29 Januari 2016
23 Julai 2015
Tidurlah Lena
Lenalah kawanku
Tidurlah dalam angin yang kian membusuk
Tepuklah bantalmu yang kian berhabuk
Rasakan tenangnya bunyi-bunyi enjin itu.
Lenalah kawanku
Di bawah pohon yang tidak berdaun
Di tepi sungai yang semakin keruh
Di bawah langit yang kian mencengkam.
Lenalah kawanku
Usah dipeduli orang-orang itu
Sibuk dengan rumpun yang hijau
Pedulikan jiwa-jiwa alam itu.
Lenalah terus kawanku
Satu hari kau akan bangun
Bila bumi ini sudah diam
Tanpa bunyi unggas
Tanpa jernih sungai
Tanpa biru langit
dan tanpa angin lembut.
Ingat, jangan bising waktu itu
Kerana orang lain pula mahu tidur
Mengganti penat waktu kau lena.
Tak mengapa kawan,
tidurlah dahulu.
16 Jun 2015
Tenung Renung Menung
Kosong
Aku cuma bermenung
Sesekali tersengguk-sengguk
Di ruangan berpenghuni ini
Sunyi
Di benak fikirku
Kiri kanan nada berlagu
Aku juga yang masih termangu
Sesekali aku terbang
tinggi dan makin tinggi
jauh dan makin jauh
Menuju puncak yang aku tak pasti
Aku melayang jauh
Lembut angin menolak aku
terjatuh dengan lembut
Bagai mimpi indah mengulit pagi
Seakan aku diruang infiniti.
Aku harap begitu,
tapi hakikatnya
aku masih di sini.
Kosong.
15 April 2015
23 Mac 2015
Bisik Nafsi
Aku masih mencari
Mana letaknya erti
Ku laungkan sendiri
Yang bergema cuma sepi
Aku cuba untuk berdiri
Dalam kudrat yang diberi
Melata aku sendiri
Di awangan aku berlari
Aku pintal buih mimpi
Agar kekar menjadi realiti
Ku rempuh ilusi
Ku pasakkan impi
Cuma,
Aku belum pasti.
-fikirsekejap-
14 Mac 2015
Hamba Siapa?
Celik.
Bangun.
Dengar.
Buat.
Taat.
Diam.
Tidur.
Sekadar inikah maknanya hidup?
Tidak, kot.
Sekurangnya bagi aku.
Hanya Allah dan Rasul yang tak mampu ku bantah.
Yang lain?
Entah.
.
.
.
Sudah-sudahlah.
12 Januari 2015
Antara Dua Hati.
Lepas maghrib tadi ada kuliah maghrib kat masjid tempat aku. Habis kuliah ustaz tu pun baca doa dan diaminkan oleh para hadirin.
Lain macam ustaz yang tazkirah malam ni, dia punya doa panjang betul. Tapi nasib baik dia baca bahasa melayu. So aku dapat faham la apa yang di doakan.
Mula-mula aku cuba hayati doa yang ustaz tu baca. Maklumlah bahasa melayu. Lama-lama, terdetik pulak dalam hati aku, "panjang betul doa ustaz ni."
Tapi aku aminkan jugak la walaupun fokus aku agak lari bila makin panjang ni.
Ustaz tu berdoa macam-macam. Antara yang aku dapat ingat, akhir-akhir doa dia ada mintak dijauhkan dari azab neraka untuk semua hadirin yang ada.
Tiba-tiba aku dengar bunyi teresak-esak kat belakang aku. Bila aku toleh, aku nampak seorang budak, maybe dalam darjah 4 ke darjah 6 kalau ikut pandangan aku.
Budak tu tadi masa kuliah maghrib dia terpusing-pusing seorang diri dalam masjid. Tapi bila imam baca doa, dia teresak-esak menangis. Betul ni, dia bukan nangis sikit-sikit tapi teresak-esak.
Nak kata dia bergaduh, aku rasa tak. Sebab dari tadi dia sorang-sorang je.
