free counters

21 November 2012

Gaza Yang Berdarah

[Gambar Google]

Gaza.

Satu sudut dunia yang menjadi saksi kekejaman Zionis.

Peluru berterbangan di ruang udaranya. Anak-anak kecil ketakutan. Mayat-mayat bergelimpangan. Rumah-rumah yang roboh dan hancur. Itulah pemandangan sebuah tanah bernama Gaza, sebahagian dari Palestin yang dicerobohi Zionis dengan 'keizinan' dunia.

Bumi itu jugalah menjadi saksi akan anak-anak muda yang menjadikan syahid sebagai cita-cita mereka. Perasaan gentar dan takut dalam diri mereka sudah digantikan dengan semangat jihad yang membuak-buak. Kereta kebal dan jet pejuang bukanlah alasan untuk lari dari medan perang. Walaupun hanya seketul batu di tangan, itulah senjata yang ampuh untuk mengekang ego si zionis.

Mereka yakin dengan janji Allah.

Kita di sini. Cukupkah dengan sekadar memerhati?

Syukur bagi yang peduli tapi hakikatnya masih ramai yang buat-buat tak tahu dan tak peduli.

Mungkin terlalu SELESA.

Selesa yang membunuh sifat kemanusiaan. Tangisan anak-anak Gaza bagi mereka hanya sekadar sebahagian dari berita semasa di kaca tv. Ditonton tanpa rasa.

Kosong.

Mungkin menunggu zionis mengetuk pintu rumah sendiri. Ataupun menunggu anak sendiri dibedil zionis di depan mata barulah terasa sesuatu. Agaknyalah.

Semoga kalian tersedar dari lena.

Apa-apa pun, Gaza sentiasa dalam doaku. Biarlah yang lain membeku kaku. Sekurang-kurangnya aku membantu mereka walau hanya dengan tembakan doa. Semoga itu menjadi saksi persaudaraanku dengan mereka di akhirat kelak.

Bantulah apa yang termampu. Hulurlah doa dan sumbangan untuk mereka.

Pastikan Palestin, Syria, Rohingya dan mana-mana saudara seagama kita di atas muka bumi ini sentiasa dalam doa kita.

15 November 2012

Persepsi

[Gambar Google]

Aku menghidupkan enjin kereta.

Gear mengundur dimasukkan, bersedia untuk mengundurkan kereta setelah membeli sedikit barang keperluan di sebuah pasaraya.

Tiba-tiba, aku terlihat kelibat seorang lelaki berbangsa India di sebelah kenderaanku. Pakcik itu agak berumur sedikit, dengan penampilan yang agak kusut masai dan misai dan janggut yang tidak terurus.

"Orang tak berapa betul agaknya," spontan aku mengagak dalam hatiku.

Aku melihat dia seolah-olah mahu melintas di belakang keretaku lalu aku memberhentikan kenderaanku yang baru hendak mengundur, memberi ruang kepada pakcik itu untuk berjalan.

Aku mengintai melalui cermin pandang sisi ke arah belakang kereta dan aku lihat pakcik itu tidak melintasi keretaku yang berhenti. Kemudian aku memalingkan mukaku ke arah belakang kereta untuk melihat sosok pakcik tersebut dengan lebih jelas.

Pak cik itu memberi isyarat dengan tangan untuk memberhentikan sebuah kenderaan yang lalu di belakang kenderaanku. Setelah kenderaan itu berhenti, pakcik itu memberi arahan kepadaku pula supaya mengundurkan kenderaan.

Aku terus mengundurkan keretaku dengan berhati-hati.

Sebelum meneruskan perjalanan, aku sempat mengucapkan terima kasih kepada pakcik tersebut. Di dalam perjalanan ke rumah, aku berfikir sendirian...betapa cepatnya aku menilai orang lain.

Don't judge a book by its cover. Ada benarnya.

17 Oktober 2012

Kadang-Kadang

[Gambar Google]

Kadang kita tersasar
Kadang kita tersesat.

Kadang kita terleka
Kadang kita terlena.

Kadang kita terlupa
Kadang kita tersilap.

Kita manusia
Yang memerlukan rabbnya
Dan Dia sentiasa ada.

Peluang dibuka
Lagi dan lagi
Berulang tanpa henti
Selagi mentari masih di paksi.

-fikirsekejap-

26 September 2012

Jalan Cerita

[Gambar Google]

Jalan cerita yang sama berulang-ulang. Saban tahun tanpa henti.

Kisah yang berlaku di malam tahun baru disambung sembilan bulan selepas itu. Dilakonkan oleh pelakon  yang ramai. Yang pasti, dipertemukan dua watak. Saling melengkapi untuk menjayakan jalan cerita.

Ramai yang boleh mengagak kesudahannya. Namun masih mampu hanya sebagai pemerhati. Melihat dan menanti tanpa dirombak jalan ceritanya. Walaupun ada antara kesudahannya adalah kematian si watak kecil.

Endingnya boleh diubah walaupun mungkin agak lambat. Jalan cerita di permulaannya adalah jauh lebih penting. Mencegah lebih baik dari mengubati. Mengapa tidak memilih untuk mencegah dari permulaan jalan cerita yang 'rosak' berbanding memulihkan ending yang sudah 'hancur'.

Jalan cerita yang sama masih berulang lagi dan kebanyakan pemerhati masih memerhati. Bersuara dalam lena. Tanpa bunyi. Tanpa suara. Sepi.

Puncanya?

Permulaan di malam tahun baru yang 'bebas'. Dinatijahkan 9 bulan kemudian. Akhirnya, yang tak berdosa dicampak dari tingkat 3!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...