan mahukan yang terbaik untuk anak mereka dan risau itu pastinya datang dari rasa sayang yang tak pernah dipaksa atau dibuat-buat.

Itulah ibu dan bapa..dua insan yang tak pernah puas mencurahkan kasih dan sayang kepada insan lain yang bergelar anak. Memerah segala keringat yang ada demi anak-anak. Mendidik dan mengasuh kita sehingga dewasa. Layakkah kita sebagai anak untuk melupakan mereka?

Siapa kita pada hari ini tanpa pengorbanan mereka?

Saya menyeru kepada anda semua supaya janganlah mengabaikan ibu dan bapa anda. Saya ulang sekali lagi..jangan abaikan ibu dan bapa anda! Hargailah mereka selagi mereka masih berada bersama kita. Berdoalah sentiasa untuk kedua orang tua kita. Berbaktilah kepada mereka selagi termampu.

Walau bagaimana sekalipun ibu dan bapa kita itu, ingatlah bahawa insan itulah yang sentiasa berkorban untuk kita, tangan merekalah yang pernah menyuapkan makanan untuk kita, mata merekalah yang pernah tak tidur malam kerana kita, air mata merekalah yang pernah mengalir untuk kita, mulut merekalah yang tak pernah putus mendoakan kita dan hati merekalah yang sentiasa risau dan sayangkan kita.

Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah: "Wahai tuhanku, kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah mendidik aku di waktu kecil." (Surah al-Isra', ayat 24)

Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa kedua ibu dan bapaku serta berkatilah kehidupan mereka di dunia dan akhirat.

12 November 2011

Kuat


[Gambar Google]

Adakah anda kuat?

Ya, anda memang kuat kalau boleh menumbuk seseorang sampai pengsan dan anda memang kuat kalau boleh mematahkan tangan dan kaki orang lain apabila geram. Anda juga kuat kalau boleh mengangkat beban sehingga beratus-ratus kilo. Kuat sungguh anda ye..

..atau anda hanya sekadar rasa anda kuat?

Hmm...

Anda pernah tak susah untuk tidur malam?
Kalau pernah maknanya anda tak kuat pun. Tidur yang sepatutnya jadi satu nikmat pun anda tak mampu nak lakukan.

Anda pernah sakit?
Kalau pernah tandanya anda tak kuat pun. Anda kalah dengan penyakit yang tak dapat nak dilihat pun.

Anda boleh tak berhenti dari bernafas?
Setengah jam pun dah cukup...tak boleh? Maknanya confirm anda tak kuat sebab anda masih memerlukan nafas yang dipinjamkan oleh Allah.

Nafas pun kita pinjam..masih rasa diri tu kuat ke?

Nampaknya kita semua ni tak kuat pun..semua yang ada pada kita ni milik Allah. Semuanya pinjaman dari Allah. Sekuat mana pun kita rasa diri kita ni, sebenarnya kita masih bergantung dengan rahmat Allah s.w.t. Tiadalah kekuatan pada tubuh badan kita melainkan dengan izin dari Allah.

Kesimpulannya, janganlah sesekali membangga diri kerana kita hanya makhluk yang kerdil. Jagalah hubungan sesama makhluk dan yang paling penting jagalah hubungan dengan Allah s.w.t.

11 November 2011

Ujian dariNya


Ramai yang merasa tertekan atau sedih apabila mereka diuji oleh Allah dengan sesuatu masalah.

Ramai juga yang putus asa apabila diuji dengan sesuatu masalah.

Tapi sedarkah kita tentang peringatan Allah ini?

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan: 'kami beriman' dan mereka tidak diuji," Surah Al-Ankabut, ayat 2.

Ujian Allah adalah pasti kepada kita. Sebagai hambaNya kita hendaklah bersabar dan redha atas segala ujianNya walau sebesar mana pun ujian itu dirasakan oleh kita. Janganlah sekali-kali kita berputus asa dengan rahmat Allah kerana sesungguhnya rahmat Allah itu amatlah luas.

Allah tidak akan pernah berlaku zalim kepada hambaNya. Percaya dan yakinlah, setiap kesusahan yang Allah datangkan pasti akan disusuli dengan keindahan dan kemanisan. Setiap apa yang Allah ciptakan itu pasti ada hikmah di sebaliknya.

Bukan kita sahaja yang Allah uji. Setiap hambaNya diuji dengan ujian yang berbeza-beza. Seandainya kita rasa ujian yang diberi kepada kita terlalu berat...sedarlah, sesungguhnya ada insan lain yang diuji dengan ujian yang lebih berat. Berdoalah kepadaNya supaya kita diberi kekuatan untuk menempuhi ujian itu. Mintalah kepada Allah s.w.t kerana Dia maha mendengar.

Yakinlah bahawa Allah itu adil terhadap hamba-hambaNya. Mengadulah padaNya dan janganlah berputus asa...

Tugas siapa?


Siapa pendakwah?

Ustaz?

Ustazah?

Imam?

Tok bilal?

Bila disebut tentang tugas dakwah kebanyakan dari kita akan lebih senang menyerahkan kepada golongan 'ustaz-ustaz' sahaja. Mereka ini beranggapan tanggungjawab dakwah ini bukan tanggungjawab semua orang tetapi hanya tugas 'ustaz-ustaz' sahaja.

Sebenarnya itu merupakan tanggapan yang salah oleh sebahagian dari masyarakat sekarang. Tugas dakwah ini merupakan tugas semua manusia yang mengaku beriman kepada Allah s.w.t. Tidak kiralah anda ustaz, imam, arkitek, doktor, pemandu lori, akauntan, penoreh getah atau yang berjawatan perdana menteri sekalipun, tugas berdakwah adalah wajib untuk anda!

Antara sebab ramai yang salah anggap mengenai dakwah ini mungkin kerana kecilnya ruang lingkup dakwah yang dapat dilihat oleh mereka.

Dakwah bukan hanya berceramah di dalam masjid-masjid dan surau-surau tetapi setiap aspek kehidupan kita boleh digunakan sebaiknya sebagai method dakwah kita. Cuma terpulang kepada kita bagaimana untuk menggunakan sebaiknya peluang yang ada di hadapan kita ini sebagai salah satu jalan dakwah yang berkesan.

Contohnya, andai bakat kita lebih ke arah nyanyian maka itu adalah satu jalan yang baik untuk kita. Alangkah bagusnya jika suara yang sedap dan nyanyian yang menarik itu dapat digunakan sebaiknya untuk menarik manusia kembali kepada Allah. Sekurang-kurangnya ia boleh dijadikan bekalan kita untuk berhadapan dengan mahkamah Allah di mahsyar kelak, insyaAllah.

Saya ada menonton beberapa vlog yang menarik oleh anak-anak muda Malaysia yang beragama Islam dan ia menjadi satu cabang dakwah yang cukup baik untuk mereka di dalam Youtube. Tak perlu membuat vlog yang dilabel 'skema' oleh sebahagian dari kita, mereka berdakwah dengan cara mereka yang tersendiri. Bayangkan apabila Youtube menjadi medan dakwah, berjuta-juta manusia yang dapat manfaat darinya.

Itu cara mereka, bagaimana dengan kita?

Di manakah sudut dalam kehidupan kita yang sudah kita gunakan untuk dakwah?

Mari kita bersama-sama melakukan usaha dakwah untuk mengajak manusia kembali kepada Allah s.w.t dan dalam masa yang sama marilah kita ubah diri kita supaya berubah menjadi lebih baik dari hari ke hari.

Semoga Allah merahmati usaha kita ini. Ingat, dakwah kerja kita!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...