Lembutnya hati budak tu. Aku start perasan dia menangis masa imam mintak dijauhkan dari azab neraka yang amat menyiksakan.
Abang doakan kau jadi anak yang baik dik. Semoga kau jadi anak yang soleh untuk kedua ibu bapa kau dunia dan akhirat.
Beza betul aku dengan budak tu. Aku mula hilang fokus bila ustaz baca doa panjang-panjang tapi budak tu tersentuh hati sampai teresak-esak bila berdoa.
Siapa yang matang sebenarnya ni?
11 Januari 2015
Merenung malam
Tegak
Entah kemana
Mataku memaku.
Jujurnya tiada apa
Cuma melayan hati yang meliar
Berkeliaran
Entah mencari apa
Aku sendiri keliru.
Aku sesat dalam peta
Yang dipagarkan untukku
Dan kita
Oleh manusia-manusia
Cerdik pandai,
Katanya.
Meluruskan akukah
Atau membantutkan akukah
Aku keliru.
Aku masih disini
Apa ku memburu mimpi?
Atau ku membina impi?
Atau hanya terperuk disini
Tika yang lain sudah mampu menggapai fantasi
Tuk dipeluk erat menjadi realiti.
Kiri kanan riuh
Tapi kosong tak terisi
Atau
Apa cuma aku yang berilusi?
Masihku mencari
Makna diri belum kutemui
Sepi bukan tidak berteman
Sunyi bukan keseorangan
Masih mencari yang hakiki.
Tuhan,
Temukanku ketenangan
Untuk kubuat bekal perjalanan
Merentasi alam-Mu ini,
dengan lebih rasa hamba.
4.00 a.m.
[Catatan pagi-pagi buta]
-fikirsekejap-
28 September 2014
Sahabat
21 Julai 2014
Cerpen: Fendi, Jajah Dan Orang-Orang Kampung.
Pintu rumah ditendang dengan sekuat-kuatnya.
Fendi sekeluarga terkejut. Along dan angah segera berlari masuk kedalam bilik di sebelah ruang tamu rumah. Pintu itu ditendang lagi berkali-kali sehingga menggegarkan dinding di sebelahnya sekali. Bingkai-bingkai gambar juga sudah bergoyang-goyang, bahkan ada yang sudah terjuntai hampir terjatuh kerana gegaran yang datang dari pintu itu.
Isteri Fendi yang sedang mendukung anak kecilnya ketakutan dan memegang lengan Fendi dengan terketar-ketar. Pintu masih lagi ditendang-tendang dari luar. Fendi yang sebentar tadi kelihatan terkejut mula berubah riak menjadi marah. Matanya direnung dalam-dalam ke arah pintu tersebut.
Dia sebenarnya tahu angkara siapa itu.
Seorang manusia yang tak bernama. Eloklah kita panggil dia Jajah sahaja. Jajah sebenarnya sudah lama berada di dalam kawasan rumah Fendi sekeluarga, bahkan Jajah juga berkeluarga.
Jajah sebenarnya hanyalah seorang penumpang di rumah Fendi.
Asalnya Jajah dihantar oleh ketua kampung berseorangan ke rumah Fendi dek kerana dia tidak berumah. Entah apalah yang bersarang di kepala ketua kampung pada ketika itu. Jajah tidak berumah, maka dihantarnya ke rumah Fendi.
Pada mulanya Fendi tidak bersetuju dengan tindakan ketua kampung itu, namun apakan daya, seluruh penduduk kampung telah bersetuju dengan keputusan itu kata ketua kampung. Entah iya entah tidak, tidaklah pula diketahui Fendi.
Maka dipersetujui sahajalah oleh pihak Fendi akan keputusan itu. Namun Fendi bersetuju dengan bersyarat. Antaranya ialah Jajah hanya boleh tinggal di sebuah bilik kecil yang berada di sebelah kawasan anjung rumah Fendi sahaja. dengan erti kata lain tidak dibenarkan sama sekali menjejakkan kai ke dalam rumah Fendi.
