free counters

11 November 2011

Ujian dariNya


Ramai yang merasa tertekan atau sedih apabila mereka diuji oleh Allah dengan sesuatu masalah.

Ramai juga yang putus asa apabila diuji dengan sesuatu masalah.

Tapi sedarkah kita tentang peringatan Allah ini?

"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan: 'kami beriman' dan mereka tidak diuji," Surah Al-Ankabut, ayat 2.

Ujian Allah adalah pasti kepada kita. Sebagai hambaNya kita hendaklah bersabar dan redha atas segala ujianNya walau sebesar mana pun ujian itu dirasakan oleh kita. Janganlah sekali-kali kita berputus asa dengan rahmat Allah kerana sesungguhnya rahmat Allah itu amatlah luas.

Allah tidak akan pernah berlaku zalim kepada hambaNya. Percaya dan yakinlah, setiap kesusahan yang Allah datangkan pasti akan disusuli dengan keindahan dan kemanisan. Setiap apa yang Allah ciptakan itu pasti ada hikmah di sebaliknya.

Bukan kita sahaja yang Allah uji. Setiap hambaNya diuji dengan ujian yang berbeza-beza. Seandainya kita rasa ujian yang diberi kepada kita terlalu berat...sedarlah, sesungguhnya ada insan lain yang diuji dengan ujian yang lebih berat. Berdoalah kepadaNya supaya kita diberi kekuatan untuk menempuhi ujian itu. Mintalah kepada Allah s.w.t kerana Dia maha mendengar.

Yakinlah bahawa Allah itu adil terhadap hamba-hambaNya. Mengadulah padaNya dan janganlah berputus asa...

Tugas siapa?


Siapa pendakwah?

Ustaz?

Ustazah?

Imam?

Tok bilal?

Bila disebut tentang tugas dakwah kebanyakan dari kita akan lebih senang menyerahkan kepada golongan 'ustaz-ustaz' sahaja. Mereka ini beranggapan tanggungjawab dakwah ini bukan tanggungjawab semua orang tetapi hanya tugas 'ustaz-ustaz' sahaja.

Sebenarnya itu merupakan tanggapan yang salah oleh sebahagian dari masyarakat sekarang. Tugas dakwah ini merupakan tugas semua manusia yang mengaku beriman kepada Allah s.w.t. Tidak kiralah anda ustaz, imam, arkitek, doktor, pemandu lori, akauntan, penoreh getah atau yang berjawatan perdana menteri sekalipun, tugas berdakwah adalah wajib untuk anda!

Antara sebab ramai yang salah anggap mengenai dakwah ini mungkin kerana kecilnya ruang lingkup dakwah yang dapat dilihat oleh mereka.

Dakwah bukan hanya berceramah di dalam masjid-masjid dan surau-surau tetapi setiap aspek kehidupan kita boleh digunakan sebaiknya sebagai method dakwah kita. Cuma terpulang kepada kita bagaimana untuk menggunakan sebaiknya peluang yang ada di hadapan kita ini sebagai salah satu jalan dakwah yang berkesan.

Contohnya, andai bakat kita lebih ke arah nyanyian maka itu adalah satu jalan yang baik untuk kita. Alangkah bagusnya jika suara yang sedap dan nyanyian yang menarik itu dapat digunakan sebaiknya untuk menarik manusia kembali kepada Allah. Sekurang-kurangnya ia boleh dijadikan bekalan kita untuk berhadapan dengan mahkamah Allah di mahsyar kelak, insyaAllah.

Saya ada menonton beberapa vlog yang menarik oleh anak-anak muda Malaysia yang beragama Islam dan ia menjadi satu cabang dakwah yang cukup baik untuk mereka di dalam Youtube. Tak perlu membuat vlog yang dilabel 'skema' oleh sebahagian dari kita, mereka berdakwah dengan cara mereka yang tersendiri. Bayangkan apabila Youtube menjadi medan dakwah, berjuta-juta manusia yang dapat manfaat darinya.

Itu cara mereka, bagaimana dengan kita?

Di manakah sudut dalam kehidupan kita yang sudah kita gunakan untuk dakwah?

Mari kita bersama-sama melakukan usaha dakwah untuk mengajak manusia kembali kepada Allah s.w.t dan dalam masa yang sama marilah kita ubah diri kita supaya berubah menjadi lebih baik dari hari ke hari.

Semoga Allah merahmati usaha kita ini. Ingat, dakwah kerja kita!

04 November 2011

Lupa


[Gambar Google]

Lupa...

Saya pasti semua manusia pernah terlupa..

Sebagai seorang pelajar sekolah, kita pernah terlupa untuk melakukan kerja rumah yang diberikan guru.

Sebagai seorang mahasiswa kita pernah terlupa menyiapkan assignment yang diberikan pensyarah.

Sebagai seorang pekerja kita pernah terlupa arahan yang diberikan majikan.

Bermacam-macam situasi lupa yang pernah kita lalui dalam kehidupan sebagai manusia. Lupa merupakan salah satu fitrah yang Allah s.w.t kurniakan kepada semua insan yang bernama manusia. Selagi mana kita bernama manusia pasti kita akan melalui satu proses yang bernama 'lupa'.

Kebiasaannya situasi 'terlupa' akan menyebabkan kita kerugian sesuatu atau merumitkan sesuatu keadaan. Jadi, 'lupa' selalu dipandang sebagai menyusahkan oleh kita. Sebenarnya 'lupa' adalah sangat penting dan sangat berguna dalam kehidupan seharian kita.

Apa sebenarnya kegunaan sifat lupa?

