free counters

22 September 2013

Langkah



Langkahan-langkahan ini
Terkadang teguh dan kukuh
Tak tersadung dek kerikil-kerikil jalanan
Melaju megah bak pahlawan gagah.

Langkah ini jugalah
Terkadang longlai tak bertenaga
Terbuai dek angin menghembus lembut
Terleka menghayun
Tanpa mempedulikan susur denai mana yang dilangkahi
Tanpa menilai tujuan disetiap persimpangan.

Langkah-langkahku terus melangkah
Gagah ku tempuh tak rebah
Lemah ku hayun tak tumbang
Harapan ku pautkan kepada Rabb-ku
Untuk mencari makna destinasi.

Langkahku ini
Diatur Yang Abadi
Perjalanannya Dia memperinci
Kekuatannya Dia memberi
Tugasku - wajib untuk mengabdi.

Langkah-langkah teman dan lawan
Aku perhati dan saksikan
Juga sepertiku
Gagah dan lemah bergantian
Kesamaan kita adalah kesilapan
Cuma bagaimana kembali kepangkal jalan
Untuk mencari pedoman
Akan membezakan.

Langkah-langkah kita
Tak seirama sentiasa
Aku, kau dan dia
Kita manusia yang punya beza
Tapi bukan punya lain kemanusiaannya.

Oh tuhan
Padukanlah langkah kami
Buat mencapai redha dari-Mu!

-fikirsekejap-

07 September 2013

Melangkah Ke Hadapan

Terima kasih  :)


Perubahan.

Manusia sentiasa memerlukan perubahan. 

Dari tadika ke sekolah rendah. Dari sekolah rendah ke sekolah menengah. Dari sekolah menengah ke universiti. dari universiti ke alam pekerjaan.

Kita memang sentiasa berubah. Mahu atau tidak, bersedia atau belum, perubahan pasti akan menjelma dalam kehidupan kita.

Tetapi harus juga kita akui ada sesetengah perubahan itu berat untuk dilaksanakan. Sangat berat untuk dihadapi namun kita harus memaksa atau terpaksa untuk melakukannya.

Berbagai-bagai perkara yang berlaku dalam hidup aku.

Antaranya aku pernah menyambung pelajaran ke peringkat universiti namun takdir tuhan telah menetapkan kisah aku di situ tidak panjang(tidak sekali-kali aku menyalahkan tuhan). Pelajaranku terkandas dan aku berhenti dalam perasaan yang bercampur baur. Sedih, gembira, berat semuanya bergaul sebati dalam akalku ketika tu. Tak perlulah aku ceritakan secara terperinci kisah itu.

Lalu aku pulang ke rumah menjadi seorang penganggur berwibawa( hehe..). Lebih kurang sebulan aku dirumah, cuba menginsafi diri atas apa yang berlaku dan belajar mengenal-Nya.

Tanpa dirancang aku mendapat tahu satu kekosongan jawatan di sebuah sekolah rendah swasta tak jauh dari rumahku. Masih lagiku berbelah bahagi. Mahu bekerja atau tidak? Kerana janjiku pada kedua ibu bapaku adalah untuk kembali menyambung pelajaran di universiti lain.

Kemudian, aku mengambil keputusan untuk bekerja 'sementara'(fikirku) di situ. Aku memohon kerja dan dengan izin-Nya juga tak sampai sehari temuduga berjalan aku ditawarkan jawatan sebagai guru disitu.

Aku masih ingat di minggu pertama aku bekerja, aku pernah berkata kepada salah seorang guru disitu, "aku kerja ni tak lama kot..mungkin dalam 2 ke 3 bulan je. Lepas tu sambung la belajar balik.."

Namun, sekali lagi takdir mengatasi perancanganku.

Alam pekerjaanku berlanjutan sehingga hampir 2 tahun. Berbagai-bagai perkara Allah s.w.t 'latih' aku dalam tempoh itu.

Berbagai-bagai aku diuji, aku bukan tidak mencuba untuk memohon menyambung pelajaran namun semuanya ditolak. Dan tuhan pasti ada perancangan-Nya yang kita tidak mengerti.

Aku meneruskan pekerjaanku dari sehari ke sehari, minggu ke minggu, bulan ke bulan dan akhirnya sehingga hampir 2 tahun aku disitu. Dari seorang yang tengah 'down' selepas pelajaran tertunda, aku diberi tuhan peluang untuk mengenal Sekolah Rendah Islam Indera Mahkota.

Akhirnya, aku mula belajar kembali menilai makna kehidupan melalui celah-celah sketsa kehidupan kanak-kanak. Aku mula menyedari bahawa kadang-kadang orang dewasa perlu juga belajar dari kanak-kanak.

Dan, aku mula menyayangi sekolah itu dan anak-anak atau adik-adik itu. Aku selesa disitu, bekerja dan berkhidmat mendidik anak-anak pewaris agama.

Dan dalam keselesaan itu, aku mengenal pula berbagai manusia, rakan-rakan guru, anak-anak didik dan rakan-rakan guru dari sekolah lain. Tuhan benar-benar mengajarku.