Keputusan itu Fendi lakukan dengan hati yang amat berat dan dipaksa-paksa. Bukanlah Fendi tidak menyukai tetamu tetapi dia sudah sedia maklum dengan perangai Jajah. Sebelum itu Jajah sudah banyak menumpang di rumah-rumah sekitar kampung itu. Dan di setiap rumah yang ditumpangi Jajah jugalah banyak kerosakan yang Jajah lakukan. Namun terpaksa diterima jugalah keutusan itu dengan berat hati dan di optimiskan fikiran, Jajah dah baik. Kot.
Hari-hari berlalu. Nampaknya Jajah belum berubah.
Semakin hari dia semakin menunjukkan taringnya. Dia sesuka hatinya masuk ke dalam rumah Fendi. Menggunakan sesuka hatinya apa-apa sahaja yang berada di dalam rumah Fendi seperti barangnya sendiri. Fendi cuba bersabar pada mulanya, tetapi nampaknya Jajah memang tak tahu malu. Sudahlah habis dibuat semacam rumah sendiri, dibawa pula anak dan bini masuk kedalam rumah Fendi.
Satu demi satu bilik di rumah Fendi diambil Jajah. Untuk anaknya, untuk bininya. Itu hak dia katanya.
Bukan tidak pernah diadukan soal ini kepada ketua kampung, namun seolah-olah bercakap dengan tiang konkrit yang tak punya nyawa dan akal. Bisu, tak seperti saat mula-mula Jajah dihantar ke rumahnya dahulu. Cuma kadang-kadang ada jugalah ketua kampung mengambil tindakan, itu pun kalaulah boleh dikategorikan sebagai tindakan. Ketua kampung akan berdiri di tingkap sebelah rumah Fendi sambil melaungkan sesuatu seolah-olah sedang memberi nasihat kepada Jajah. Selepas itu hanya berlalu pergi begitu sahaja. Jajah dengar ke tak dengar ke, lantak lah.
Begitu juga jiran-jiran Fendi, mereka nampak apa yang berlaku tapi di diamkan sahaja. Apatah lagi jika kelibat Jajah kelihatan mengintai dari celah-celah tingkap. Alamat terkatup rapatlah tingkap-tingkap rumah mereka seolah-olah seekor kambing yang baru terlihat kelibat seekor serigala. Kecut!
Pernah suatu hari, anak Fendi turut dicederakan anak-anak Jajah. Fendi betul-betul marah, sudahlah menumpang, berani pula membuat onar kepada keluarga Fendi.
Fendi cuba berbincang lagi dengan ketua kampung. Namun seperti biasa, ketua kampung akan 'bising' di tingkap rumah Fendi sebentar kemudian balik menyambung semula kopi panas dan karipap sejuk di atas meja rumah mewahnya.
Jiran-jiran?
Seperti biasa juga. Tak perlu nak cerita panjang-panjang. Diplomatik kata mereka, atau dalam kata lainnya bacul.
Begitulah yang terjadi kepada keluarga Fendi bertahun-tahun. perkara yang sama berulang-ulang. Setiap inci rumah Fendi mula bertukar perlahan-lahan menjadi kawasan jajahan jajah. Sesuai dengan namanya. Seolah-olah kini Fendi pula yang menumpang di rumah Jajah. Dia yang perlu meminta kebenaran setiap kali mahu keluar dan masuk dari rumah itu.
Sehinggalah kini hanya sebahagian kecil sahaja kawasan rumah ini yang benar-benar Fendi dan keluarganya dapat duduk aman, itu pun kadang-kadang diganggu juga si Jajah tak tahu malu itu.
Dan hari ini, kawasan kecil ini pun jajah mahu ganggu.
Fendi sudah nekad. Direnungnya pintu itu tajam-tajam. Menunggu kelibat Jajah muncul.
Bam!
Pintu itu akhirnya rebah menyembah bumi.
Kelibat Jajah beserta senjata di tangannya muncul di sebalik cahaya luar yang menyilau mata.
Fendi memberi isyarat kepada isterinya supaya bersembunyi bersama dua lagi anak mereka di sebuah bilik. Fendi bangun lalu mencapai sebuah kayu besbol yang terletak di sebelah TV LED 24 inci itu.