Cuba kita bayangkan, dalam sehari berapa banyak masalah yang menimpa kita? Cuba kita andaikan sehari satu masalah, seminggu sudah 7 masalah dan sebulan hampir 30 masalah. Setahun? Bagaimana mungkin kita dapat menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang tanpa kita melupakan sebahagian dari cabaran-cabaran yang lain.

Jadi disitulah 'lupa' memainkan peranannya supaya kita dapat meneruskan kehidupan kita dan menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang. Ini bermakna 'lupa' juga ada sudut positifnya berbanding sudut negatif yang selalu dipandang.

SubhanAllah...

Tidaklah Allah menciptakan sesuatu itu hanya untuk sia-sia. Maha suci Allah dari segala kekurangan, hanya kita yang kadangkala 'rabun' dan tidak dapat menilai hikmah pada setiap ciptaan Allah s.w.t. So, nilailah sesuatu perkara itu dengan akal yang Allah berikan dan lihatlah kekuasaan Allah pada setiap ciptaanNya supaya kita tak 'terlupa' status kita sebagai hamba kepada Allah s.w.t.

Andai kata terlupa bahawa kita ini adalah hambaNya...maka itu adalah kritikal!
Fikir-fikirkan...

06 Jun 2011

Tak habis-habis

Cantiknya ciptaan Allah. [Gambar Google]


Selak surat khabar...
Itulah beritanya...

Tonton TV...
Itulah beritanya...

Berita apa???

Akhir-akhir ni rakyat Malaysia mula bercakap kembali mengenai isu buang bayi. Sebabnya, ia kembali walaupun hakikatnya isu ni tak pernah padam. Kesabaran kita seakan-akan direntap bila seorang bayi dicampak dari tingkat lima sebuah bangunan baru-baru ni dan kepala bayi itu pecah akibat terhempas. Mana hilang kemanusiaan?!

Kita hidup dalam sebuah negara yang majoritinya adalah umat Islam, pemimpinnya orang Islam dan dicanangkan sebagai negara Islam contoh pada masa kini. Tapi pada hakikatnya kita semua tahu apa yang terjadi dalam negara kita...di mana silapnya?

Sudah bermacam-macam cara yang dilakukan untuk membendung perkara ni tetapi saya berani katakan bahawa isu ini bukan dapat dibendung bahkan makin parah. Semua pihak cuba mengeluarkan idea bagaimana untuk menangani perkara ni termasuklah dari pihak NGO, parti-parti politik dan sebagainya.

Apa yang saya dapat lihat dari pandangan saya yang lemah ni, kita tidak cuba untuk menyelesaikan masalah ini bermula dari puncanya. Sebagai contoh, diadakan kempen supaya tidak dibuang anak yang dilahirkan luar nikah. Baguslah, tetapi adakah itu masalah utamanya? Persoalannya, bagaimana boleh lahirnya anak luar nikah?

Ya, anak luar nikah atau anak tidak sah taraf dihasilkan melalui persetubuhan yang dilakukan tanpa melalui proses yang sah iaitu NIKAH. Jadi, masalah utamanya ialah ZINA! Tanpa zina, tidak wujud anak luar nikah dan tanpa anak luar nikah tidak wujud masalah bayi dibuang akibat malu dengan masyarakat.

Apa yang menyedihkan ialah kempen untuk menjauhi zina amat kurang dilakukan di Malaysia dan boleh dikatakan terlalu sedikit berbanding 'kempen untuk berzina' yang dijalankan secara tidak rasmi. Kita semua diasak dengan hiburan-hiburan yang melalaikan dan akan menggalakkan berlakunya penzinaan. Mungkin pedih untuk ditelan tapi ini hakikat yang perlu diterima.

Hari ini, jika kita pergi ke konsert-konsert...adakah diasingkan lelaki dan perempuan?

Jawapannya sudah tentu TIDAK. Bila bercampur lelaki dan wanita dalam keadaan berasak-asak dan berhimpit-himpit maka syaitan pun mula mengambil tempat untuk memanipulasi nafsu ke arah yang tidak sepatutnya...na'uzubillah. Buktinya kita boleh lihat pada malam sambutan tahun baru atau malam sambutan kemerdekaan, berapa ramai yang tewas dan melahirkan hasilnya 9 bulan kemudian yang kemudiannya di letakkan di dalam tong-tong sampah... dan yang lebih teruk lagi dicampak dari tingkat lima! Semata-mata malu dengan manusia tapi tidak dengan Allah s.w.t.

Saya tidaklah menyalahkan konsert semata-mata tetapi yang utamanya adalah apabila lelaki dan wanita tidak ada lagi batas-batas dalam pergaulan. Bertepuk tampar di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram sudah menjadi biasa bagi masyarakat kita dan tidak lagi dianggap tidak sopan dan lebih teruk lagi sudah tidak rasa berdosa kepada Allah s.w.t.

Susah bagi kita untuk merubah secara keseluruhannya kerana ia seolah-olah sudah di'halal'kan di dalam negara kita ini. Jika kita membuka TV ia perkara biasa, baik dikalangan pemimpin mahupun orang biasa. Jadi, jalan yang terbaik adalah mengubah diri kita sendiri dahulu. Ketahuilah, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun.

InsyaAllah, andai pergaulan dapat dijaga..zina boleh dielakkan dan tidak akan lahirlah anak yang tidak berbapa dan insyaAllah isu bayi-bayi yang dibuang dapat dibendung. Mulakanlah perubahan dari diri anda supaya bayi yang layak dibelai tidak menjadi penghuni tong-tong sampah. Ingatlah Allah sentiasa memerhatikan kita walau dimana kita dan apa yang kita lakukan..fikir-fikirkanlah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...