free counters

27 Jun 2013

Senandung Semalam

[Gambar Google]

Senandung semalam
Kadang-kadang menjentik jiwa lara
Membelai sehingga tawa.

Senandung semalam
Kadang-kadang membenih bara
Membakar segala apa.

Senandung semalam
Adakala indah baitnya
Mengulit cuping telinga
Menggapai makna cinta.

Senandung semalam
Adakala kejam alunnya
Sedih menyelam lara
Pedih menusuk duka.

Senandung semalam
Janganlah ditinggal tak bermakna
Sesekali perlu diintai juga
Cuma berhaluslah bila disentuh kita.

-fikirsekejap-

24 Jun 2013

Jerebu 13

[Gambar Google]

Kelabu
Matahari tersipu-sipu
Disebalik asap dan debu
Angin berlalu
Hujan ditunggu
Belum bertamu
Manusia mula melesu
Dari asap yang dihidu.

Aku termangu
Pasti ada sesuatu
Teguran dari Tuhanku
Melaluimu
Jerebu.

-fikirsekejap-

03 Jun 2013

Ajak Buat Baik - Jom!

[Gambar Google]

Di mana kita tanpa dakwah? 

Di mana masyarakat kita tanpa dakwah?

Ramai sangat yang alergi dengan perkataan ni. DAKWAH. Bukan sebab benci tapi bila guna perkataan dakwah ni rasa tak sesuai. Rasa 'poyo'.

"Aku bukan ustaz..seganlah.."

"Alah..aku ni pun bukannya baik sangat.."

"Tunggulah aku bersedia dulu.."

Inilah antara sebab ramai yang alergi dengan perkataan ni. Ok, ni aku nak bagi satu penjelasan yang terang dan jelas ye. Baca elok-elok.

Anda tak perlu jadi seorang ustaz, ustazah apatah lagi tunggu ada gelaran Dr atau Prof untuk berdakwah!

Ramai lagi yang salah faham sebenarnya. Mengajak manusia kembali kepada Allah s.w.t itu adalah tugas kita semua. Tapi bila sampai kepada persoalan hukum-hakam dan sebagainya, kalau kita tak mahir eloklah diserahkan kepada yang mahir. Yang tu jangan pandai-pandai pulak.

Dakwah tu tanggungjawab kita selagi mana kita ni Islam. Tak kiralah kita ni artis ke, pemain bola ke, perdana menteri ke, pencuci jamban sekalipun..kita adalah pendakwah. Dakwahlah dalam ruang lingkup yang Allah s.w.t dah tetapkan dalam hidup kita. Dakwahlah semampu kita.

Dakwah tu bukan semata-mata duduk dalam masjid depan sekali sambil ada microphone, lepas tu baca kitab. Bukan semata-mata itu.

Bahkan berkelakuan baik dan mengikut syarak juga boleh menjadi satu dakwah seandainya itu niat kita. Kita niatkan segala perlakuan baik yang kita lakukan ini kerana Allah s.w.t dan semoga ada yang terbuka pintu hati untuk sama-sama menjadi baik bila melihat perlakuan kita. Itu juga dakwah!

Dakwah juga tak semestinya berjubah dan berkopiah. Ya, itu memang bagus namun bukanlah satu kewajiban.

Kadang-kadang dengan berpakaian kasual biasa lebih mudah untuk kita mendekati seseorang mad'u ataupun sasaran dakwah. Apa-apa pun, itu bergantung kepada keadaan dan suasana semasa juga. Sesuaikanlah dengan sasaran dakwah kita agar mereka lebih mudah terpaut.

Dakwah itu bercabang-cabang cara dan jalannya, lakukan mengikut kemampuan kita. Tak perlu pun menggelarkan diri itu ustaz pun untuk berdakwah dan mengajak kepada kebaikan.

Masing-masing dari kita Allah s.w.t telah kurniakan kelebihan masing-masing dalam diri. Gunakanlah sebaiknya untuk Islam, jangan sia-siakan kelebihan yang ada. Allah menilai semua kebaikan walaupun sedikit. Gunakanlah.

Tak payah malu lah untuk berdakwah. Kalau manusia yang melakukan dosa terang-terangan tidak malu, maka kenapa kita yang mengajak manusia kembali pada Allah s.w.t harus malu?

Tapi ingat, dakwah mestilah ada cara dan strategi. Jangan meng'khinzir' buta (ayat sopan..hehe).

Jangan terlalu melulu kerana hidayah Allah s.w.t bukan milik kita. Tugas kita hanya menyampaikan. Dakwah dan terus dakwah, semua itu ada nilainya di sisi Allah s.w.t. Walaupun memakan masa beribu tahun sekalipun, tugas kita menyampaikan bukan membenci mereka kerana tidak menerima dakwah kita. Ingat, hidayah milik mutlak Allah s.w.t.

Dakwahlah dengan hikmah. Bukan semata-mata lembut tetapi berstrategi. Ajaklah manusia kembali kepada Allah s.w.t, tuhan yang satu.

Dakwah milik semua umat Islam dan wajib kita lakukan.

Ok lah, kalau malu juga nak guna istilah dakwah tu tukarlah ikut kesesuaian diri masing-masing. Contohnya, kita tukar jadi 'ajak buat baik'. Boleh?

Tapi aku rasa yang tu lagi panjang.

Ah, pandai-pandailah sendiri. Asalkan dakwah jangan tinggal. Ok?

04 Mei 2013

Aku Ini Marhaen - PRU 13

[Gambar Google]

Siasah berkecamuk, diamuk lantang
Tunggang langgang, lintang pukang
Nilai budi dicincang-cincang
Tembus hingga nampak ke tulang.

Marhaen keliru
Yang mana satu
Yang mana isu
Yang mana palsu
Yang mana kebenaran jitu.

Diserang tak berparang di angin maya
Diserang tak bermaya di alam nyata
Tak mampu melibas tenaga
Dengan kudrat yang ada tersisa
Diadukan pada Dia Yang Esa.

Kita, bersilat berpencak
Dalam satu gelanggang lecak
Yang jatuh akan kalah dalam lecak
Yang menang juga akan megah dalam lecak
Justeru jangan dikeringkan lecak
Kerna lecak itu samanya kita.

Berdendang tembus ke hati
Ikhlas menghembus nurani
Akrab dengan Pencipta Abadi
Pemimpin impian buat tanah yang berseri.

Aku rakyat marhaen.

-fikirsekejap-
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...