Jajah tidak mahu membuang masa, diserangnya Fendi dengan sebilah pedang yang tajam berkilat.
Fendi berjaya mengelak serangan itu. Di pusingkan badannya 360 darjah sambil tangannya menghayunkan kembali kayu besbol itu tepat ke muka Jajah. Jajah jatuh kebelakang, namun muka bengisnya masih menyimpan seribu niat hitam.
Jajah kembali melancarkan serangan kepada Fendi. Berlaku pergelutan yang dahsyat di antara mereka. Saling serang-menyerang dan bertahan. Kedua-duanya sudah luka-luka dan cedera.
Dalam pergelutan yang kelam kabut itu entah bagaimana Fendi berjaya mengatasi Jajah walaupun dia hanya bersenjatakan kayu besbol yang sudah lama berbanding Jajah yang bersenjatakan pedang baru yang tajam berkilat. Mungkin kerana semangatnya yang berkobar-kobar mahu bebas dari manusia seperti Jajah. Itu pun jika dia layak dipanggil manusia.
Fendi kini sudah berada di atas Jajah. Pedang jajah sudah tercampak. Dia sudah cedera.
Fendi kini hampir menghirup udara keamanan dan kebebasan. Tiba-tiba kedengaran suara dari luar.
"Sudah-sudah lah tu Fendi! Tak ada apa yang kamu dapat dengan bergaduh tu! Berdamailah!"
Fendi bangun dan mengintai keluar rumah.
Dilihatnya ketua kampung ada di halaman rumah bersama beberapa orang jiran-jiran sekampungnya.
"Sudahlah, lupakan yang keruh ambil yang jernih. Berdamailah!" seru ketua kampung lagi.
Fendi buntu. Dia kecewa. Kenapa ketika ini ketua kampung muncul dan cuba bersungguh-sungguh mengajak perdamaian? Kenapa bukan ketika rumahnya dijajah sesuka hati? Kenapa bukan ketika anaknya dicederakan anak-anak Jajah? Kenapa bukan ketika kebahagiaan keluarganya dicuri jajah? Kenapa mesti saat Jajah sudah mula cedera dan Fendi sudah mahu mula membebaskan rumahnya dari Jajah?
Kenapa?
Diperhatikan beberapa orang kampung yang bersama ketua kampung itu terangguk-angguk bersetuju dengan kata-kata ketua kampung itu. Walhal sebelum ini di mana mereka saat Fendi ditindas di rumah sendiri?
Kelihatan Jajah tersenyum sinis dari balik pintu rumah. Senyuman kerana dia selamat dan dapat meneruskan lagi kejahatannya di rumah Fendi.
Fendi buntu dan keliru, siapa yang menindas dan ditindas ni?
Siapa yang menjajah dan dijajah sebenarnya?
Kayu besbol yang dipegangnya terlepas ke lantai. Serentak dengan hatinya kecewa.
.
.
.
.
.
Apakan daya.
Selamat datang ke teratak Fendi yang bernama Gaza.
28 Jun 2014
selamat datang!
keriuhan kian ramai
anak-anak kecil berlari-lari riang
ibu-ibu tersenyum di cermin
membetulkan telekung mereka
bapa-bapa berwuduk
membasahkan anggota
meluruhkan dosa-dosa
anak-anak muda tersadai
namun bersedia untuk bangkit
bila tiba masanya
tumbuh-tumbuhan terus berzikir
bintang dan bulan mengukir senyum
alam tertawa riang
melihat manusia teruja
tanpa perlu dipaksa
rumah-rumah tuhan semakin padat
disendatkan sosok-sosok hamba
mengabdi diri penuh rasa
menikmati bulan mulia
kami gembira
selamat datang Ramadan
Ramadan kareem!
-fikirsekejap-
19 Mei 2014
Pilih Dunia
15 April 2014
Berani Meneroka
24 Mac 2014
Mendung Lautan Hindi
Bukan dalam sorak sorai
Tapi dalam tangis yang terburai.