Mungkin Allah tidak mahu aku sentiasa berada dalam keselesaan yng memungkinkan aku terbabas landasan hidup, maka sekali lagi Allah s.w.t menginginkan aku untuk berubah.

Aku dikejutkan dengan panggilan dari sebuah universiti dari negeri Terengganu. Dan ini benar-benar mengejutkan kerana aku tidak memohon tetapi rupa-rupanya ibuku memohon secara diam-diam bagi pihakku.

Walaupun aku sebenarnya sudah tawar hati untuk menyambung secara full time belajar, namun panggilan yang diterima membuatkan aku berfikir berkali-kali. Beberapa kali aku melakukan solat istikharah.

Akhirnya aku menyedari yang aku harus akui tentang ketentuan-Nya.

Aku nekad menerima tawaran tersebut dan dalam masa yang sama aku harus menolak satu lagi tawaran dari sebuah universiti di Pulau Pinang yang menawarkan pengajian jarak jauh untukku.

Sekali lagi, tuhan menghendaki aku untuk melakukan perubahan.

Dan yang paling memberatkan hatiku sekarang adalah, aku sudah mula menyayangi sekolah itu, kerjaya dan anak-anak didikku. Sementelah lagi, anak-anak didikku tahun 5 ada peperiksaan besar yang perlu dihadapi dalam tempoh kurang sebulan dari tarikhku berhenti. 

Di hari terakhir aku berkhidmat di sekolah tersebut, aku benar-benar sebak namun kutahankan. Entahlah, mungkin ini ego seorang lelaki. Ditambah lagi dengan peristiwa surat dari anak didikku dari darjah satu, seorang anak yatim. Dia menulis agar aku jangan tinggalkan mereka. Selepas itu, dia ada berjumpaku dan memberitahu aku, " ustaz janganlah pergi..sambung je la belajar dekat sini..".

Kanak-kanak itu jujur dan kejujuran itu benar-benar mencengkam hati aku.

Ada antara mereka yang menulis surat menyatakan kesedihan dengan perpindahanku. Ada yang ber'chat' di facebook denganku bercerita kesedihan. Aku akui aku agak rapat dengan mereka, kerana aku suka 'masuk' ke dunia kanak-kanak dan 'belajar'.

Tapi aku sudah nekad, keputusan sudah dibuat dan aku akan teruskan sehingga berjaya. Insya-Allah.

Harapku semoga pengorbanan yang aku lakukan ini menjadi asbab dari tuhan untuk kejayaan aku dan anak-anak didikku. 3 tahun itu tak lama dan insya-Allah seandainya diberi peluang oleh tuhan, aku akan kembali menabur khidmat di sana. Sehingga bila, biarlah tuhan yang menentukan.

Kini, aku sudah mula memasuki alam perubahan seterusnya dalam fasa yang baru dalam hidupku. Dan aku bermohon kepada Allah s.w.t agar diberi kekuatan untuk aku melangkah satu demi satu anak tangga menuju kejayaan. Biarlah kejayaan itu berpaksikan redha dari-Nya.

Aku teringat pesan Dr Zulkifli al-Bakri yang aku dengar dalam rancangan Cnta Ilmu di tv Al-Hijrah, "Hendak belajar perlu merantau"(lebih kurang macam tu lah kata-kata beliau).

Dan kata-kata Dr Zaharuddin dalam bukunya 'Jangan berhenti berlari', "Cabar zon selesa anda ketika ini dengan perkara baru, ilmu baru, medan baru, konteks baru dan apa-apa yang lebih mencabar dan boleh menghasilkan kesan positif buat diri dan ummah".

Walaupun mungkin perantauan aku ini bukanlah terlalu jauh, tetapi ia memerlukan satu pengorbanan yang besar untuk aku keluar dari zon selesa itu. Semoga Allah redha.

Untuk anak didikku, kutinggalkan kalian dengan menggenggam satu cita-cita. Semoga kita bertemu nanti bersama-sama dengan cita-cita yang sudah kesampaian. 

Semoga kalian berjaya didunia dan akhirat!

Ya Allah, pandulah aku dalam redha-Mu...

18 Ogos 2013

Mendidik Generasi Pewaris

Mereka perlukan kita untuk mencorakkan mereka.
[Gambar hiasan]

Aku sangat-sangat terkejut bila ada terbaca satu blog yang menyiarkan cerita tentang dua orang budak lelaki melakukan onar di sebuah cyber cafe pada pagi raya.

Apa cer?

Ni ceritanya..

Menurut blog tersebut...pada pagi 1 Syawal yang lalu (1434H), disaat orang lain pergi beraya, ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan sesama sendiri, adalah kelibat dua orang kanak-kanak ni di sebuah cyber cafe. Diulangi, KANAK-KANAK..umur sekitar 9-12 tahunlah lebih kurang.

Dipendekkan cerita, dua budak ni ditangkap oleh pemilik cyber cafe tu sedang menonton video lucah dan apa yang lebih mengejutkan lagi...salah seorang dari kanak-kanak tersebut sedang melakukan onani. Ya, ONANI..ditempat awam, pada pagi raya tanpa rasa malu dan mereka adalah KANAK-KANAK ISLAM!

