free counters

07 Disember 2012

Audit Diri



"Bagus la dia ni..status FB semua baik-baik"

"Sejuk hati tengok dia ni. Baik orangnya."

"Dia ni bagus..lemah lembut bila bercakap. Sesuai nak buat menantu."

"Apa yang ditulis dalam blog semua benda baik, mesti dia ni baik."

Dipuji dan disanjung. Kadang-kadang menjadikan manusia rasa dijunjung.

Manusia boleh terus bercakap dan bercakap.
Manusia boleh terus memuji dan memuji.
Manusia boleh terus menyanjung dan menyanjung.

Tapi, yang pasti itu adalah dari MANUSIA. Yang hakikatnya adalah sama dengan kita.

Jadi, apakah perlu mencari kemuliaan dari seorang manusia?
Adakah manusia dapat memberi kemuliaan?

Seorang manusia yang memuji manusia tak akan menjadikan manusia itu terpuji. Bahkan boleh jadi kepada terkeji. Nauzubillah.

Justeru, audit diri. Supaya kita tak tertipu dengan manusia yang sama jenisnya dengan kita. Kerana kita tahu siapa diri kita dan tentunya Dia Lebih Tahu siapa kita.

Fizikal kita mampu menipu tanpa berbicara. Hatta kita sendiri pun boleh tertipu. Ditipu diri sendiri adalah sangat bahaya kerana ia berlaku tanpa sedar.

Berhati-hatilah dengan hati.

Dialah pemilik hati kita. Mintalah agar terus ditetapkan dalam kebenaran.

Apa yang penting, AUDIT DIRI dan berubah untuk mencari keredhaan Allah s.w.t.

30 November 2012

Kita Dan Mereka

[Gambar Google]

Kita masih di sini
Menikmati hari yang ceria
Sedang mereka di sana
Sentiasa menyapu luka.

Kita masih di sini
Antara peduli dan leka
Sedang mereka di sana
Tiada pilihan selain duka.

Kita masih di sini
Terbang dalam mimpi
Sedang mereka di sana
Sakitnya tak terperi.

Kita masih kekal di sini
Melihat dan terus melihat
Tanah itu diratahi
Sambil kita terus bermimpi.

Sedangkan mereka berada di sana
Menumpah keringat bertarung nyawa
Perjuangan mereka mengiringi usia.

Dan kita masih di sini
Memerhati.

-fikirsekejap-

21 November 2012

Gaza Yang Berdarah

[Gambar Google]

Gaza.

Satu sudut dunia yang menjadi saksi kekejaman Zionis.

Peluru berterbangan di ruang udaranya. Anak-anak kecil ketakutan. Mayat-mayat bergelimpangan. Rumah-rumah yang roboh dan hancur. Itulah pemandangan sebuah tanah bernama Gaza, sebahagian dari Palestin yang dicerobohi Zionis dengan 'keizinan' dunia.

Bumi itu jugalah menjadi saksi akan anak-anak muda yang menjadikan syahid sebagai cita-cita mereka. Perasaan gentar dan takut dalam diri mereka sudah digantikan dengan semangat jihad yang membuak-buak. Kereta kebal dan jet pejuang bukanlah alasan untuk lari dari medan perang. Walaupun hanya seketul batu di tangan, itulah senjata yang ampuh untuk mengekang ego si zionis.

Mereka yakin dengan janji Allah.

Kita di sini. Cukupkah dengan sekadar memerhati?

Syukur bagi yang peduli tapi hakikatnya masih ramai yang buat-buat tak tahu dan tak peduli.

Mungkin terlalu SELESA.

Selesa yang membunuh sifat kemanusiaan. Tangisan anak-anak Gaza bagi mereka hanya sekadar sebahagian dari berita semasa di kaca tv. Ditonton tanpa rasa.

Kosong.

Mungkin menunggu zionis mengetuk pintu rumah sendiri. Ataupun menunggu anak sendiri dibedil zionis di depan mata barulah terasa sesuatu. Agaknyalah.

Semoga kalian tersedar dari lena.

Apa-apa pun, Gaza sentiasa dalam doaku. Biarlah yang lain membeku kaku. Sekurang-kurangnya aku membantu mereka walau hanya dengan tembakan doa. Semoga itu menjadi saksi persaudaraanku dengan mereka di akhirat kelak.

Bantulah apa yang termampu. Hulurlah doa dan sumbangan untuk mereka.

Pastikan Palestin, Syria, Rohingya dan mana-mana saudara seagama kita di atas muka bumi ini sentiasa dalam doa kita.

15 November 2012

Persepsi

[Gambar Google]

Aku menghidupkan enjin kereta.

Gear mengundur dimasukkan, bersedia untuk mengundurkan kereta setelah membeli sedikit barang keperluan di sebuah pasaraya.

Tiba-tiba, aku terlihat kelibat seorang lelaki berbangsa India di sebelah kenderaanku. Pakcik itu agak berumur sedikit, dengan penampilan yang agak kusut masai dan misai dan janggut yang tidak terurus.

"Orang tak berapa betul agaknya," spontan aku mengagak dalam hatiku.

Aku melihat dia seolah-olah mahu melintas di belakang keretaku lalu aku memberhentikan kenderaanku yang baru hendak mengundur, memberi ruang kepada pakcik itu untuk berjalan.

Aku mengintai melalui cermin pandang sisi ke arah belakang kereta dan aku lihat pakcik itu tidak melintasi keretaku yang berhenti. Kemudian aku memalingkan mukaku ke arah belakang kereta untuk melihat sosok pakcik tersebut dengan lebih jelas.

Pak cik itu memberi isyarat dengan tangan untuk memberhentikan sebuah kenderaan yang lalu di belakang kenderaanku. Setelah kenderaan itu berhenti, pakcik itu memberi arahan kepadaku pula supaya mengundurkan kenderaan.

Aku terus mengundurkan keretaku dengan berhati-hati.

Sebelum meneruskan perjalanan, aku sempat mengucapkan terima kasih kepada pakcik tersebut. Di dalam perjalanan ke rumah, aku berfikir sendirian...betapa cepatnya aku menilai orang lain.

Don't judge a book by its cover. Ada benarnya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...