Aku lega
Walau tidak seperti yang dijangka
Bukanlah seperti yang dipinta
Sekurangnya ada khabar berita
Hanya kini air mata yang diseka.
Jodoh kita tidak panjang
Saat kau mula menghilang
Kami tercengang.
Berhari-hari kau dalam doa kami
Kerana kami rakyat malaysia
Dan kerana kami manusia
Kami saksi riak sedih ibu bapamu
Kami lihat tangis harap adik beradikmu.
Kami tak ingin berpisah begini
Kami tak pinta kau pergi begini.
Tidak
Kami tak menyesal mengirim doa
Jauh sekali menyesali qada'-Nya
Tapi ya, kita manusia
Ada jentikan sedih bertandang dijiwa.
Aku tak kenal kau
Kau tak kenal aku
Kita tak pernah tau
Aku tetap mendoakan mu dulu
Mengharap kembali kepada ayah dan ibumu
Dan, itu tak mungkin lagi berlaku.
MH370 kau catatan duka negara bertuah ini
Sampai bila kau terus diingati
Dalam setiap denyut nadi
Rakyat Malaysia yang sejati
Tuhan Maha Tahu
Segala yang berlaku
Sedih dan pilu ku utus buatmu
MH370 dan anak-anak kapalmu.
Tenanglah kita dalam duka.
-fikirsekejap-
10 Februari 2014
Abah
Dia penunjuk jalanmu
15 Januari 2014
Cerpen: Sentiasa Ada Dia
Tina menangis teresak-esak sendirian di dalam bilik tidurnya yang sedikit kelam. Hanya sedikit cahaya dari lampu meja di sebelah tepi katilnya yang dinyalakan. Air matanya mengalir laju sederas perasaan sesal dan kecewa yang menyelubungi jiwa wanitanya.
Walau harapannya semakin kabur namun dia perlu terus berharap, pada siapa dia tidak tahu. Seakan Tuhan yang disembahnya selama ini hilang, walhal Dia sentiasa ada, cuma bila emosi mengatasi iman, syaitan mula mengambil peranan.
Berkali-kali Tina mencuba, masih gagal. Barangkali Zaidi benar-benar memaksudkan kata-kata terakhirnya sebelum ini.
"Sama ada you gugurkan baby tu atau kita putus, that's it!"
Kata-kata itu menyentap hulu jantung Tina. Badannya melemah tak bermaya, lidahnya kelu dan fikirannya kosong. Dia bungkam sejurus ketika lafaz itu dilontar Zaidi.
Dan dek kerana kata-kata tak berperikemanusiaan dan tidak bertanggungjawab itulah Tina begini sekarang. Sendirian menumpang disebuah bilik salah seorang rakannya, yang sebenarnya boleh dikatakan bukan sebagai rakannya dahulu. Dahulu, Farisya inilah yang selalu dihina-hina oleh Tina kerana selalu cuba menasihatinya.
Memang mereka berdua bukan rakan yang baik namun mereka sudah lama berkenalan, sementelah lagi ibu dan bapa Tina dan Farisya memang akrab sejak dari zaman muda lagi. Dan kerana rasa bertanggungjawablah Farisya selalu menghulurkan kata-kata nasihat yang lembut buat Tina, namun hanya dibalas dengan caci maki dan herdikan dari Tina yang ketika itu mabuk dilambung ombak cinta, kononnya.
Urat-urat kelihatan timbul didahi Tina bila dia meneran keluar air matanya yang semakin kurang bakinya. Dia mahu menangis semahunya dan mahu melepas perasaan semahunya. Sekiranya mampu, dia mahu menjerit memberitahu seluruh dunia bahawa dia menyesal dan sedih dengan apa yang berlaku. Telefon pintar yang digenggamnya tadi dilontarkan semahunya ke arah dinding bilik tidur itu. Pecah dan berderai seperti harapan Tina sebentar tadi. Kini dia sudah putus harapan dan buntu.