Aku difahamkan dari penulisan blog tersebut perlakuan itu dirakam melalui sebuah cctv tapi blog tersebut hanya memaparkan sedikit sedutan gambar dari kejadian tersebut. Mungkin menjaga aib mereka dan keluarga. Aku pun tak tengok video tu, cukuplah gambar-gambar yang dikaburkan tu mengguris hati aku ni.

Walaupun adik-adik kita tu dah melakukan sesuatu yang di luar jangkaan dan boleh dikategorikan sebagai teruk tapi eloklah jangan didedahkan identiti budak tu. Kita tak tahu masa depan dia macam mana, dia masih belum matang berfikir. Kesian, baru nak melangkah mengenal dunia, dah tersadung akar kayu tapi itu tak bermakna dia tak boleh bangun balik dan meneruskan perjalan sehingga ke puncak.

Kalau ada yang tahu identiti budak tu, simpan dan rahsiakanlah. Kita doakan itu pengajaran yang paling berharga dalam hidup dia dan semoga dia jadi Muslim yang sejati, insya-Allah.

Bila tahu tentang kejadian tu, buat aku terfikir. Di mana salah dan silap kita mendidik generasi mendatang?

Dengan cerita drama dan filem yang berunsurkan lucah bersepah diluluskan. Tak payah tengok jauh filem oversea, filem melayu sendiri pun dah melampau. Suka sangat buat unsur-unsur lucah dalam filem, ingat budak-budak tak faham ke? Bila dirangsang untuk tahu mulalah budak-budak ni cari alternatif sendiri untuk 'tahu' dengan lebih mendalam.

Bukanlah semata-mata kesalahan tu ada pada drama-drama dan filem-filem tapi perlu diingat, filem adalah satu medium yang memberi kesan yang amat kuat kepada pemikiran kanak-kanak. Apa yang ditonton akan memberi kesan kepada perlakuannya. Buktinya, berapa ramai kanak-kanak yang meniru gaya dan aksi-aksi watak kartun yang mereka tonton seperti Superman dan Power Rangers? Ramai..sangat ramai.

Kerana itu lahirkanlah sesuatu yang mendidik. Benar-benar mendidik, bukannya 60 minit babak negatif dan hanya 10 minit terakhir barulah ada adegan keinsafan. Ketahuilah, 60 minit itu lebih lama untuk 'mendoktrin' minda penonton.

Cukup-cukuplah dengan filem berunsur lucah, lawak-lawak lucah dan pemakain-pemakaian baju yang 'menonjol'kan segalanya. Kita sedang menuju kehancuran generasi mendatang, cukuplah.

Ok, cukuplah fasal filem.

Selain dari filem, pemantauan ibu bapa pun penting juga. Ambillah tahu apa sahaja tentang anak-anak. Kawan-kawannya, apa yang dilayari di internet, kemana dia pergi dan kehidupan hariannya. Ibu bapa perlu tahu!

Bukan mengongkong tetapi ibu bapa perlu tahu supaya apa yang salah boleh ditegur sebelum membarah.

Dunia hari ini penuh dengan fitnah dan pancaroba, kita mesti berhati-hati melangkahinya. Jangan sampai tersungkur dek kecuaian sendiri. Kelak merana diri.

Apa-apa pun, pastikan anak-anak dididik dengan ilmu agama yang cukup sedari kecil lagi dan bukan setakat anak-anak, ibu bapa juga perlu menunjukkan contoh kehidupan Islam kepada anak-anak untuk diikuti. Kadang-kadang masalah juga, anak-anak nak hantar pergi sekolah agama tapi mak bapak tak tutup aurat. Anak tak nampak praktikalnya ilmu yang dia pelajari di sekolah. Lagi teruk, ada mak bapak yang meracun fikiran anak-anak dengan bermacam alasan bila disoal mereka.

Ingat peribahasa Melayu, 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'.

Jangan sampai nasi menjadi bubur.

15 Ogos 2013

Saksi Bisu

[Gambar Google]

Dunia menjadi saksi bisu
Darah pekat mengalir laju
Keringat likat tumpah dibaju
Tak tersanggup untukku menonton kesengsaraanmu
Dalam penuh kebisuan itu.

Dalam jerit anak pejuang
Asap putih menjerut ruang
Dalam korban kian menjulang
Kami - masih hanya memandang.

Peluru itu kental mengasak benak kepala saudaraku
Gerombolan itu bersketsa kedamaian di pentas kaku
Ia sedang berlaku!
Namun kita masih lagi begitu
Susah mengutus sekeping doa syahdu
Buat saudara negeri jauh itu.

Tumbang, tumbang dan tumbang
Nyawa kalian melayang terbang
Setinggi semangat yang tak pernah hilang
Janji tuhanmu tetap dijulang.

Tanah kering Rabaah memujuk korban
Tika dipeluk para pejuang keadilan
Bumi itulah Firaun ditelan
Setelah bongkak menyusur zaman.

Saudaraku, kalian dalam doaku!

-fikirsekejap-
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...