Tiba-tiba dia terlihat sebilah pisau lipat yang berada di atas meja tulis dihujung penjuru bilik yang kelam. Makhluk terkutuk syaitan lantas segera berperanan, ini peluangnya memesongkan anak cucu Adam a.s sehingga ke penghujung nafas terakhirnya.
Satu kepuasan bagi syaitan dapat memesongkan dan menyesatkan bani Adam sampai saat roh ditarik keluar dari jasad oleh malaikat Izrail. Seorang yang hidupnya dipenuhi pengamalan kepada Allah s.w.t yang esa, namun mati dalam berbuat dosa membunuh dirinya sendiri. Pengakhiran nafas dalam dosa, alangkah mahunya si syaitan laknat itu!
Tina bangun perlahan mendekati meja tulis itu sambil diseka air mata yang berbaki. Dia sudah tidak mahu air tragis yang meleleh dari bebola matanya itu. Yang dia mahu kini adalah penamat, penamat yang mampu menamatkan luka-luka yang tergores didadanya. Luka yang di tarah Zaidi yang merosak dan membuangnya, luka yang ditoreh keluarga dan masyarakat yang menghinanya diatas kesilapan dia sebelum ini. Dia mahu luka itu hilang. Jika tidak boleh sembuh, biarlah nyawa ini sahaja yang ditamatkan agar sakitnya hilang.
Bisiskan syaitan meresap perlahan-lahan dalam hatinya.
Tangannya pantas mencapai pisau itu dan dia kembali duduk dibucu katil. Lengan bajunya yang panjang diselak menampakkan pangkal lengannya yang putih melepak. Pisau lipat dibuka dan ditenung. Segalanya harus ditamatkan, ia perlu berakhir sekarang. Tina tidak sanggup lagi berdepan hari esok tanpa harapan.
Hujung pisau yang tajam diletakkan perlaha-lahan diatas lengannya. Matanya dipejam. Nafasnya dihela perlahan dan mendalam.
"Selamat tinggal dunia" bisik hatinya perlahan.
Tiba-tiba telinganya mendengar satu suara sayup dihujung kelam malam. Suara itu nyaring namun didengar sayup dek kejauhan lontarannya. Tina mengalihkan kembali pisau dan diletakkan di atas katil. dia mengamati suara itu. Matanya masih terpejam tetapi kali ini kerana menumpukan sepenuh perhatian kepada suara itu.
Di celah kelopak matanya yang tertutup timbul air-air jernih yang mengalir keluar. Itu adalah ir matanya yang tadi mengalir kerana kecewa namun kini ia mengalir semula kerana harapan.
Tina baru tersedar. Suara sayup azan Subuh adalah adalah sapaan dari Allah buat Tina yang sudah hampir-hampir tertipu dengan syaitan yang dilaknat. Tina kembali sedar bahawa harapannya yang terputus adalah kepada makhluk-makhluk tuhan namun tidak kepada tuhan. Allah sentiasa ada menawarkan harapan untuk bertaubat. Dia tidak pernah memulaukan hamba-hambaNya yang insaf, menyesal dan mahu bertaubat. Hanya makhluk-Nya sahaja yang berlagak tuhan, membuang si pendosa yang mahu berubah dan insaf namun tidak bagi Dia, pemilik alam Yang Maha Agung.
Pintu taubat sentiasa terbuka, pintu harapan sentiasa ada. Yang penting teruslah percaya dan meletakkan pengharapan kepada-Nya. Kali ini, air mata Tina lebih laju. Dia bersyukur disedarkan tuhan saat-saat akhir kehausan harapan.
Tiba-tiba pintu bilik dikuak, Farisya terpacak disebalik pintu yang terbuka. Niatnya mahu mengejutkan Tina untuk bersolat subuh namun dia pula yang terkejut melihat Tina sedang teresak-esak dibucu katil dan disebelahnya ada pisau lipat yang sedikit tersembunyi dicelah-celah cadar yang berkedut.
Farisya berlari mendapatkan Tina dan terus memeluknya.
"Awak okey Tina?" soalnya smabil memeluk Tina.
"Okey, alhamdulillah" Tina cuba menjawab soalan Farisya.
Farisya melonggarkan pelukan dan berpaling mengambil pisau lipat disebelah mereka.
"Ini..?" Farisya bertanya sambil merenung Tina.
Tina hanya menggeleng-gelengkan kepala sahaja sambil senyum nipis cuba diukir.
"Alhamdulillah Allah masih sayangkan saya. Saya hampir melakukan perkara yang salah tetapi saya tersedar yang kepada Allah jualah baliknya segala harapan kita. Jika kita tamatkan hidup dengan cara yang dibenci Allah, apa maknanya terlepas dari masalah dunia. Masalah yang lebih besar menanti di akhirat," Tian semakin rasional, dia tidak lagi dipandu nafsu yang menjadi permainan syaitan.
"Alhamdulillah.." Farisya lega mendengar pengakuan Tina.
Kemudian dipeluknya semula Tina seeratnya dan dibisikkan ke telinga Tina.
"Jom kita sama-sama cari Allah. Pedulikan makhluk-Nya yang membising, Dia Maha Menerima Taubat.."
Dan pelukan keduanya semakin erat kerana Allah, tuhan yang sentiasa menawarkan harapan kepada hamba-Nya. Dialah Yang Maha Menerima Taubat, pohonlah ampun kepada-Nya.
Subuh yang hening itu, syaitan terluka.
06 Januari 2014
Persoalan
17 Disember 2013
Itu Cinta
Sifatnya itu meluaskan kesempitan
Sifatnya itu mencerahkan kegelapan
Sifatnya itu membenarkan kebenaran
Sifatnya itu menenangkan kegelisahan
Sifatnya itu mencerdaskan kebodohan
Belumlah kita bertemu puncaknya
Bila hanya berkongsi sesama makhluk
Tidaklah bertemu matlamatnya
Bila sekadar berpuas-puas di laman fana.
Pencarian hakikatnya
Tidak ditemui di pinggiran ikhlas
Cuba singkapi tabir diri
Asal hidup fitrah insani.
Itu sifatnya cinta
Merangkul jiwa kepada-Nya.
-fikirsekejap-
22 November 2013
Couple Dan Cikgu
Aku pernah jadi cikgu..atau guru..atau ustaz..atau muallim..atau apa-apa je la panggilannya..
Yang penting aku pernah jadi salah seorang tenaga pengajar dalam Malaysia ni. Aku mungkin la tak berapa lama sangat dalam bidang tu, jika dicampur dua tempat yang aku pernah mengajar..adalah kira-kira dalam dua tahun pengalaman aku mengajar budak-budak.
Dan sekarang, aku dah kembali jadi pembelajar..atau bahasa mudahnya pelajar pun boleh.
Tapi akhir-akhir ni aku jadi gelisah, rasa risau yang amat sangat tengok budak-budak sekarang. Terutamanya anak-anak murid aku. Ataupun lebih tepat lagi bekas anak-anak murid aku.
Banyak kali jugak aku waktu aku sedap-sedap scroll kat dinding facebook tu aku jumpa benda yang tak sedap untuk dibaca dari anak murid aku. (untuk pengetahuan anak-anak murid aku sekolah rendah lagi)
Kata-kata cinta, jiwang..bergurau senda bab kahwin-kahwin dah macam orang tua pulak aku tengok. Bercakap bab couple secara umum padahal dah tau cikgu dia pun tengah baca apa yang dibualkan. Sikit pun budak-budak sekarang tak heran. Couple ni dah jadi macam sesuatu yang wajib untuk dicuba pulak.
Tak cukup dengan tu, ada pulak yang mengopy paste lawak-lawak double meaning malam jumaat dekat wall. Budak sekolah rendah ni..aduhh..risau betul aku dengan anak-anak sekarang.
Aku bukanlah suka nak salahkan sana-sini tapi harus dicari punca masalah. Kan?
Dan sekali lagi, aku suka cakap media massa yang terlalu open minded..it is a big problem for our child!
Bayangkanlah..sekarang ni tengok maharaja lawak pun nak berdouble meaning. Tolong la wei..fikir la sikit anak-anak yang tercongok depan TV tu. Kalau tak kisah anak-anak sendiri nak berfikiran lucah sejak kecil, jangan nak merosakkan pulak anak-anak orang lain.
"Siapa suruh tengok!"
Nanti ada la yang bagi ayat pandai macam tu. Dah benda umum nak dihalang pun susah..kan lebih baik mencegah dari mengubati. Mak bapak kat rumah pun ada kerja lain jugak dari 24 nak duduk depan TV menapis apa yang anak-anak tengok.
Tak campur lagi dengan filem yang bertitle 'U', tapi dalam masya-Allah. Babak rogol pun nak difilemkan. Memang la tak tunjuk pun kemaluan pelakon-pelakon tu tapi fikir la apa kesannya pada anak-anak yang menonton babak rogol dari kecil.
Sungguh, aku risau sangat tengok anak-anak murid aku. Depan-depan cikgu boleh mengorat lelaki dengan perempuan. Tak makan saman sungguh!
"Alah, anak murid je pun buat apa nak risau lebih-lebih. Over la!"
Ha, itulah yang orang tak tau fasal cikgu. Kebanyakan yang orang tau sekarang, "cikgu jangan merotan", "cikgu jangan mendenda", cikgum jangan itu, cikgu jangan ini. Itu je la yang orang banyak tau. Jiwa cikgu yang sayangkan anak-anak murid dia hampir langsung tak dilihat masyarakat.
Macam aku, walaupun dah berhenti jadi cikgu tapi aku masih risaukan anak-anak murid aku atau lebih sesuai macam adik-adik aku sebab aku masih muda lagi. Once you be a teacher, always a teacher.
Sebab apa aku risau? Sebab aku sayangkan anak-anak murid aku tu, aku nak diorang jadi anak yang berguna pada agama dan berjaya dunia dan akhirat. Itulah yang ada dalam hati para guru yang selalu dikecam dan dimarah kat sekolah-sekolah seluruh Malaysia ni. Kalau tak semua pun maybe most of them.
Kan dah tak pasal-pasal masuk cerita pasal cikgu pulak.
Yang paling aku risaukan, bagaimana anak-anak aku nanti?
Dalam suasana apa dia kan membesar?
Kalaupun dididik dengan cermat di rumah namun dunia sekarang terlalu 'terbuka'. Dia boleh dapat apa sahaja melalui kawan-kawan, media dan persekitaran. Moga Allah melindungi kita dan keturunan kita dari fitnah dunia sekarang.
Opss..sebelum terlupa. Bagi para guru, elakkan dari bergurau dengan menjodohkan ank-anak murid anda. Si A minat kat si B. Si C minat kat si D.
Ye, sebagai orang yang pernah bergelar guru. Aku faham itu hanya gurauan untuk menggembirakan suasana. Namun gurauan itu kadangkala menjadikan anak-anak kita memandang positif kepada budaya couple yang pada aku sangat banyak negatifnya. Dan yang lebih buruk couple di usia yang muda. Sangat bahaya!
Jadi, hati-hatilah para guru di luar sana. Carilah modal lain nak bergurau. Aku pun pernah bergurau macam tu dan aku menyesal dengan cara gurauan aku tu. Semoga kita dapat mendidik dan memberi contoh yang terbaik untuk anak-anak didik kita.
Sekian dari aku yang masih berjiwa guru, semoga Allah membimbing kita ke jalan yang diredhai-Nya.
AMARAN: Tulisan ini mengandungi ejaan bahasa melayu yang salah dan bahasa rojak. Sila jangan tiru untuk jawab periksa. :)
14 November 2013
Tak Jumpa.
Jemari menari-nari
Tak berentak
Akal berpusing-pusing
Tak berirama.
Jari dan hati tak senada
Hati mahu
Tapi jari tak tahu
Akal membuntu.
Mata meligat
Menatap papan berhuruf
Masih kosong
Belum ketemu.
Kuseru
Kucari
Kuintai
Tapi belum juga ketemu.
Dimana ilham?
-fikirsekejap-

